Usaha Pakatan Harapan (PH) dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah berjaya membuahkan hasil.
Sejumlah besar dana yang diseleweng ketika zaman kerajaan Barisan
Nasional (BN) pimpinan Najib Razak telah dibawa kembali ke Malaysia.
Namun, usaha tersebut tidak harus terhenti di sini. Sebelum ini,
Malaysia telah memperolehi US$620 juta (RM2.6 bilion) dari Jabatan
Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat (AS).
Terbaharu, bank pelaburan Goldman Sachs bersetuju membayar pampasan
bernilai US$3.9 billion (RM16.6 bilion). Bayaran ini menunjukkan
pendedahan skandal kleptokrasi tersebut selama ini adalah berasas dan
bukan tohmahan.
Justeru, jumlah itu harus digunakan secara telus untuk menebus tiga
bon 1MDB yang akan tamat tempoh pada 2022 dan 2023. Malaysia harus
membayar US$3.5 bilion (RM15 bilion) pada 2022 untuk menebus dua bon,
dan US$3 bilion (RM12.8 bilion) pada 2023.
Penebusan bon-bon tersebut sangat mustahak supaya Malaysia tidak lagi
terbeban dengan bayaran faedah setiap tahun. Untuk tiga bon itu sahaja,
Malaysia membayar faedah sebanyak US$338.66 juta (RM1.44 bilion) setiap
tahun.
Ini tidak termasuk bayaran faedah tahunan RM287.5 juta untuk sukuk
1MDB yang tamat tempoh pada 2039. Inilah hasil peninggalan kerajaan
Najib Razak untuk rakyat Malaysia.
Memandangkan 1MDB adalah milik penuh kerajaan Malaysia, maka
kegagalan 1MDB melunaskan hutangnya akan memberi impak terus kepada
negara.
Sehubungan itu, kedudukan kewangan syarikat tersebut harus terus dipantau dan ditadbir dengan telus.
Saya menggesa agar kerajaan Perikatan Nasional (PN) terus melaporkan
status terkini dana 1MDB yang dipulangkan dan keadaan liabiliti syarikat
tersebut seperti yang telah dilaporkan oleh PH sebelum ini dalam
Tinjauan Fiskal 2020.
Rakyat berhak mengetahui perkembangan isu ini secara terbuka dan telus.
Siasatan dan pendakwaan berhubung skandal mega 1MDB hendaklah
diteruskan dan dilengkapkan terutama terhadap Najib Razak yang didakwa
terlibat dalam penyelewengan wang 1MDB ini termasuk penerimaan wang
berjumlah US$681 juta (RM2.6 bilion) hasil urusniaga tiga bon haram yang
diatur Goldman Sachs.
*FAIZ FADZIL merupakan Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional merangkap ADUN Permatang Pasir, Pulau Pinang.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan