Sejak 2011 lagi, terbukti bukan PH iktiraf UEC

Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan kerajaan pada 2012 menerima lepasan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) untuk mengikuti program Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) dalam bidang pengkhususan Bahasa Cina di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).

Pengiktirafan sebahagian (partial recognition) dengan syarat mereka lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan memperolehi sekurang-kurangnya gred kepujian dalam bahasa Melayu oleh kerajaan pada masa lalu itu dinyatakan dalam kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO) hari ini.

Kenyataan PMO itu dilihat sekali gus menjadi bukti bukan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mengiktiraf UEC.

Bagaimanapun, Kementerian Pendidikan dalam kenyataan pada 19 Mac lalu menyebut pengambilan khas pelajar bagi program PISMP bagi lulusan UEC dibuat setiap tahun sejak 2011 lagi.

Mengulas kenyataan Muhyiddin semalam, pemimpin AMANAH Jamzuri Ardani mempersoalkan suara golongan pejuang Melayu yang dianggapnya hipokrit kerana berdiam diri.

“Inilah juga polisi BN dan PH sebelum ini. Penerimaan sijil UEC itu bermula pada tahun 2011 semasa Muhyidin menjadi Menteri Pelajaran.

“Isu yang sebenarnya ialah wajah-wajah para hipokrit Bani Melayu sekarang ini di mana? Sudah masuk dalam guakah? Atau mulut penuh sagon,” tempelak Jamzuri dipetik dari Facebook beliau hari ini.
Jamzuri Ardani

Semalam, Persekutuan Persatuan Cina Malaysia (Huazong) dilapor berkata, Muhyiddin secara peribadi berharap pada suatu hari nanti kerajaan akan mengiktiraf UEC.

Menurut Huazong, Muhyiddin menyatakan harapan tersebut semasa mereka mengadakan pertemuan di bangunan Parlimen kelmarin.

Dalam satu kenyataan, pertubuhan Cina itu berkata, Muhyiddin menyatakan kesanggupan kerajaan berunding dengan mereka serta pertubuhan lain mengenai isu UEC.


Menghantui PH

Isu pengiktirafan UEC yang tidak mengikut sistem pendidikan kebangsaan itu menjadi antara polemik yang menghantui kerajaan PH sebelum ini sebelum tumbang selepas hanya 22 bulan menerajui Putrajaya.

BN dan Pas sebelum ini dilihat menyerang PH menggunakan isu UEC ketika dalam masa sama pemimpin DAP juga melalui Teo Nie Ching yang ketika itu Timbalan Menteri Pendidikan menyebut akan menyelesaikan isu berkaitan pengiktirafan UEC sebaik sahaja memulakan tugasnya di kementerian pada 9 Julai 2018.

Nie Ching juga menyatakan komitmennya untuk menyelesaikan isu pengiktirafan UEC sebelum akhir tahun 2018 dan menegaskan UEC tidak perlu dibawa ke Parlimen untuk dibahaskan.

PH dalam manifestonya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) berjanji untuk mengiktiraf UEC sebagai syarat kemasukan ke universiti awam (UA) sekali gus ke sektor awam.

Ekoran itu, Ketua Menteri Melaka era kerajaan PH, Adly Zahari pada 2 Julai 2018 mengumumkan penerimaan UEC sebagai syarat perjawatan di negeri itu kerana ia sebahagian daripada manifesto PH pada PRU-14.

Dalam masa sama, MCA sebagai parti komponen BN mewakili kaum Cina juga dilihat menekan Kementerian Pendidikan era kerajaan PH agar segera mengiktiraf UEC.

Walaupun hanya mempunyai seorang wakil dalam Dewan Rakyat, MCA melalui Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mendesak pengiktirafan segera ke atas pelajar UEC supaya lepasan sistem pendidikan yang dikendalikan dalam bahasa Mandarin dan bahasa Inggeris itu boleh memohon untuk kemasukan UA mulai sesi pengambilan 2018/2019.

Menteri Pendidikan era kerajaan PH, Dr Maszlee Malik dalam penjelasannya menegaskan pihaknya masih melakukan kajian menyeluruh sebelum membuat sebarang keputusan berhubung pengiktirafan UEC.

Menurut pemimpin Bersatu itu, sebarang keputusan berhubung pengiktirafan UEC akan bersifat komprehensif dan secara menyeluruh bagi mengelak kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tergugat.

Tokoh sosiobudaya, Tan Sri Dr Rais Yatim yang juga pemimpin Bersatu sebagai parti komponen kerajaan PH sebelum ini juga membantah pengiktirafan UEC dan menggesa kajian terperinci sebelum dilaksanakan.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan