GEJALA menunjukkan demam pilihan raya bakal terjadi sudah mula dirasai. Sudah ada tanda-tanda kecil berupa rumours mengenai Piraum ke-15.
Konon ia akan diadakan dalam tempoh terdekat secara mengejut. Tarikh paling awal Oktober dan kerap disebut, tiga bulan sahaja lagi?
Ada alasan kenapa tarikh itu disebut. Kononnya untuk mengelakkan berlaku petaka yang boleh menyebabkan kerajaan PN jatuh tergolek apabila Bajet 2021 dibentang nanti ia tidak mendapat undi secukupnya.
Apa yang berlaku dalam proses pelantikan speaker baru-baru ini dijadikan indikator bahawa kerajaan PN dan Muhyiddin dalam keadaan demam tidak kebah. Pengosongan jawatan speaker untuk memecat Mohamad Ariff yang diusulkan perdana menteri diterima dengan kelebihan hanya dua undi sahaja 111 - 109.
Pelantikan Speaker baru tanpa undian, mungkin kalau dijalankan undian Azhar Harun belum tentu dinobat sebagai speaker?
Kononnya bagi mengelakkan Muhyiddin dimalui dalam pembentangan (undi) Bajet nanti maka ia perlu adakan pilihan raya. Pilihan raya terpaksa bagi mengelakkan Muhyiddin ditimpa malu besar.
Keadaan Muhyiddin dalam kerajaan hari ini seperti pesakit kencing manis yang kronik, ia tidak dapat diselamatkan melainkan kena potong bahagian tertentu yang diserang penyakit itu. Mengadakan Piraum sebelum habis penggal umpama potong bahagian terkena diabetis itu.
Semalam ketika bertemu dengan seseorang, beliau juga sangat yakin pilihan raya akan diadakan dalam masa terdekat. Beliau dakwa maklumat yang diterimanya paling lewat bulan November. Menurutnya pilihan raya itu dibuat sebelum Bajet 2021 dibentangkan dan Bajet akan 2021 akan dibentang oleh kerajaan baru kelak.
Bagaimana pun bagi saya tarikh itu (Oktober) (dan juga November) TIDAK mungkin berlaku pilihan raya. Walaupun diakui kedudukan kerajaan PN hari ini seperti telur di hujung tanduk tetapi Muhyiddin masih ada cara dan helah untuk meningkatnya hingga sampai ke hujung.
PN biarpun sudah jadi kerajaan lebih tiga bulan tetapi masih belum stabil. Masalah ekonomi disebabkan Covid-19 juga menjadi hambatan. Penyemarakan semula Covid-19 menjadikan ia makin tidak mungkin. Catatan semalam jumlah kes baru Covid sudah berada di dua angka semula.
Selain itu ada beberapa sebab yang tidak memungkin Muhyiddin akan meminta perkenan Yang DiPertuan Agong membubarkan parlimen. Walaupun pilihan raya boleh diadakan pada bila-bila masa, tetapi ia tidak munasabah diadakan dalam tempoh terdekat, kerana banyak perkara belum diselesaikan.
Pertama, Muhyiddin sendiri tidak pasti kedudukannya - gabungan dinamakan PN yang membentuk kerajaan masih belum ada hitam putihnya. Sehingga sekarang PN belum didaftarkan sebagai sebuah coalition parti politik. Jika diadakan pilihan raya sebelum beres urusan PN, lambang atau simbol apakah yang hendak digunakan kelak. Ini menjadi masalah.
Mungkin lambang tidak menjadi masalah. PN boleh bertanding atas lambang sama ada Bulan milik Pas atau Dacing milik BN. Mereka boleh meniru apa dilakukan oleh PH semasa Piraum ke-14, ketika itu PH belum didaftarkan secara sah dan ada lambang, menyebabkan semua calon PH bertanding atas lambang Mata milik PKR. Mungkin Muhyiddin boleh meniru kaedah itu.
Selain lambang, masalah kerusi merupakan paling rumit bagi PN. Ada sekurang-kurang empat fraksi dalam PN yang masing-masing mempunyai kelebihan, Umno, Bersatu, Pas dan kumpulan serpihan PKR dibawah pimpinan Azmin Ali (kumpulan Minrit - KM).
Kumpulan-kumpulan itu tidak diambil kira lagi beberapa kumpulan lain seperti GPS Sarawak. Mungkin masalah di Sarawak dan Sabah tidak begitu penting.
Siapakah atau parti manakah nanti yang akan jadi pemimpin dalam PN. Apakah Umno yang mendakwa mereka memiliki jumlah kerusi (tradisi) lebih berbanding Bersatu, atau Bersatu yang presidennya sebagai PM kini perlu mendapat keutamaan. Pas walaupun berhak dan berpeluang tetapi parti itu dipercayai lebih banyak mengikut dan akur sahaja.
Sebagai parti disertai golongan Lebaik, stail dan sikap Tok Lebai masih terpakai dalam Pas. Tok Lebai kalau diberi pulut dan pisang mereka akan lupa hal-hal lain yang lebih lazat daripada pulut dan pisang. Lebai sangat berahi (suka) kepada pulut dan pisang. Kalau beri kepala kambing lagilah menyebabkan mereka terlupa kepentingan lain.
Jadi masalah pembahagian kerusi di kalangan PN masih belum selesai, bahkan masih belum dirunding putuskan lagi. Masing-masing kini sedang melobi dan membuat provokasi atau menanda kerusi mana yang mereka hendak dan miliki. Di Terengganu misalnya Pas negeri itu membayangkan mereka akan bertanding banyak kerusi berbanding dengan Umno, manakala di Kelantan masih belum ada cerita mengenai pembahagian kerusi.
Dalam masa sama juga beberapa pemimpin Umno membuat kenyataan akan bertanding di semua kerusi tradisi mereka. Kenyataan itu menjadikan Bersatu dan kumpulan Minrit terkial-kial dan bertanya diri sendiri di kerusi mana mereka hendak bertanding.
Apabila UBN mengatakan mereka akan bertanding di semua kerusi tradisi mereka, menunjukkan Bersatu tidak memiliki satu kerusi pun kerana kerusi-kerusi dimenangi bahkan ditandingi Bersatu semasa bersama PH adalah kerusi-kerusi milik Umno. Bersatu itu sendiri adalah klon Umno yang bercita-cita mahu menjadi pengganti Umno.
Sedangkan Umno perlu memiliki kerusi-kerusi berkenaan kerana mereka ingin menguasai gabungan, MN. Dengan meyakini mereka akan menang apabila bermuafakat dengan Pas menerusi MN. Umno yakin mereka akan kembali memerintah semula Malaysia bersama Pas dalam Piraum ke-15 kelak. Rahsia dan cita-cita Umno ini tidak boleh disembunyikan dan pihak manapun tidak boleh mengganggunya.
Masalah yang dihadapi Umno bersama PN, ialah Bersatu dan kumpulan Minrit (KM). Ini masalah kurba. Dengan Pas Umno tidak ada masalah. Pas boleh kekal dikerusi tradisinya mereka khususnya di negeri-negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah. Bagi Pas memiliki tiga buah negeri ini sudah mencukupi. Negeri-negeri ini adalah kepala kambing atau pulut buat Pas. Bagi pulut dan kepala kambing Pas akan diam macam tikus jatuh ke genak.
Tetapi negeri-negeri lain, Perlis, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Pahang, Umno bermasalah kerana akan berebut dengan Bersatu. Terutamanya negeri Johor di mana Muhyiddin di situ?
Kecualilah dalam pilihan raya nanti Muhyiddin berundur tidak berhasrat untuk jadi perdana menteri, berasa cukup beliau berjaya mengagalkan dan menidak Dr Mahathir Mohamad daripada memenuhi konsensus PH untuk berikan jawatan perdana menteri kepada Anwar.
Kalau itulah berlaku, Bersatu tidak pun perlu mengambil bahagian apa-apa. Kalau itu berlaku ibarat kata Bersatu boleh bungkus tikar bantal, dan Muhyiddin berlalu dengan membawa kertas catatan bahawa dia pernah jadi PM ke 8.
Satu lagi masalah yang berada di hadapan PN ialah mengenai KM pimpinan Azmin Ali. Kerusi-kerusi yang dimenangi oleh 10 ahli parlimen PKR yang murtad ini juga adalah kerusi asal Umno. Apakah Umno akan nggeh begitu sahaja menyerahkan kerusi itu kepada Azmin dan kumpulannya itu?
Kesimpulannya masalah pembahagian kerusi di kalangan PN masih belum selesai. Bahkan belum ada tanda-tanda. Kenyataan beberapa pemimpin Umno yang mereka mahu memiliki (bertanding) di kerusi tradisi mereka adalah permulaan kepada pertikaian dalam PN.
Tidak cukup itu, GPS Sarawak juga mula menunjukkan belang mahu menuntut 1/3 daripada 222 kerusi parlimen, khasnya kerusi-kerusi di Sabah dan Sarawak mereka mahu bertanding.
Apakah dengan masalah-masalah itu yang belum selesai Muhyiddin berani membubarkan parlimen dalam masa terdekat. Jawabnya tidak kecualilah perdana menteri ke 8 itu siap untuk menggantungkan dirinya.
0 comments:
Catat Ulasan