Oleh
PARTI komponen dalam Pakatan Harapan (PH) sudah pun kembali
merapatkan barisan mereka. PKR, Amanah dan DAP kini nampak lebih kemas
dan lebih bersedia menghadapi kemungkinan berlakunya pilihan raya
mengejut setelah selesai mesyuarat Majlis Presiden PH semalam.
Sesudah melalui fasa hubungan yang “panas” berpunca daripada
persoalan siapakah calon perdana menteri, kepimpinan utama PH kini
kembali sepakat memperkemaskan rumah yang telah dibina bersama itu.
Mereka sepakat menamakan Anwar Ibrahim sebagai calon PM. Anwar juga
diberi mandat untuk berbincang dengan semua pihak bagi mendapatkan
kembali mandat PRU14 yang dirampas oleh Perikatan Nasional (PN) melalui
pintu belakang. Ini adalah langkah tepat.
Untuk mendapatkan kembali mandat yang dirampas itu kawan perlu diramaikan, musuh perlu dikurangkan.
Setelah rumah sendiri kembali kukuh, maka usaha untuk memeluk mereka
yang di luar rumah tetapi punya aspirasi yang sama perlu dijalankan
dengan giat dan cermat.
PH Plus yang terdiri daripada Bersatu kumpulan Dr Mahathir Mohamad
dan Parti Warisan Sabah bukanlah musuh. Walaupun mereka di luar PH
tetapi mereka adalah kawan yang perlu dirapati dan diajak bersama-sama
dalam usaha untuk mendapatkan kembali mandat PRU14 yang dirampas oleh
PN.
Dan buat Dr Mahathir pula, jika beliau benar-benar ikhlas untuk
menjatuhkan kerajaan Muhyiddin Yassin, maka seharusnyalah beliau memberi
sokongan dan dukungan kepada PH. Beliau harus bersama-sama membantu PH
mendapatkan seramai mungkin ahli Parlimen bagi mengemukakan undi tidak
percaya terhadap Muhyiddin.
Apakah Dr Mahathir ikhlas atau tidak, ini boleh ditentukan melalui
keputusan beliau sama ada mahu bersama PH atau menolak kerjasama dengan
PH.
Kalau sekiranya Dr Mahathir memilih untuk tidak bekerjasama dengan PH
maka sekurang-kurangnya kita semua tahu bahawa ang sebenar-benarnya Dr
Mahathir bukanlah mahu menjatuhkan kerajaan PN untuk mendapatkan kembali
mandat rakyat tetapi cuma mahu Anwar tidak menjadi PM Malaysia.
Bagaimanapun jika Dr Mahathir memutuskan untuk bersama-sama PH, maka
beliau harus menerima dengan ikhlas dan komited menghormati keputusan PH
mencalonkan Anwar sebagai PM dan tidak lagi membuat keputusan secara
sendirian tanpa merujuk terlebih dahulu kepada Majlis Presiden PH
sebagai rakan bersama.
Ini antara syarat yang perlu dirundingkan oleh PH dengan Dr Mahathir
supaya episod hubungan “panas” antara parti-parti komponen di dalam PH
tidak berulang kembali.
Manakala Warisan pula, sebagai sebuah parti yang telah bersama-sama
PH sejak PRU14 dan merupakan kerajaan yang memerintah Sabah, adalah
kawan yang sangat diperlukan.
Sokongan dan dukungan Warisan sangat penting bukan saja dalam konteks
undi tidak percaya kepada Muhyiddin tetapi sebagai suatu jambatan
penghubung antara Semenanjung dan Sabah. Tanpa Sabah tiada Malaysia.
Tanpa Warisan, PH takkan mungkin mampu untuk mendapatkan kembali
mandat rakyat yang dirampas oleh PN sama ada melalui undi tidak percaya
atau pilihan raya mengejut.
Justeru, Plus yang diwakili oleh Bersatu kumpulan Dr Mahathir dan
Warisan pimpinan Shafie Apdal perlu dirangkul oleh PH sebagai rakan
strategik khususnya dalam usaha untuk mengemukakan undi tidak percaya
kepada Muhyiddin pada sidang Parlimen 13 Julai nanti.
Malah kerjasama dengan mereka yang di luar Plus juga patut diteroka
asalkan mereka yang ingin bersama itu bersetuju dengan prinsip-prinsip
keadilan, kesaksamaan, kemanusiaan, pro-kebajikan rakyat dan anti rasuah
yang menjadi pegangan PH.
Oleh itu, kerja menyambung kembali dan memperkukuhkan jambatan antara
PH dan mereka yang berkongsi aspirasi bersama perlu dilakukan dengan
segera, giat dan cermat tanpa mengorbankan prinsip yang menjadi pegangan
PH itu.
Meramaikan kawan, mengurangkan musuh, membina jambatan baru dan
memastikan jambatan lama kemas terurus serta rumah bersama terus
diperkukuh adalah jalan yang lebih strategik buat PH untuk kembali ke
Putrajaya.
* Hafez adalah seorang hippie yang berjiwa bebas, menggemari filem-filem berat Eropah dan menyukai ikan pekasam goreng garing.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan