SELEPAS Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menerima permohonan Muhyiddin
Yassin sekaligus menepis saman Dr Mahathir Mohamad dan beberapa yang
lain bagi membatalkan tindakan Bersatu memecat mereka daripada
parti itu, bekas Perdana Menteri itu telah mengadakan sidang akhbar
memberi tahu yang beliau akan tubuhkan sebuah parti politik baru.
Parti baru itu bersifat bebas dan mendukung dasar-dasar perjuangan yang dibawa oleh bekas partinya sebelum ini Bersatu, dan parti baru itu bersifat parti Melayu. Parti itu nanti akan menjadi parti Melayu keempat di negara ini selepas, Umno, Pas, Bersatu.
Walaupun Mahathir sebelum ini berkata orang Melayu dipecahkan dengan
wujudnya berbagai parti, tetapi beliau sendiri nampaknya lupa kepada apa
dikatakan itu. Sudah tua...
Penyakit Melayu sebelum ini yang
mudah lupa sudah menghinggapi diri Mahathir pula yang sudah berusia 95
tahun. Mahathir sebagai OT95 sendiri sudah lupa mengenai dirinya, apa
yang dikatakan, tetapi ramai di kalangan kita mengingati apa yang pernah
diucapkan itu.
Pengumuman rengkas semalam itu yang ditemani beberapa pemimpin Bersatu
(MP) yang tidak bersama Muhyiddin bukan mengejutkan kerana itulah
pilihan terbaik buat Mahathir dan orang-orang bersamanya bagi meneruskan
perjuangan. Tidak ada pilihan lain lagi baginya setelah gagal kekal
dalam Bersatu dan gagal menguasainya.
Penubuhan parti baru itu diakui sendiri oleh Mahathir bagi membolehkan beliau serta yang lain mengambil bahagian dalam pilihan raya akan datang kerana mereka tidak lagi akan dibenarkan oleh Bersatu kerana sudah tidak menjadi ahli parti itu. Pengakuan itu menjelaskan semangat Mahathir untuk berkecimpung dalam politik masih kuat dan beliau masih berselera untuk berperang.
Berbagai telahan.
Ekoran itu orang membuat berbagai telahan dan andaian dengan parti baru Mahathir itu? Apakah ia boleh hidup atau pun sebaliknya. Sesiapa pun bebas membuat ramalan dan menenung nasib parti yang belum dilahirkan itu.
Tetapi apa yang mengejutkan semasa mengumumkan hasratnya itu, Mahathir mengatakan parti baru itu tidak akan bersama mana-mana gabungan sedia ada. Ia tidak akan bergabung dengan PN maupun PH. Parti itu itu akan bergerak sendiri secara bebas. Kesediaan itu menunjukkan Mahathir yakin parti itu boleh survive. Langkah bersendirian itu satu langkah berani.
Saya tidak yakin kalau parti baru itu akan bergerak secara solo dan tanpa kawan yang ia boleh memastikan kelangsungan hayatnya. Kerana itu saya mengira akhirnya kelak, ia akan bergabung juga dengan mana-mana parti lain (atau gabungan) yang lebih besar. Walaupun Mahathir memberi tahu ia tidak akan bergabung dengan mana-mana, tetapi itu adalah kenyataan politik semata-mata yang pernah berlaku sebelum ini dan tidak boleh dipegang. Dalam dunia ini tidak ada satu pun kerja yang boleh dibuat secara bersendiri kecuali berkhayal.
Dalam kondisi rakyat Malaysia yang sudah memahami keperluan politik multi-racial mana-mana parti politik perlu kepada penggabungan dan kerjasama dengan mana-mana pihak. Hatta parti agama (Pas) sendiri yang sebelum ini, (semasa jadi pembangkang), angkuh untuk kekal bersendirian tanpa bergabung dengan parti bersifat liberal, atau mahu memiliki Syurga seorang diri, tetapi sudah mengubah nada selepas jadi kerajaan, kerana mereka sudah menyedari hakikat yang perlu ditempuhi.
Perhatikan nada para pemimpin Pas sejak menjadi sebahagian daripada kerajaan kini. Isu perkauman seperti sudah dikendurkan, demikian juga dengan sikap obsesinya untuk melaksanakan Hudud juga sudah hanyut ke Laut Cina Selatan dengan berbagai alasan diberikan. Setiap apa yang ditegas dan diperjuangkan sebelum ini sudah tidak kedengaran lagi. Pas sudah jadi macam tikus jatuh ke genak. Semua itu menunjukkan perubahan sikap dan pendekatan politik Pas yang realistik dengan situasi negara ini. (Baguslah, tetapi itu munafik).
Oleh sebab itu parti Mahathir juga nanti terpaksa mencari rakan kongsi. Terlalu awal di sini untuk saya nujum dan memfirasat siapakah bakal menjadi rakan kongsi parti Mahathir nanti. Tetapi yang tidak mustahil, parti itu akan terbuka seperti nasib wanita janda yang akan menerima sesiapa sahaja sebagai semua kerana demi meneruskan kehidupannya. Bila sampai masa Mahathir akan membuat perhitungan dengan parti atau gabungan mana dia harus menyatu.
0 comments:
Catat Ulasan