KEKALAHAN dan kehilangan kerajaan pada 10 Mei 2018 memberi kesan besar kepada Umno-BN. Kekalahan itu seolah-olah menjadi parti Melayu itu terhuyung hayang dan masih berputar kepeningan sampai kini.
Begitulah
orang tidak pernah mengalami kekalahan, belum ada pengalaman pahit dan
memeritkan apabila ditimpa musibah menjadikan ia berpinar biji mata.
Nasib Umno seperti orang kaya kedekut yang rumahnya terbakar.
Habis
harta benda, emas dan wang ringgitnya hangus dan yang tinggal
puing-puing berdebu dan berkabut. Siang malam bersedih mengenangkan
harta benda yang sudah jadi debu dan puing-puing berterbangan. Sesuai
dengan kejatuhan yang teruk, sukar untuk Umno bangkit walaupun sudah
diusahakannya.
Umno
juga laksana seperti warga emas yang jatuh ke dalam longkang sedalam 10
kaki, sulit untuk dia melompat naik ke atas. Dicuba, bergantung dan
berpegang tetapi tangan dan jari jemarinya lemah gemulai, tidak kuat.
Justeru Umno memerlukan pertolongan dan bantuan untuk naik dari lubang
dan selamat dari terus ditimbus oleh kejatuhan berbahana itu.
Umno
sebenarnya bernasib baik. Tuhan masih menghulurkan tali penyelamat
buatnya apabila Pas yang selama ini bergaduh dan berperang dengannya
berdekad telah menghulurkan tangan pertolongan. Kesediaan Pas menghulur
salam itu atas faktor sangat sentimental value yakni semangat Melayu dan rakan seagama. Umno kena berterima kasih sebanyak-banyak kepada Pas.
Pertautannya dengan Pas menerusi Muafakat Nasional (MN) dilihat
sudah kemas dan baik. Ia sudah memberi hasil dan menatijahkan satu
keputusan yang bagus lagi menyakinkan. Beberapa pilihan raya kecil
(Pirake) yang dihadapi secara bersama dengan Pas menunjukkan pencapaian
baik apabila menang bergaya.
Empat pilihan
raya kecil mengesahkan keberkesanan kerjasama antara dua parti Melayu
tertua itu, di Cameron Highland, Serendah, Tanjung Piai dan terbaru di
Chini Pahang. Kejayaan besar calon-calon BN di pilihan raya itu sangat
manis dan memahatkan kebersamaan orang Umno dan Pas untuk menyelamatkan
negara.
Pilihan raya kecil Slim, Perak yang
sedang berlangsung sekarang ini belum tentu hasilnya seluman seperti
Tanjung Piai atau Chini. Ada sedikit kecurigaan untuk calon Umno
mencapai kejayaan seperti dicatat pada empat Pirake itu mengenangkan
perkembangan semasa kini seperti muafakat Umno - Pas sedikit terganggu.
MN, kerjasama atau ta'awun Umno dan Pas belum diikat dengan kemas. Ia sekadar menandatangani satu piagam sahaja, dan usianya masih belum sampai setahun. Ertinya kekukuhan kerjasama itu masih belum benar-benar teruji. Persiapan ke atas pengukuhan itu seperti sedikit terganggu dengan berlakunya rampasan kuasa (kudeta) pada 25 Februari 2020 yang menggulingkan kerajaan PH.
Tumbangnya
kerajaan PH itu diseronoki oleh Umno. Kejatuhan kerajaan PH menjadikan
luka dan kecewa Umno sedikit terubat dan terbela kerana kerajaan yang
mengambil tempatnya selama lebih 60 tahun tumbang. Namun hakikatnya,
kejayaan itu tidak boleh disambut dengan obor dan api pesta kesyukuran
oleh Umno kerana ianya sebagai menumpang sahaja.
Kerajaan
PN dibentuk hari ini tunjangnya bukan Umno. Umno hanya sebahagian
sahaja, lebih tepat sebagai penyendak. Kerajaan hari ini diterasi oleh Bersatu
dan serpihan PKR yang dibawa oleh Azmin Ali untuk mengkhianati PKR dan
Anwar Ibrahim. Ada pun Umno dan Pas hanya pengenap nombor sahaja. Kerana
itu Umno tidak boleh mendabik dada mendakwa ia adalah atas usahanya.
Bubar parlimen.
Pada
mulanya apabila ada ura-ura kerajaan PH bermasalah Umno dan Pas tidak
terfikir mereka akan bersama Bersatu dan kumpulan Azmin untuk membentuk
kerajaan. Apa yang mereka harapkan daripada kemelut PH itu adalah
pembubaran parlimen membolehkan pilihan raya diadakan. Umno dan Pas
mengharapkan diadakan pilihan raya untuk membentuk kerajaan Melayu -
Islam pertama.Mereka optimis kalau diadakan pilihan raya saat itu mereka
akan menang.
Lantaran itu pembentukan kerajaan PN pimpinan Muhyiddin Yassin itu
bukan atas kehendak hati nurani Umno dan juga Pas. Ia bukan agenda
Umno. Kebersamaan mereka dalam PN membentuk kerajaan itu secara
kebetulan sahaja. Dari sudut lain pembentukan kerajaan atau dengan
kehadiran Bersatu dan kumpulan Azmin itu secara tidak sedar telah
menganggu permuafkatan Umno dengan Pas.
Kenapa
dikatakan tragedi Sheraton itu mengganggu kerjasama Umno dengan Pas,
kerana gara-gara tragedi itu MN yang dibentuk itu kini terusik apabila
wujud pula Perikatan Nasional (PN). Kewujudan PN ini tidak diatas
kehendak dan restui Umno. Kewujudan PN membuka senario lalu mengganggu
kerjasama Umno -Pas. Piagam yang ditandatangani Umno - Pas seperti
terurai.
Sebab itu mulanya presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkeras
tidak mahu Umno menyertai PN dan mahu kekalkan MN. Bahkan beliau
mengeluarkan kenyataan bahawa MN hanya bersama di peringkat parlimen
bukan dalam bentuk kerjasama politik. Beliau juga mengumumkan MN keluar
daripada PN. Bukan Zahid sahaja, tetapi beberapa pemimpin kanan lain
juga termasuk Naib Presiden Khaled Nordin, Mahadzir Khalid dan Ismail
Sobri Yaacob tidak senang hati dengan kehadiran PN.
Belum putus.
Sehingga
hari ini kedudukan Umno dalam PN masih belum putus lagi. Ada pendapat
pro kontra mengenai perkara itu. Keadaan inilah menjadikan Umno kini
ketidaktentuan ke mana hujung jatuhnya. Apa lagi dengan sikap Pas yang
kini sedia menyatukan diri dengan mana-mana pihak sahaja asalkan mereka
dapat menjadi sebahagian kerajaan. Umno sendiri cukup kenal dan faham
tentang musibah persetiaan yang pernah dibuat oleh Pas.
Pas
kini ditimpa kejutan budaya mulai merasai enak dan lazat menjadi
kerajaan dan berkuasa. Kerana keenakkan itu mereka seperti sudah tidak
melihat Umno dan PN itu penting lagi. Pas memikirkan dirinya lebih utama
daripada mana-mana pihak. Ia boleh diperhatikan kepada sikap Pas yang
awal-awal lagi bersetuju untuk menjadi jawatankuasa penaja pembentukan
PN untuk didaftarkan.
Keadaan Umno hari ini seperti dibuli oleh Pas. Dan Pas yang mengamalkan politik pragmatis itu tidak mengalami apa-apa kerugian kalau ia bersikap begitu. Pas adalah gergaji mata bulat atau pun menjadi sang cencorot (shrew) yang boleh meleperkan tubuh untuk memasuki mana-mana lubang walaupun kecil sekali pun. Sebaliknya yang akan rugi dan terjepit kelak adalah Umno serta sekutunya yang lain.
Kenapakah
keadaan ini menimpa Umno? Dimana dan apakah puncanya? Sebenarnya tidak
sukar untuk menilai dan mengetahui sebab musabab kenapa berlaku situasi
ini. Semuanya ia terletak atau puncanya kepada orang yang menjadi
presiden Umno pada masa kini, iaini Ahmad Zahid Hamidi. Zahid boleh
diibaratkan sebagai gembala gajah yang tidak tahu untuk mengembalai
gajah sehingga beliau tidak dapat memanfaatkan kuasa gajah yang besar
itu.
Umno umpama seekor gajah besar yang gagah
perkasa. Kewujudannya sejak berdekad dan telah menunjukkan kehebatan dan
kegagahan serta banyak jasanya. Umno adalah parti memperjuangkan
kemerdekaan dan pernah menjadi kerajaan dan memerintah Malaysia sejak
tahun 1955 lagi. Seharusnya keperkasaan gajah bernama Umno itu
dimanfaatkan sebaik mungkin dan ia tidak boleh dipermain dan
diremehkan.
Namun disebabkan sang gembalanya
kini tidak berpengalaman, tidak ada ilmu untuk menggerak dan menggunakan
gajah yang besar itu, maka jadilah Umno seperti hari ini diperkotak
katikkan oleh parti-parti lain yang jauh lebih kecil dan baru berbanding
dengannya. Umno kini sudah jadi macam gajah kurus yang takut melihat
air.
Satu bukti menunjukkan kegagalan Zahid
dalam melihat keperkasaan Umno nilai sahaja kepada komposisi dalam
pembentukan kerajaan PN. Kalau diikut kepada kapasiti dan peranan
dimainkan Umno tidak sepatutnya parti Melayu itu dilayan seperti melukut
dalam kerajaan PN. Bayangkan Umno memiliki 38% kerusi parlimen tetapi
ia diberikan 28% jawatan dalam kerajaan dengan sembilan (9) jawatan
menteri dan sembilan (9) jawatan timbalan.
Manakala
Bersatu yang memiliki 26% ahli parlimen tetapi menguasai 34% jawatan
dalam kerajaan dengan 11 jawatan menteri dan 24 timbalan menteri.
Manakala parti-parti lain, GPS empat (4) jawatan menteri, Pas tiga (3)
menteri dan MCA, MIC dan PBS masing-masing satu menteri.
Dilihat
kepada peratus pemilikan kerusi parlimen itu Umno tidak sepatutnya
berada dibawah Bersatu sebuah parti baru apalagi kejayaan menumbangkan
PH itu pun disokong oleh Umno dan Pas. Tetapi kerana presidennya tidak
berusaha untuk membela partinya, maka berlakulah apa yang berlaku itu.
Di sini jelas bahawa Zahid sebagai presiden tidak bijak mengambil
kesempatan dan sekaligus menjadikan partinya sebagai tonggak kepada
kerajaan PN, Umno hanya musafir lalu sahaja dalam kerajaan PN.
Sepatutnya
kalau Zahid bijak beliau boleh bertarik tali dengan Muhyiddin dengan
mendesak dan menuntut kedudukan lebih istimewa kerana jikalau tanpa
sokongan Umno yang sudah bermuafakat dengan Pas tidak mungkin Bersatu
dan kumpulan serpihan PKR serta GPS berjaya menumbangkan kerajaan PH.
Zahid tidak menggunakan aset dan peluang itu.
Tetapi
seperti dikatakan tadi kerana Zahid bukan seorang gembala yang handal
dan mengetahui bahawa gajah yang dikendarainya berkuasa tinggi, maka
jadilah apa yang berlaku sekarang. Umno ditangan Zahid menjadi gajah
cacat dan tempang yang takut untuk menyeberangi sungai.
Gajah putih perkasa.
Orang
Umno harus membaca dan memahami nasib dan masa depan Umno atau gajah
dibawa kendarai gembala yang tidak berpengalaman itu berketurunan Jawa
Ponorogo itu. Orang Umno harus sedar bahwa mereka memiliki seekor gajah
putih perkasa untuk membela bangsa dan negara. Gajah itu menjadi harapan
bangsa harus dipandu dengan baik oleh seorang yang mahir dan
bertrampilan. Jangan sia-siakan keberadaan sang gajah itu.
Sebenarnya
gajah bernama Umno itu masih boleh dimanfaatkan. Kecacatan dan
ketempangan bukan pada fizikal tetapi pada akal gembalanya. Kehebatan
dan kegagahannya untuk bekerja demi negara bangsa masih boleh
diperlakukan.
Cuma Umno harus mengenali dan
mencari seorang gembala yang handal, bijak dan benar-benar reti seluk
belut menggunakan kuasa gajah dan juga hal ehwal hutan belantara
(politik) yang kronik dan rumit. Sebolehnya kalau hendak cari gembala
biarlah seorang tokoh yang belum pernah terjatuh dari belakang gajah,
ataupun terlumur dengan najis atau sedang berada dibirai jerat maut.
Mereka yang tahu membezakan mana gading dengan kuku gajah bukannya yang
tahu hanya duduk selimpuh di atas rengganya sambil meneguk tuak masam.
Mereka
yang sudah tercemar, terpijak najis gajah, atau pernah dicakar harimau,
tidak boleh lagi diambil atau dibiarkan untuk menjadi gembala kerana ia
sudah ada sial dan majalnya. Tokoh-tokoh atau gembala lama seperti
Najib Razak juga sudah tidak relevan lagi. Dalam hal ini apa yang tampak
antara tokoh dalam Umno yang boleh diambil atau diberikan tugas
mengembala gajah bernama Umno adalah Tengku Razaleigh Hamzah. Kenapa.
Glosorri:
Rengga = tempat duduk atas belakang gajah.
0 comments:
Catat Ulasan