Mana garis panduan kawasan bebas berniaga KL, soal pemimpin PKR


LANGKAH menteri Wilayah Persekutuan untuk membenarkan peniaga menjalankan perniagaan dengan bebas di ibu negara tidak rasional kerana tiada garis panduan mengenai lokasi berniaga diberikan, kata pemimpin PKR.

Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan Zahir Hassan berkata, pemeriksaan di laman web Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak menemukan maklumat berkaitan.

“Seolah-olah pernyataan itu dikeluarkan tanpa perbincangan dan perancangan yang teliti dengan pelbagai pihak berkepentingan.

“Ada kemungkinan Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa mahu menjadi popular dan meningkatkan sokongan, tetapi kenyataannya memang tidak bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, Annuar berkata penduduk bandar yang berminat untuk menjalankan perniagaan kecil-kecilan seperti gerai boleh berbuat demikian di mana-mana lokasi sesuai mulai 15 November.

Beliau bagaimanapun berkata mereka perlu memohon lesen perniagaan sementara yang sah selama enam bulan di laman web DBKL, yang akan ditawarkan secara percuma.

“Mulai Ahad 15 November ini, Kuala Lumpur akan menjadi ‘wilayah bebas berniaga’ …sesiapa yang ingin berniaga tidak kira sepenuh masa atau separuh masa boleh memilih tempat yang sesuai, misalnya depan rumah atau di tepi jalan kawasan perumahan.

“Permohonan lesen itu bertujuan untuk makluman dan rekod data DBKL sahaja. Pemohon akan mendapat lesen sementara secara automatik dan kemudian DBKL akan membuat pemantauan.”

Walaupun sokongan harus diberikan kepada mereka yang ingin berniaga, Zahir berkata perlu ada struktur yang tepat, jika tidak ia akan memberi masalah jangka panjang kepada orang ramai.

Zahir juga berkata beliau tidak pasti sama ada Annuar sedar mengenai kewujudan undang-undang dan peraturan termasuk akta berhubung pelesenan penjaja di Wilayah Persekutuan.

“Walaupun kamu ingin memudahkan warga kota berniaga, perlu ada infrastruktur asas seperti bekalan air dan elektrik yang disediakan untuk melindungi hak semua pihak yang berkepentingan.

“Faktor kesihatan juga harus diambil kira untuk kepentingan peniaga, pekerja dan pelanggan.”

Zahir berkata, langkah-langkah untuk mencegah penyebaran sebarang penyakit juga harus dititikberatkan termasuk perlunya suntikan imunisasi seperti kepialu.

“Kita sudah menghadapi wabak Covid-19. Kita tidak mahu lagi wabak atau penyakit lain.”

Tambahnya pencemaran bau dan persekitaran juga boleh berlaku sekiranya tidak ada garis panduan yang jelas dan jika keperluan asas tidak disediakan.

“Sebagai contoh, bayangkan peniaga menjual ayam mentah, air buangan disalirkan ke longkang perumahan yang akan memberi rasa tidak selesa di kejiranan.”

Oleh itu kata Zahir, mereka menuntut perancangan yang lebih teliti dan mampan berhubung perkara itu.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan