Umno lawan Umno

 


Oleh Mohsin Abdullah 

Sekali lagi saya mulakan artikel dengan memetik laporan yang disiar FMT. Laporan bertarikh 22 Nov mengenai “nasihat” seorang ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno kepada seorang lagi ahli MKT.

Yang memberi “nasihat” ialah Puad Zarkashi. Ditujukan kepada Annuar Musa.

Annuar sebelum ini mendakwa segelintir ahli Umno sudah lupa parti mereka kalah dan jatuh. Lantas kata Annuar, Umno mesti “sedar diri” dan tidak berhak mempersoalkan layanan yang diterimanya dalam Kabinet Muhyiddin Yassin (yang bagi beliau adalah baik dan adil walaupun ada dalam Umno yang mengatakan sebaliknya).

Annuar juga dipetik berkata Umno perlu lupakan luka lama dan bangkit mengukuhkan muafakat Melayu-Islam jika mahu menang PRU-15. Ini jelas merujuk terhadap kemarahan Umno terhadap parti serpihannya, PPBM, manakala muafakat Melayu-Islam yang disebut ialah gandingan Umno-PAS yang dikenali sebagai Muafakat Nasional.

Bercakap mengenai MN, Annuar berkata tanpa PPBM, PAS tidak akan bersama Umno (menurut laporan media sudah ada ketegangan dalam MN khususnya mengenai agihan kerusi untuk PRU-15 kelak).

Lalu Puad mengingatkan Annuar jangan mendahului presiden Umno dan jangan jadi ketua penerangan parti lain. Kata beliau, Annuar menjadikan Umno terlalu defensif, seolah-olah ia “budak jahat”.

Beliau mengulangi hujah Presiden Zahid Hamidi: “tidak timbul siapa berbudi,siapa yang terhutang budi”.

Timbalan Pengerusi Umno Johor, Nur Jazlan Mohamed, menyifatkan Annuar sebagai figura yang “sudah mati” dalam perjuangan Umno. Dalam erti kata lain, bagi beliau sudah tidak ada lagi “semangat dan ciri-ciri Umno” dalam jiwa Annuar.

Jazlan dan Puad orang Umno Johor. Begitu juga Shahrir Samad yang kerap mengkritik Annuar. Adakah sesuatu kebetulan Umno Johor “menyerang” orang Umno Kelantan? Waullahualam.

Apa pun Annuar dilihat pelbagai pihak termasuk pemerhati politik, bercakap bagai presiden parti. Setuju atau tidak terpulang. Namun beliau antara yang ke depan mempertahankan Muhyiddin, kerajaan Perikatan Nasional, malah PPBM berhubung beberapa isu panas yang timbul.

Sememangya sebagai menteri dalam Kabinet Muhyiddin, adalah wajib dan menjadi tanggungjawab Annuar mempertahankan kerajaan dan bos beliau. Pun begitu beliau dilihat “terlalu lantang” dalam bertindak demkian, berbanding Ismail Sabri umpamanya. Ismail naib presiden Umno, malah memegang jawatan menteri kanan.

Annuar “sekadar menteri biasa”.

Namun itu bukan masalahnya. Masalahnya ialah walaupun Annuar (bersama Ismail dan beberapa orang Umno) berada dalam kerajaan PN, parti mereka berada di luar.

Oleh itu, kenyataannya kerap dianggap tidak senada dengan irama Umno. Atau seurang-kurangnya berlainan dengan pendapat dan pandangan beberapa pemimpin tertinggi Umno.

Bukanlah rahsia besar dalam Umno ada puak atau kem. Seperi parti politik lain.

Seperti apa yang pernah terjadi dengan parti lain, Umno juga pernah mengalami pertembungan antara kem. Pada 1987 umpamanya yang menyaksikan perpecahan dan kelahiran Parti Semangat 46 pada tahun berikutnya. Parti itu dibubarkan pada 1996 dan sebahagian ahlinya temasuk pemimpin menyertai Umno semula.

Pada 2016, kumpulan yang tidak sehaluan dengan presiden ketika itu bertindak menubuhkan PPBM. Kita tahu Perdana Menteri Muyiddin ialah presiden PPBM.

Umno (bukan semua tetapi sebahagian besar pemimpin dan ahli) tidak pernah memaafkan PPBM. Bagi mereka, PPBM menikam Umno dari belakang.

Oleh itu tidaklah memeranjatkan apabila Annuar mempertahankan Muhyiddin, dan secara langsung atau tidak, PPBM. Walau apa pun alasan, tindakan itu tidak disenangi sebahagian ahli Umno. Ada yang menuduh beliau “sudah naik sedap jadi menteri”.

Tidak dinafikan pelbagai isu panas yang timbul ada kaitan dengan hubungan Umno-PPBM. Sama ada mahu menyokong penuh PPBM dan PN masih samar-samar.

Belanjawan 2021 yang akan menjalani proses pengundian di Parlimen beberapa hari lagi juga menunjukkan perselisihan dalam kalangan Umno. Ada pemimpinnya membayangkan belanjawan itu perlu ditolak “demi rakyat”. Namun kita tahu jika belanjawan tidak diluluskan Parlimen, Muhyiddin terpaksa letak jawatan.

Ada pemimpin lain daripada Umno pula menyatakan menolak belanjawan bererti satu pengkhianatan.

Pemimpin veteran, Tengku Razaleigh Hamzah, pula mengumumkan beliau tidak akan menyertai perbahasan Belanjawan 2021 selagi Speaker Dewan Rakyat tidak membenarkan keabsahan Muhyiddin dan kerajaan Perikatan Nasional dibuktikan.

Banyak lagi percanggahan pandangan dan sebagainya yang dipapar luas dan secara terbuka – memberi gambaran Umno sedang memerangi dirinya. Umno lawan Umno.

“Tindakan beberapa kumpulan dalam Umno semakin menunjukkan tanda-tanda perpecahan dalam parti. Ada yang secara terbuka mempertikai keputusan yang sudah dicapai ‘within four walls’,” kata penganalis politik, Sivamurugan Pandian.

Kata beliau, beberapa kumpulan dalam Umno mempunyai cara tersendiri khususnya untuk mengurus hubungan dengan PN mahu pun MN.

Oh Ei Sun, seorang lagi penganalis poltik berkata perlu diingat Umno kini tidaklah semata mata didorong ideologi. Sebaliknya menurut Oh, ia parti yang didorong pengagihan feadah politik.

“Lain pemimpin lain kepentingan politiknya. Maka timbul bermacam-macam pandangan, pendapat, dan kenyataan. Ada yang mahu sokong Muhyiddin ada yang tidak mahu. Jadi ini bukan percanggahan pendapat atau ideologi semata-mata. Sebaliknya ini mengenai cara terbaik mencapai faedah politik dan matlamat masing masing,” kata beliau.

Adakah ini akan mengakibatkan Umno bepecah? Oh tidak menjawab secara khusus. Sebaliknya menurut beliau, “dalam lanskap politik yang agak terbelah masa kini, beberapa orang pemimpin, tidak perlu ramai mungkin cuma 10 orang, boleh memainkan peranan penting dalam keadaan begini, menggorak langkah untuk mencapai matlamat atau hasrat politik masing-masing.”

Bagi Siva, Umno perlu ada hanya seorang jurucakap. Maknanya bukan semua dizin bercakap mengenai isu kepada umum secara terbuka. Kegagalan berkomunikasi, kata beliau, akan meluaskan lagi jurang perbezaan antara mereka. Katanya lagi, Umno perlu merapatkan barisan.

Bagi saya, berdasarkan bahasa kasar yang digunakan dan apa yang sedang disajikan sekarang, itu “is easier said than done”. Bukan mustahil tapi susah.

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

1 comments:

  1. rupanya berjaya juga dapig mempromosi slogan melayu lawan melayu, nak tunggu promosi apa lagi dapig akan ajukan, tentunya pasti akan laku seperti pisang goreng

    BalasPadam