Sokong PKP, Pemuda PSM gesa laksana moratorium automatik


KUALA LUMPUR, ― Tindakan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam buah negeri bermula Rabu merupakan langkah tepat dalam membendung penularan Covid-19 yang kian membimbangkan.

Pemuda Parti Sosialis Malaysia (PSM) berpandangan, PKP adalah perlu memandangkan jumlah kes harian kini mulai mencecah empat angka.

Bagaimana pun, Pemuda PSM berpandangan terdapat beberapa tindakan yang perlu dilakukan kerajaan agar rakyat tidak terbeban dengan pelaksanaan PKP tersebut.

Antara langkah yang boleh diambil kerajaan termasuk melaksanakan moratorium secara automatik kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

“Pelanjutan moratorium ini akan membantu golongan pekerja dan pemilik syarikat kecil dan sederhana untuk mengharungi pandemik Covid-19.

“PKP di 6 negeri kali ini pasti akan mewujudkan situasi di mana rakyat akan kehilangan kerja dan berlaku pengurangan gaji.

“Pelanjutan moratorium ini adalah sesuatu yang rakyat perlu, buat masa sekarang dan sesuatu yang minima kerajaan boleh buat untuk membantu rakyat dalam mengharungi jangka masa ini,” memetik kenyataan dikeluarkan.

Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan enam negeri dikenakan PKP bermula Rabu ini selama 14 hari.

Negeri yang dikenakan PKP termasuk Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan, Melaka, Johor dan Sabah.

Sementara itu, Pemuda PSM turut mencadangkan agar PKP terus dilaksanakan apabila kapasiti hospital tertentu mencapai bilangan pesakit maksima.

Pada masa sama, kerajaan juga diseru agar menyerap penganggur belia sebagai pekerja sosial dalam jangka masa pandemik.

“Kita memerlukan ramai pekerja sosial di kawasan-kawasan tertentu supaya bantuan kerajaan sampai kepada rakyat dan keperluan rakyat dikemukan kepada pihak kerajaan.

“Tanpa pekerja-pekerja sosial yang efektif, memang mempunyai kemungkinan besar kepentingan rakyat dibiar tanpa diberi perhatian dalam jangka masa ini,” kata kenyataan itu lagi.

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan