Oleh Mohsin Abdullah
Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, membuat catatan Facebook menegaskan partinya bukan parti tidak sedar diri dan bukan parti lemah. Kata beliau, Umno tahu apa yang ia patut tahu. Umno juga, kata Zahid, sama sekali tidak menyerah kalah, tunduk, dibuli, atau dibeli.
Cukup menarik catatan itu. Ia dibuat ketika timbul desakan dalam kalangan beberapa pemimpin akar umbi di peringkat bahagian supaya beliau melepaskan jawatan.
Jika anda biasa memerhati Umno, cakap berlapik, kiasan, sindiran kerap digunakan bila berbicara akan sesuatu isu walaupun kecaman “direct” tidak diketepikan. Ada masa sindiran dan kiasan dan ada masa hentam terus.
Berdasarkan itu, adakah menerusi catatan Facebooknya, Zahid menjawab golongan yang mendesak beliau letak jawatan? Jawab secara “halus” supaya yang perlu faham akan faham? Adakah beliau bercakap untuk dirinya?
Adakah ketika berkata “Umno bukan lemah, tahu apa yang ia patut tahu”, Zahid sebenarnya menegaskan beliau lah yang bukan lemah itu (antara tuduhan ke atas beliau ialah kepimpinannya lemah) dan beliau lah yang tahu apa yang patut tahu?
Apabila berkata “Umno tidak menyerah kalah, tunduk, dibuli, atau dibeli”, bermaksud Zahid selaku presiden menegaskan beliau juga tidak akan menyerah kalah, tidak akan tunduk, dibuli, atau dibeli?
Dalam erti kata lain, Zahid tidak akan tunduk dengan desakan lepaskan jawatan presiden. Beliau tidak akan berganjak. Begitu?
Pemerhati politik tidak menjangka beliau akan meletakkan jawatan, dan berpendapat kedudukan beliau sewajarnya ditentukan menerusi pemilihan parti – jika beliau mahu mempertahankan jawatan.
Menurut perlembagaan parti, pemilihan diadakan setiap tiga tahun. Kali terakhir pemilihan diadakan pada 2018 (ketika itu Zahid menewaskan Tengku Razaleigh Hamzah dan Khairy Jamaluddin serta dua pencabar lain untuk jawatan presiden). Oleh itu pemilihan mesti diadakan tahun ini tetapi statusnya tidak dapat dipastikan berikutan wabak Covid-19, darurat, dan PKP.
Berbalik kepada ungkapan Zahid bahawa Umno tidak menyerah kalah, tunduk, dibuli, dan dibeli. Ada orang percaya Umno memang sebegitu.
Namun yang pasti, satu ciri yang boleh ditambah ialah Umno juga berpecah, selain tidak menyerah kalah dan sebagainya. Ini ramai setuju. Sejarah parti menunjukkan perpecahan terjadi sejak zaman Onn Jaafar lagi.
Onn keluar Umno setelah cadangannya untuk membuka keahlian parti kepada semua bangsa ditolak. Allahyarham menubuhkan Independence of Malaya Party atau IMP sebelum menubuhkan pula Parti Negara. Tengku Razaleigh juga pernah keluar Umno dan menubuhkan Semangat 46 setelah “berperang” dengan Dr Mahathir Mohamad pada 1987. Semua parti itu tidak lagi wujud.
Umno bagaimanapun kekal ke hari ini. Suka atau tidak, Umno sekarang tidak seperti dulu dan tidak sekuat masa lalu – itu soal lain. Hakikatnya parti itu masih wujud.
Apa pun adakah Umno kini menuju perpecahan? Umno sejak dulu diketahui berpuak-puak. Ada tim, kem, dan geng dikaitkan degan “warlord” atau panglima perang. Pun begitu muncul dua kumpulan utama dalam Umno masa ini. Satu kumpulan mahu Umno putus hubungan dengan PPBM, dan satu lagi mahu Umno teruskan hubungan dengan parti pimpinan Muhyiddin Yassin.
Ini semua sudah maklum. Malah ada pihak melihat desakan ke atas Zahid sebenarnya berkaitan secara langsung dengan hubungan Umno-PPBM. Dikatakan ia daripada kumpulan yang mahu Umno berdamai dan teruskan hubungan dengan PPBM. Sama ada tangan ghaib bermain di belakang desakan Zahid undur tidak dapat dipastikan atau dinafikan.
Yang jelas kumpulan berkenaan percaya Zahid mahu hubungan Umno-PPBM diputuskan. Namun Umno sudah pun bersetuju isu hubungan dengan PPBM dibawa ke perhimpunan agung parti untuk keputusan muktamad – langkah yang direstui Zahid. Ini setelah kebanyakan Umno bahagian mahu hubungan dengan PPBM diputuskan. Bagaimanapun perhimpuan agung yang dijadual 31 Jan ditangguhkan setelah darurat diisytihar.
Ada yang berpendapat suara Umno bahagian itu didorong apa yang presiden mahu. Ada yang mendakwa keputusan di perhimpuan agung parti sekali pun boleh “dicorakkan” untuk selari dengan kemahuan pucuk pimpinan (baca presiden). Lalu kumpulan anti-Zahid mungkin yakin jika presiden Umno diganti, Umno akan kekal bersama PPBM.
Bagi saya, Umno kini “split” dua. Jika kumpulan anti-Zahid keluar Umno, mereka tidak akan menubuhkan parti baru sebaliknya menyertai PPBM. Jika ini berlaku yang tinggal dalam Umno ialah kumpulan pro-Zahid.
Satu sumber yang rapat dengan Zahid kurang setuju. “Tidak juga…yang dalam Umno adalah ahli dan pemimpin yang tulen. Tak kira siapa pemimpin mereka tetap dengan Umno. Yang kata ‘split’ itu provokasi ahli yang pro-PPBM. Akar umbi ‘solid’ seperti yang ditunjuk dalam mesyuarat bahagian,” kata sumber itu.
Lagi pun, kata sumber berkenaan, “Zahid dah bagi ‘green light’ untuk pemilihan tahun ini”.
Bercakap mengenai provokasi, saya teringat Azmin Ali dan kumpulanya semasa mereka dalam PKR dulu. Mereka berperang degan Anwar Ibrahim dan membuat pelbagai provokasi. Anwar tidak makan umpan dan kumpulan itu kekal dalam PKR sehinggalah Langkah Sheraton tercipta. Mereka dipecat selepas tetapi ketika itu pemecatan tidak bermakna.
Provokasi supaya dipecat juga, pada hemat saya, sedang dilakukan puak pro-PPBM dalam Umno diketuai pemimpin tertentu.
Dipecat akan menyaksikan mereka dilihat sebagai “wira” atau orang yang “dianiayai”. Ini akan memudahkan laluan mereka menyertai PPBM kerana “bukan kami yang hendak tinggalkan Umno, kami dipecat dan tiada pilihan”.
Tidak dipecat, mereka akan terus jadi duri dalam daging, khususnya buat Zahid. Kesimpulannya – seakan akan lagu R Azmi – pecat salah, tak pecat salah , jadi semua serba salah.
0 comments:
Catat Ulasan