Boleh tukar kerajaan tanpa pilihan raya, kata Pejuang


 Oleh 

KERAJAAN masih boleh ditukar tanpa melalui proses pilihan raya bagi mengelakkan rakyat terdedah kepada jangkitan Covid-19, kata presiden penaja Pejuang Mukhriz Mahathir.

Jelasnya, ini kerana Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak wajar diadakan dalam masa terdekat memandangkan kadar jangkitan Covid-19 masih tinggi.

Ahli Parlimen Jerlun itu bagaimanapun berkata, kerajaan masih boleh ditukar sebelum penggal Parlimen ke-12 berakhir.

“Pada pandangan kami tak wajar diadakan pilihan raya umum dalam masa terdekat, biarlah habis penggal.

“Tapi kalau nak tukar kerajaan sekiranya cukup bilangan boleh tukar tak perlu dedahkan rakyat kepada ancaman Covid-19,” katanya.

Katanya, Pejuang bimbang dengan rancangan untuk mengadakan pilihan raya umum sewaktu Covid-19 masih berisiko mengancam nyawa rakyat.

“Terkini kita juga dengar, ada desas-desus akan diadakan pilihan raya umum tak lama lagi. Untuk itu darurat perlu dihentikan dahulu.

“Tapi untuk menamatkan darurat, kadar Covid-19 ini juga mesti menurun ke paras yang boleh kita rasa selesa dan tidak lagi mengancam,” kata Mukhriz.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada bulan lalu memberi jaminan untuk membubarkan Parlimen sebaik sahaja pandemik reda bagi membolehkan PRU15 diadakan.

Ia ekoran kritikan dan kebimbangan yang timbul selepas darurat diisytiharkan, berkuatkuasa sejak 11 Januari sehingga 1 Ogos.

Tiga ahli Parlimen pembangkang yang terdiri daripada Dr Dzulkefly Ahmad, Saifuddin Nasution dan Anthony Loke dilantik dalam Jawatankuasa Khas Bebas mengenai pelaksanaan darurat.

Jawatankuasa itu antara lain akan menasihati Yang di-Pertuan Agong sama ada perintah darurat dapat ditamatkan lebih awal.

Mengulas lanjut, Mukhriz berkata Pejuang bagaimanapun bimbang sekiranya suara tiga ahli Parlimen pembangkang dalam jawatankuasa itu tidak diambil kira dan diketepikan.

Beliau antara lain mempersoalkan kaedah yang akan digunakan jawatankuasa berkenaan dalam membuat keputusan sama ada darurat dapat ditamatkan lebih awal.

Mukhriz antara lain mempersoalkan sekiranya syor dikemukakan kepada Agong itu berdasarkan laporan Kementerian Kesihatan Malaysia dan pelbagai pakar bidang.

Jelasnya, beliau bimbang sekiranya keputusan dibuat atas kepentingan pihak tertentu sahaja.

“Jadi untuk mencapai keputusan itu adakah secara sebulat suara, termasuk tiga pembangkang itu atau dengan majoriti?

“Kita bimbang nanti atas kepentingan pihak tertentu, walaupun tiga orang wakil rakyat tidak setuju, majoriti buat keputusan untuk menamatkan darurat dengan mengadakan pilihan raya umum.”

Mukhriz berkata demikian dalam satu sidang media dalam talian petang ini yang diadakan bagi mengumumkan barisan kepimpinan terkini Pejuang.

Beliau antara lain mengumumkan pelantikan Marzuki Yahya dilantik sebagai timbalan presiden dan Ulya Aqamah Husamudin sebagai ketua penerangan.

Beliau juga umum pelantikan tiga ketua sayap, Che Asmah Ibrahim mengetuai Pejuanita, Abu Hafiz Saleh Hudin sebagai ketua Pejuang Muda dan Nurul Ashikin Mabahwi sebagai ketua Pejuanita Muda
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan