Muhyiddin masih tak ada majoriti meski raih sokongan 2 lagi MP - PKR


PKR mendakwa bahawa Muhyiddin Yassin masih tidak mempunyai majoriti sokongan ahli parlimen walaupun dua ahli parlimen daripada parti itu beralih sokongan dan menyokong kepimpinan Perikatan Nasional (PN).

Dalam kenyataan media hari ini, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution berkata bahawa Muhyiddin tidak sepatutnya berusaha untuk mengekalkan kerajaan PN.

"Walaupun dengan pengkhianatan dua ahli parlimen hari ini, Muhyiddin Yassin perlu sedar bahawa majoriti ahli-ahli arlimen sudah tidak lagi bersama beliau.

"Beliau sepatutnya tidak lagi berusaha untuk mengekalkan kerajaan yang lemah ini, tetapi meletakkan jawatan secara terhormat berdasarkan Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Dia berkata demikian selepas petang tadi Muhyiddin mengumumkan Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong dan Anggota Parlimen Julau Larry Sng memberikan akuan bersumpah (SD) menyatakan sokongan terhadap kerajaan PN.

Ini sekali gus mengesahkan desas-desus dua anggota parlimen PKR itu meninggalkan parti komponen Pakatan Harapan (PH).

Dengan sokongan Choong dan Sng, jumlah wakil rakyat pembangkang (PH) di parlimen kini berkurang kepada 89 orang.

Ini tidak termasuk parti Warisan dan Upko mempunyai sembilan wakil rakyat dan Pejuang empat orang tidak menyokong Muhyiddin.

Manakala, dua wakil rakyat dari Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan dua ahli parlimen Bebas (Mazlee Malik dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman) turut bertindak menolak kerajaan PN.

Bagaimanapun, jumlah sokongan kepada Muhyiddin masih tidak jelas walaupun kerajaan PN berjaya meluluskan Bajet 2021 pada Disember dengan sokongan 111 ahli parlimen.

Ini kerana, tiga anggota Dewan Rakyat Umno masing-masing Ahmad Jazlan Yaakub (Machang), Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang) dan Nazri Aziz (Padang Rengas) mengumumkan secara rasmi tidak menyokong Muhyiddin.

Difahamkan juga, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, bekas perdana menteri Najib Abdul Razak dan Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan, Ahli Majlis Tertinggi Umno Tajuddin Abdul Rahman (Pasir Salak) didakwa sebagai 'tidak mesra' terhadap Muhyiddin walaupun masih tidak menyatakan pendiriannya secara rasmi.

Dewan Rakyat kini mempunyai 220 anggota selepas kematian dua ahli parlimen, Liew Vui Keong (Batu Sapi) dan pemimpin Umno Hasbullah Osman (Gerik).

Sementara itu, PKR telah memecat Choong dan Sng serta-merta dalam mesyuarat bulanan majlis pimpinan pusat hari ini.

"Majlis Pimpinan Pusat telah membuat keputusan hari ini untuk memecat Larry Sng, Ketua Cabang Julau, dan Steven Choong, Ketua Cabang Tebrau, sebagai anggota PKR dengan serta-merta.

"PKR juga memohon maaf kepada para pengundi di Julau dan Tebrau di atas sikap dua ahli parlimen yang telah membuat tindakan keluar parti hari ini.

"Majlis Pimpinan Pusat juga telah membincangkan tindakan mahkamah yang telah dan akan diambil terhadap mereka yang telah bertanding di atas tiket PKR tetapi telah mengkhianati mandat rakyat dan keluar parti," kata Saifuddin.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen DAP Bukit Gelugor Ramkarpal Singh mengecam tindakan dua ahli parlimen PKR sokong Muhyiddin dan juga langkah PKR menerima tiga Adun Amanah dari Johor menyertai parti tersebut.

Sebelum ini, PKR juga telah merekrut dua Adun Amanah dari Selangor.

"Melompat parti adalah sangat tidak diterima bagi mana-mana sistem demokrasi di mana ia mampu tidak stabilkan mana-mana kerajaan, lebih-lebih lagi kerajaan lemah seperti PN.

"Saya telah mengatakan ini berkali-kali dan saya akan mengatakannya sekali lagi. Melompat parti mesti dihentikan dan dilarang.

"Mana-mana kerajaan hari ini yang mencadangkan ini melalui pindaan perlembagaan di parlimen pasti akan mendapat undi saya," katanya.

Berkenaan dengan tindakan Sng dan Choong, Ramkarpal berkata bahawa alasan yang mereka berikan mengenai bantuan dana untuk kawasan mereka sangat melucukan.

"Saya berkata demikian kerana hanya segelintir dalam Pakatan Harapan menjangka menjadi kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-14.

"Dengan kata lain, wakil-wakil ini mengharapkan kemungkinan sebenarnya berada di pembangkang setelah PRU ke-14 tanpa dana kerajaan untuk kawasan masing-masing, termasuk saya.

"Tidak pernah timbul isu dana untuk kawasan parlimen itu tetapi lebih kepada tujuan mewujudkan Malaysia yang lebih baik. Malaysia yang bebas dari rasuah, Malaysia yang bebas dari politik perlindungan, Malaysia yang bebas dari kleptokrat, antara lain, ” katanya.

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan