Jadi ahli PAS cuma pilihan, bukan wajib

Oleh Nik Mohamad Abduh

Apa hukum menjadi ahli PAS? Jawabannya, tidak wajib. Ia adalah pilihan. Anda boleh memilih untuk menjadi ahli PAS atau sebaliknya.

Kalau begitu, mengapa pula PAS serius mengajak orang ramai menjadi ahli PAS? Ya, PAS serius berkempen ke arah itu kerana ia menguntungkan Islam. Matlamat PAS adalah Islam. Maka menjadi ahli PAS bertujuan menjayakan perjuangan PAS iaitu Islam.

Jika ia tidak wajib, buat apa bersungguh-sungguh? Ya, kerana ianya satu pilihan. Maka ramai mengira ia tidak penting. Lainlah kalau wajib.

Justeru PAS terpaksa bersungguh-sungguh meyakinkan masyarakat bahawa menjadi ahli PAS banyak keuntungannya demi Islam dan umatnya.

Menjadi ahli PAS bukan wajib tetapi ia adalah satu jalan pilihan bagi melaksanakan kewajiban besar dalam beragama iaitu memastikan syariat Allah ditegakkan di bumi-Nya. Itulah matlamat PAS.

Apa yang wajib ialah Islam. Anda mesti menjadi seorang Muslim yang benar. Anda boleh sahaja bermain-main dengan Islam, mengucapkan syahadahnya sambil memperolokkan syariatnya, tetapi anda dimurkai Allah.

Apabila Allah murka, maka hukumnya adalah haram. Anda tidak boleh lakukan apa yang dimurkai Allah, apatah kekal dan berterusan melakukannya.

Justeru anda wajib beragama Islam secara benar. Islam main-main adalah batil walaupun ia bukan kekufuran yang nyata dan jelas batilnya.

Kurang jika tak dipugar

Kerana Islam itu tidak boleh main-main, maka anda juga wajib beriman - bukan sekadar Islam di lidah dan pada zahir diri. Islam adalah perakuan zahir di lidah dan amalan anggota tubuh dengan kewajiban agama seperti solat dan zakat.

Tetapi jika Islam tidak bertapak di dada dengan iman yang kukuh, anda ditempelak dan ditolak Allah. Anda akan terdedah dengan sifat nifak atau talam dua muka yang dimurkai oleh-Nya.

Maka seorang muslim wajib mengusahakan dirinya menjadi seorang mukmin juga.

Ini kerana Islam - walaupun ianya berkaitan urusan zahir - ia hanyalah terpakai dan berguna apabila lahir atau keluar dari batin, iaitu hati yang beriman. Kerana itulah solat dan semua ketaatan tertolak kecuali ianya terhasil daripada niat yang ikhlas.

Niat itu di dalam hati, bukannya tuturan lidah.

Kemudian anda wajib berusaha menyucikan diri dan jiwa secara berterusan. Sifat iman adalah naik dan turun atau bertambah dan berkurang mengikut kekuatannya berhadapan ujian Allah.
Ia pasti berkurang jika dibiarkan tanpa dipugar dengan baik. Ia bertahan atau bertambah kuat jika penyucian jiwa dan pemugarannya dilakukan sentiasa.

Penyucian jiwa bermula dengan pengenalan terhadap Allah dan kepercayaan serta iman yang ditambah baik melalui ilmu tauhid. Tanpa tauhid yang benar, jiwa tidak akan mampu disucikan. Tauhid adalah pelantaian dan tiang utama penyucian jiwa.

Jiwa juga disucikan melalui amalan ketaatan kepada-Nya dengan menarik dan menanam sifat-sifat terpuji (mahmudah) di dalam diri. Ia juga berlaku dengan menolak dan membuang sifat-sifat keji (mazmumah) dari dalam diri.

Justeru seorang muslim atau mukmin wajib melakukan proses penyucian jiwa yang berterusan. Memelihara diri daripada tergelincir iman dan Islam adalah wajib.

Apa yang wajib adalah dakwah. Anda wajib berdakwah kepada Islam. Ini kerana Islam adalah untuk semua. Ini kerana Islamlah satu-satunya agama di sisi Allah yang diredai-Nya. Justeru membiarkan kesesatan manusia adalah haram. Maka berdakwah adalah wajib.
Islam tidak tersebar kepada sesama manusia kecuali hasil sebaran sesama manusia juga sama ada secara lisan atau apa jua kaedah dakwah yang sahih.

Islam bukan disebar oleh para malaikat yang diutuskan atau melalui apa-apa mukjizat tersendiri daripada Allah. Ia disebar oleh para nabi yang berstatus manusia. Tanpa para nabi berdakwah, Islam akan kekal di dalam tubuh para nabi sahaja.

Para nabi tidak diutus untuk dirinya sahaja, bahkan untuk sekelian alam.

Kewajiban berdakwah tidak sama. Ia berbeza-beza mengikut keadaan. Orang alim tugas dakwahnya lebih besar berbanding orang biasa yang kewajibannya hanyalah berdakwah dan menjaga anak isterinya serta persekitaran sekelilingnya sahaja.

Begitu juga orang kaya atau miskin, lelaki atau perempuan. Ia berbeza-beza, tetapi ia tetap adalah kewajiban ke atas semua.

Suara kecil tak mampu

Apa yang wajib ialah melaksanakan segala perintah Allah di dalam kehidupan. Itu maksud beribadah kepada-Nya yang menjadi matlamat kehidupan di dunia.

Itu juga maksud melaksanakan tugas sebagai khalifah Allah di muka bumi. Sebagaimana solat adalah kewajiban, begitulah menegakkan hukum Islam di dalam sektor ekonomi, sosial, jenayah dan sebagainya.

Oleh kerana kewajiban berhukum dengan syariat Allah dalam masyarakat dan negara itu tidak mampu dilaksanakan oleh individu, bahkan oleh masyarakat dan negara itu sendiri, maka menyuruh dan menggerakkan masyarakat dan pemerintah ke arah melaksanakannya adalah wajib.
Setiap muslim wajib bertindak melaksanakan kewajiban menyeru kerajaan untuk memerima Islam sebagai sumber hukum.

Apa yang wajib adalah mengukuhkan kekuatan suara dakwah agar didengari dan diterima oleh masyarakat dan kerajaan. Hanya suara dakwah yang besar dan gagah sahaja yang mampu memaksa pemerintah untuk akur. Ternyata dalam sejarah suara kecil dakwah tidak mampu mengubah masyarakat dan negara.

Apabila berlaku pertentangan dengan pihak yang menentang pelaksanaan syariah Islam, maka kewajiban adalah jihad fi sabilillah iaitu bersungguh-sungguh bekerja dan berkorban untuk Islam dengan segala kepunyaan termasuk tubuh, jiwa, harta, masa, tenaga dan segalanya.

Oleh kerana jihad fi sabilillah tidak akan membuahkan hasil jika ianya dilakukan secara terpisah-pisah tanpa kekuatan yang disatukan, maka kewajiban seterusnya adalah kesatuan umat bagi melaksanakan jihad.

Kesatuan pula terjadi dengan wujudnya ciri-ciri utama sebuah kesatuan seperti ketua yang didengari dan ditaati serta ahli yang saling mempercayai dan bekerjasama di antara mereka.

Oleh kerana kerajaan-kerajaan negara umat Islam hari ini tidak melaksanakan Islam secara syumul dan sempurna, maka mestilah wujud kesatuan di dalam masyarakat sivil yang mampu memaksa kerajaan untuk melaksanakan kewajiban agama tersebut.

PAS bersungguh-sungguh

Kerajaan lahir dari kuasa rakyat. Jika ia gagal, maka menjadi kewajiban rakyat untuk memperbaiki atau menukarkannya.

PAS lahir daripada tanggungjawab ini iaitu menyatukan umat Islam ke arah perlaksanaan syariat Allah dalam negara. Ia adalah satu kewajiban dan jihad.

Bersama PAS lahir juga persatuan-persatuan dan kumpulan-kumpulan lain yang menyeru kepada matlamat yang sama.

Maka wujud kumpulan atau jemaah dengan pandangan dan cara yang berbeza-beza. Alangkah baik jika kumpulan ini disatukan atau didekatkan demi mempercepatkan seruan ke arah penyatuan umat.
Oleh kerana pilihan jemaah adalah lebih daripada satu, maka umat Islam mempunyai pilihan untuk menyertai mana-mana jemaah pun yang mereka suka.

Ini hanyalah soal ketepatan di dalam memilih yang terbaik. Memilih yang terbaik adalah amalan mulia dan terbaik umat Islam.

Menjadi ahli PAS adalah pilihan, bukan kewajiban. Kewajiban adalah melaksanakan syariat Allah dengan setiap muslim mesti memastikan masyarakat dan kerajaan melaksanakannya.
Ia tentunya sukar jika kerajaan sendiri bertindak menolak dan melawan. Maka kekuatan ramai dan berkualiti adalah kewajiban yang nyata.

Oleh kerana PAS yakin dengan kekuatan yang dimilikinya melalui usaha yang tidak mengenal penat lelah sejak sekian lama sama ada dari sudut kualiti atau kuantiti, maka PAS bersungguh-sungguh berkempen bagi meyakinkan masyarakat bahawa PAS adalah pilihan terbaik bagi mencapai dan menjayakan kewajiban yang menjadi matlamat Islam iaitu melaksanakan syariat Allah di muka bumi.

Justeru kempen menjadi ahli PAS adalah satu ajakan untuk semua rakyat bersama-sama bergerak secara tersusun dan penuh kekuatan mencapai kuasa pemerintahan ke arah perlaksanaan syariat Allah di muka bumi.

Walaupun menjadi ahli PAS adalah satu pilihan, tetapi memilih untuk menjadi ahli PAS adalah keputusan tepat yang pasti memberi kekuatan sama ada kepada individu tersebut atau umat Islam seluruhnya. Pilihlah. Sesungguhnya dunia ini diciptakan agar manusia terus memilih yang terbaik dan diredai oleh Allah.
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan