Pelan pemulihan TH terbukti berjaya


Ketika saya mengumumkan 1.25% hibah (dividen) Tabung Haji (TH) untuk 2018, saya ‘diserang’ habis-habisan walaupun waktu itu pelan pemulihan baru sahaja bermula.

Apa yang umat Islam tidak tahu ialah pengeluaran hibah sejak 2014 dibuat tanpa memenuhi syarat mengikut Akta TH, iaitu aset TH sejak 2014 semakin susut berbanding dengan tanggungan.

Risiko pelanggaran ini meningkatkan defisit aset sebanyak RM4.1 bilion pada tahun kewangan 2017.

Misi awal ialah memastikan hibah dikeluarkan dengan menutup jurang defisit terlebih dahulu iaitu pada 2018 meningkat RM10 bilion setelah nilai rosot dibuat dengan betul.

Alhamdulillah, terbitan sukuk dari Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) iaitu sebuah syarikat tujuan khas (SPV) dari Kementerian Kewangan (Inc) berjaya disempurnakan.

Aset kurang untung TH dipindahkan bernilai RM9 bilion dinilai dengan harga premium RM20 bilion. Ini komitmen kerajaan PH untuk selamatkan TH.

Jurang berjaya diimbangkan dengan lebihan (surplus) RM1 bilion. Syarat telah disempurnakan untuk pengeluaran hibah mematuhi akta Tabung Haji(1995).

Seramai sembilan juta pendeposit masih tetap mendapat dividen pada kadar 1.25% untuk 2018. Ia adalah kejayaan awal bukan seperti yang difitnahkan!

Fasa pemulihan seterusnya ialah menjana pendapatan tetap dari sukuk dan melestarikan TH melalui pengurusan risiko aset lebih berhemah sambil meyakinkan pendeposit Hibah 2019 akan jadi lebih baik.

Alhamdulillah, untuk 2019 hibah ialah 3.05%. Tanda pemulihan mula nampak dan untuk 2020 3.10% seperti diumumkan menyaksikan peningkatan.

Fitnah jual Hotel TH adalah pembohongan jahat kerana yang menguruskan hotel TH ialah anak syarikat UJSB iaitu entiti dari Kementerian Kewangan (Inc).

Adapun, TH Plantation iaitu anak syarikat TH, masalah hutang yang tinggi disebabkan transaksi pembelian ladang sebelum ini yang merugikan. Sebelum saya ambil alih masalah hutang sudah pun melanda TH Plantation.

Isu jual untuk atasi masalah hutang adalah transaksi biasa dalam pengurusan hutang korporat bukan sentimen rasis yang sempit.

Isu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) turut menjadi bahan politik untuk mempertikaikan usaha pemulihan yang dilancarkan di bawah pimpinan saya.

Mereka cuba tutup kes lima laporan polis terhadap pengurusan TH semasa DS Azeez Rahim menjadi Pengerusinya atas jenayah komersial termasuk penyelewengan dana Yayasan TH.

Saya mengalu-alukan RCI tetapi soalannya, bagaimana TH yang menunjukkan tanda pemulihan dari defisit RM10 bilion semasa saya ambil alih dikatakan satu kesalahan?

Ataukah RCI perlu untuk menyiasat kenapa semasa Menteri Agama BN dulu dan Pengerusi TH telah dengan sengaja memanipulasi akaun TH untuk bayar hibah tinggi yang telah menjejaskan kewangan TH dan melanggar undang-undang?

Terima kasih pasukan TH dari awal pemulihan iaitu Tan Sri Muhamad Nor dan Datuk Seri Zukri CEO TH dan Chief of Staff Encik Hizamudin serta pasukan yang sangat berdedikasi melaksanakan pelan pemulihan TH sehingga diiktirafi pelan ini di peringkat anugerah kewangan antarabangsa.

Hanya si hati busuk dan pendengki dengan kejayaan ini yang terus menabur fitnah dan seronok diulang oleh penyebar murahan di media sosial.

Alhamdulilah, peningkatan pendeposit membuktikan fitnah dan pembohongan makan diri sendiri sehingga membakar ke dalam perut-perut mereka menjadi api.

Marilah sama-sama kita harapkan kejayaan seterusnya untuk TH dan mari kita hentikan para pemfitnah yang memburukkan pelan pemulihan ini.

 

*DATUK SERI DR MUJAHID YUSOF RAWA ialah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Parit Buntar dan Naib Presiden AMANAH.

 

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Komen