Surat peletakan jawatan ADUN Sebatik diserah kepada Speaker Sabah
KOTA KINABALU - Surat peletakan jawatan yang ditandatangani Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir akan diserahkan kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Kadzim M Yahya untuk dipertimbangkan supaya kerusi DUN itu dikosongkan.
Ia susulan bukti video Hassan berikrar dan menandatangani surat itu sebelum menjadi wakil rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Kandungan ikrar itu menyebut jika beliau mengkhianati Parti Warisan Sabah (Warisan) dengan menyertai parti politik lain atau meninggalkan parti sebagai ADUN Bebas, beliau akan meletak jawatan sebagai ADUN.
Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, salinan surat itu akan diserahkan juga kepada Yang di-Pertua Negeri dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Katanya, Hassan mungkin sudah lupa mengenai ikrar, surat ditandatangani dan video beliau melafazkan ikrar yang berada dalam simpanan sebagai bahan bukti.
"Bukan ada paksaan, tidak ada tekanan kepada Hassan sebelum beliau menjadi wakil rakyat dan semua wakil-wakil rakyat kita memang kita memang diminta melafazkan janji selaku pimpinan bahawa jangan khianati perjuangan ini.
"Mereka tandatangan di hadapan peguam yang dilantik, ada saksi, ada peguam dan mereka tandatangan," katanya dalam sidang akhbar pada Isnin.
Hadir sama sama, Timbalan Presiden Warisan, Datuk Darell Leiking dan tiga Naib Presidennya iaitu Datuk Jaujan Sambakong, Datuk Peter Anthony dan Datuk Junz Wong.
Mohd Shafie dalam pada itu turut mendakwa semua wakil rakyat Warisan termasuk Hassan 'dibeli' dengan pelbagai tawaran termasuk wang berbilion ringgit oleh pihak lawan.
"Saya kesal masih ada menggunakan kaedah (membeli wakil rakyat) dengan membuat pelbagai tawaran wang, intimidasi dan tekanan untuk meninggalkan Warisan.
"Bukan setiap waktu, tetapi hampir setiap hari kadang-kadang ada orang yang nak panggil, ada orang hubungi. Kalau orang tak setuju, janganlah paksa. Kalau orang tak setuju, janganlah tekan. Kalau orang tak setuju, janganlah beli," katanya.
Hassan sebelum ini dilaporkan keluar daripada Warisan dan menyatakan sokongan kepada kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) selepas mendakwa dukacita dengan kepemimpinan parti yang masih mahu berpolitik ketika rakyat sedang berdepan dengan kesukaran akibat Covid-19.
0 comments:
Catat Ulasan