Ucapan Selamat Menyambut Nuzul Al-Quran yang dibuat oleh Pengerusi Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Facebook malam tadi disambut dengan desakan dan ejekan terhadap universiti itu kerana masih menyimpan seorang pensyarahnya.
Kemuncak kepada kemarahan mereka adalah apabila pensyarah UUM itu membuat posting bertajuk “Wayang Opera Cina DAP sekali lagi?” yang menyerang kononnya Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim menipu apabila berkata dia mengayuh basikal bersama Raja Muda Perlis.
“Sebelum ini wayang tentang pembelian motosikal yang tak wujud. Sekarang wayang kononnya berbasikal dengan Raja Muda Perlis,” tulis pensyarah UUM itu dalam postingnya yang kini sudah hilang dari Facebook.
Semlam Steven Sim menunjukkan kepada media pemuda dari Kelantan yang beliau bantu manakala Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) turut membuat naik majlis penyerahan komputer riba oleh Steven kepada Raja Muda Perlis itu.
Sehingga berita ini ditulis, 122 komen diberikan ke atas ucapan Nuzul Al – Quran yang jatuh pada hari ini itu. Hampir kesemuanya isu pensyarah UUM itu.
Turut memberikan komen terhadap ucapan Pengerusi UUM, Tan Sri Dr Mohd Shukor Mahfar itu adalah bekas Profesor Adjung UUM, Datuk A Kadir Jasin.
“Jelas daripada komen-komen terdahulu bahawa niat baik UUM memperingatkan kita semua berkenaan peristiwa yang sangat penting dalam kesejahteraan alam ini telah dijadikan medan melepaskan kemarahan.
“Semuanya kerana tindak-tanduk seorang anggota akademik UUM yang tidak langsung menepati ekspektasi umum mengenai seorang cendekiawan.
“Sebagai penyokong UUM sejak ia mula dibina dalam hutan Sintok pada awal tahun 1980-an sehingga dilantik menjadi Adjunct Professor di Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business beberapa tahu lalu, saya amat berharap episod seekor kerbau membawa lumpur habis sekandang terpalit ini dinyahkan sekali dan untuk selamanya,” kata tokoh media itu dalam komennya..
Hampir kesemua komen yang diberikan netizen termasuk pensyarah dan bekas pelajar UUM menuntut agar tindakan diambil ke atas pensyarah itu.
Fazley Noordin menulis, “Saya selaku bekas alumni dan pelajar UUM harap pihak universiti mengambil tindakan tegas ke atas pensyarah bernama Kamarul Yusoff yg semakin keterlaluan memberi komentar berunsur hasutan dan berniat jahat. Ini sekaligus memburukkan nama, imej dan reputasi UUM sendiri.
“Harap tindakan yg tegas mesti diambil utk menjaga kredibiliti dan profesionalisme pengajian tinggi yg neutral dan mendukung ilmu serta kebenaran bukannya fitnah dan peradu dombaan.
“Salam Nuzul Quran. Al-Quran Penerang Hati Sepanjang Zaman.”
Muhammad Hazman menulis, “Hi UUM. Apakah tindakan pihak kamu ke atas professor kamu yg tular di Facebook memperlekehkan usaha baik orang lain dan memburukkan nama baik UUM sendiri?”
0 comments:
Catat Ulasan