Dasar tol PN tak masuk akal dari segi kewangan, kata Tony Pua


Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua mempersoalkan langkah kerajaan Perikatan Nasional (PN) membatalkan pengambilalihan beberapa lebuh raya di Lembah Klang yang direncana ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Pua berkata, langkah PN itu hanya menyebabkan kerajaan terpaksa mengeluarkan sejumlah RM2.25 bilion kepada beberapa pengendali lebuh raya untuk menangguhkan kenaikan kadar tol di bawah sistem lama ketika negara sangat memerlukan wang.

Jumaat lalu, kerajaan bersetuju menangguhkan kenaikan kadar tol di tiga lebuh raya yang sepatutnya bermula tahun ini sehingga 31 Disember depan.

Menteri Kerja Raya Fadillah Yusof berkata, mesyuarat kabinet memutuskan penangguhan itu selepas mempertimbangkan peningkatan kos sara hidup rakyat akibat wabak Covid-19.

Fadillah berkata, kerajaan juga perlu menanggung pampasan sebanyak RM2.25 bilion susulan penangguhan berkenaan.

Penangguhan itu membabitkan tiga lebuh raya yang sepatutnya mendapat kenaikan kadar tol mulai 1 Januari lalu, iaitu Lebuh Raya Shah Alam (KESAS), Lebuh Raya Lembah Kelang Selatan (SKVE) dan Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2).

Mengulas lanjut, Pua berkata sekiranya kerajaan meneruskan rancangan PH, ia bukan hanya dapat menyelamatkan ratusan juta tetapi juga dapat mengurangkan kadar tol bagi pengguna jalan raya.

"Kerajaan PN akan dengan mudah menjimatkan sekurang-kurangnya beberapa ratus juta ringgit pampasan yang harus dibayar sekiranya meneruskan cadangan pengambilalihan lebuh raya yang dimiliki Gamuda Bhd seperti yang diumumkan oleh menteri kewangan untuk Belanjawan 2020.

"Dalam cadangan kami, kerajaan akan memperoleh lebuh raya ini dengan harga RM6.2 bilion tetapi kerajaan tidak perlu membayar satu sen pun untuk itu kerana ia akan dibiayai melalui kutipan tol yang ada.

"Malah, kerajaan juga tidak lagi perlu membayar pampasan ini kepada pemegang konsesi pada masa depan untuk 'menangguhkan kenaikkan kadar tol - menyelamatkan kerajaan beberapa ratus juta ringgit pada tahun 2021 saja," kata Pua, yang juga pegawai khas kepada Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng ketika Setiausaha Agung DAP itu memegang jawatan menteri kewangan.

Semasa pentadbiran PH, Putrajaya telah menawarkan RM6.2 bilion untuk memperoleh saham Gamuda Bhd dalam syarikat yang mengendalikan Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Sistem Penyebaran Lalu Lintas KL Barat (Lebuhraya Sprint), Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dan Terowong Smart.

Pua berkata, keempat-empat lebuh raya itu memiliki 48 peratus dari saham lebuh raya tol bandar, berdasarkan hasil yang dikumpulkan.

Pentadbiran PH merancang untuk menggunakan langkah itu bagi melaksanakan sistem "caj kesesakan", di mana pengguna akan membayar caj yang lebih rendah atau tidak, pada waktu di luar waktu kemuncak.

Namun, satu-satunya dasar utama lebuh raya yang berjaya dilaksanakan PH sebelum digulingkan pada bulan Mac 2020 adalah pemotongan tol sebanyak 18 peratus untuk Lebuh Raya Plus.

"Sepanjang keseluruhan tempoh konsesi lebuh raya, kerajaan akan menjimatkan lebih daripada RM5.3 bilion.

"Dana ini boleh dibelanjakan untuk kesejahteraan rakyat atau untuk projek infrastruktur baru, bukannya dibayarkan kepada pengendali konsesi lebuh raya.

"Selain itu, di bawah perancangan PH, kerajaan juga dapat menurunkan kadar tol sehingga 30 persen dengan segera dan tidak perlu lagi menaikkan kadar tol lagi, sekali gus dapat mengurangkan beban rakyat," katanya.

"Pada tahun pertama saja, rakyat akan menjimatkan lebih dari RM180 juta," tambahnya.

Sebaliknya, ahli parlimen DAP itu berkata kerajaan PN membatalkan rancangan itu dan syarikat konsesi yang masih memiliki lebuh raya dan akan terus meningkatkan kadar tol setiap dua hingga tiga kali setahun.

"Sekiranya kerajaan menangguhkan kenaikan kadar tol seperti yang diharapkan, mereka akan membayar ganti rugi yang tidak masuk akal kepada syarikat konsesi ini berjumlah RM5.3 bilion.

"Dan rakyat tidak akan mendapat potongan lagi dari tol tersebut," tambahnya.

Oleh demikian Pua mendesak kerajaan PN untuk segera mengembalikan rancangan pengambilalihan lebuh raya PH demi kepentingan kedua-dua pihak.

"Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz, seorang bekas jurubank pelaburan, harus mendidik rakan kabinetnya Fadilah dan juga perdana menteri mengenai dasar-dasar yang masuk akal dari segi kewangan," katanya.

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan