Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang melihat ada persamaan antara kenyataan Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berhubung campur tangan politik dalam pasukan itu dengan dakwaan campur tangan dalam kehakiman pada 2007.
Lim membangkitkan insiden tersebut, di mana seorang peguam kanan dirakam berbincang mengenai pelantikan hakim.
Menurutnya, perdana menteri ketika itu, Abdullah Ahmad Badawi, sekurang-kurangnya memutuskan untuk menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) selepas perkara itu didedahkan.
Sebaliknya kini, katanya, seperti tiada tindakan selepas pendedahan yang dibuat Abdul Hamid.
"Sidang media Abdul Hamid Jumaat lepas mengingatkan rakyat Malaysia berkenaan episod video VK Lingam pada 2007 yang membawa kepada penubuhan RCI.
"Kini apa yang menghalang Muhyiddin daripada membuat perkara yang betul untuk negara ini, apabila dia patut tahu RCI perlu ditubuhkan segera (untuk siasat pendedahan Abdul Hamid) demi kepentingan negara?" soalnya dalam kenyataan.
Dalam sidang media terakhirnya, Hamid menyasarkan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin kerana menurutnya masuk campur dalam pelantikan pegawai polis.
Beberapa hari sebelumnya, timbul juga rakaman audio yang memaparkan Hamzah berbincang tentang pelantikan "orang kita" dalam pasukan itu.
Dia kemudian mengesahkan suara dalam rakaman itu adalah miliknya, tetapi menegaskan tidak melakukan apa-apa kesalahan dengan mengambil kira kedudukannya sebagai pengerusi Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP).
Lim mempersoalkan kerajaan yang menutup mulut berkenaan perkara itu.
"Adakah Kabinet besar Muhyiddin hanya dipenuhi pak angguk yang pentingkan diri sendiri dan tidak berani menggesa penubuhan RCI bagi menyiasat dakwaan serius IGP?
"Dua hari sudah berlalu dan Muhyiddin kekal membisu. Bila dia akan mengulas kenyataan Abdul Hamid yang mengejutkan itu?" soalnya lagi.
0 comments:
Catat Ulasan