Ordinan darurat perlu dibahas di Dewan Rakyat bagi kemakmuran demokrasi

 


Ordinan darurat yang diisytiharkan atas perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah perlu dibentang dan dibahaskan dalam sesi Dewan Rakyat, selagi mana Seri Paduka belum memperkenan untuk membatalkan ordinan berkenaan.

Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Shamrahayu Ab Aziz berkata perkara itu termaktub dalam Perkara 150, Fasal 3, Perlembagaan Persekutuan.

“Sekiranya Seri Paduka tidak perkenankan lagi ordinan itu untuk ditarik balik, maka apabila Parlimen bersidang, ia boleh dirungkaikan dan tindakan terbaik adalah dengan membahaskan ordinan ini yang saya fikir boleh menyelesaikan segala kekusutan ketika ini.

“Selain itu perbahasan ini juga boleh mendatangkan kemakmuran kepada demokrasi dan sekiranya perundangan itu diikut, ia akan menunjukkan ketelusan kerajaan,” katanya dalam program Ruang Bicara bertajuk Subplot Ordinan Darurat di Bernama TV semalam.

Menjelaskan secara lebih lanjut, Shamrahayu berkata Parlimen masih perlu merungkai dan membahaskan perihal ordinan darurat ini meskipun ia dijadual akan tamat pada 1 Ogos 2021.

Beliau berkata sekiranya tidak dibahaskan, Perkara 150 Fasal 7 membolehkan ordinan darurat ini diteruskan selama enam bulan lagi selepas tarikh tamat pada 1 Ogos 2021.

Dalam pada itu, Shamrahayu berkata teguran Yang di-Pertuan Agong semalam menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Negara perlu diambil sebagai pengajaran oleh setiap pihak bahawa prinsip raja berpelembagaan kini memasuki dimensi baharu.

Menurutnya dalam perkembangan terkini, Seri Paduka dilihat boleh menasihati, memberi amaran dan menyuarakan pandangan baginda kepada pihak kerajaan.

Dalam kenyataan Istana Negara, Sultan Abdullah menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan di Parlimen Isnin lepas bahawa kerajaan telah membatalkan semua ordinan darurat walhal ia belum lagi diperkenan Seri Paduka.

Sultan Abdullah juga amat dukacita kerana apa yang telah diperkenan dan dititahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan serta Peguam Negara Idrus Harun bahawa cadangan pembatalan semua ordinan darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan dirungkaikan tidak dilaksanakan.

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan