Timah: Menteri Melayu Islam dalam Kabinet, terutama dari Pas langsung tidak berguna


Oleh SHAHBUDIN HUSIN  

Dilaporkan bahawa Kabinet telah membuat ketetapan bersetuju untuk membenarkan syarikat pengeluar wiski jenama tempatan, Timah, untuk mengekalkan nama berkenaan.

Hal itu dinyatakan dua menteri, iaitu Presiden MCA, Wee Ka Siong dan Setiausaha Agung Parti Pesaka Bumiputera, Alexander Nanta Linggi yang masing-masing berkhidmat sebagai Menteri Pengangkutan serta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Wee dan Alexander menyatakan pengeluar wiski berkenaan, Winepark Corp Sdn Bhd (Winepark), cuma perlu meletakkan maklumat tambahan berupa label bagi menjelaskan bahawa minuman keras itu merujuk kepada bijih timah dan bukannya nama sesiapa.

Dalam satu kenyataan berbahasa Cina di laman Facebooknya hari ini, Wee berkata Kabinet telah menyelesaikan kontroversi itu.

“Dalam beberapa mesyuarat Kabinet baru-baru ini, anggota jemaah menteri membincangkan perkembangan terkini isu Timah.

“Saya gembira insiden ini berjaya diselesaikan selaras dengan semangat Keluarga Malaysia.

“Timah tidak perlu menukar namanya,” kata beliau.

Sementara itu, Alexander yang dipetik Sinchew Daily memberitahu, beliau telah berjumpa dengan pengeluar alkohol terbabit dan berbincang mengenai cara menyelesaikan isu berkenaan.

“Saya kemudian membentangkan cadangan syarikat itu kepada Kabinet dan Kabinet bersetuju dengannya,” Alexander dipetik sebagai berkata.

Akhir Oktober lalu, Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man memaklumkan Kabinet membuat keputusan bahawa sebarang pengeluaran minuman keras di negara ini tidak boleh menimbulkan “keresahan rakyat” dalam konteks sama ada berkaitan bangsa atau agama.

Menurut Tuan Ibrahim, keputusan itu dicapai kerajaan berdasarkan usaha yang dilakukan Pas dalam menyatakan bantahan mereka terhadap penggunaan nama Timah.

Pada 18 Oktober pula, Dewan Ulama Pas Pusat mencadangkan agar syarikat pengeluar wiski Timah ditutup dengan alasan untuk mengelakkan duluan sehingga menyebabkan munculnya syarikat lain mengeluarkan minuman keras baharu.

Bagaimanapun, kenyataan Tuan Ibrahim itu bertentangan dengan kenyataan Alexander apabila menteri terbabit memberitahu belum ada sebarang keputusan dibuat Kabinet berhubung kontroversi itu.

Memberikan reaksi kepada kenyataan Tuan Ibrahim itu, Alexander berkata Kabinet hanya membincangkan isu berkenaan namun tiada sebarang keputusan muktamad dibuat.

Yang nyata, Kabinet kerajaan Melayu Islam berlabel Keluarga Malaysia akhirnya yang membenarkan nama Timah dibenar digunakan dalam jenama wiski keluaran tempatan itu.

Maknanya, menteri-menteri berbangsa Melayu dan beragama Islam itu sendiri turut terbabit bersubahat dalam mengekalkan atau membenarkan nama Timah terus digunakan, tidak mustahil sehingga ke hari kiamat.

Kenapa Kabinet yang majoritinya Melayu dan Islam tidak berani menukar nama Timah?

Ternampak menteri-menteri Melayu Islam dalam Kabinet, terutama daripada Pas, langsung tidak berguna, jangankan mahu mengharamkan terus arak sebagaimana kerap dilaungkan sebelum ini, nak menukar nama Timah pun mereka tidak mampu melakukannya.

Tapi senang-senang saja mereka menukar Perdana kepada Vellfire.

 

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan