Isu kenaikan harga barang: Reaksi pemimpin kerajaan perkecil masalah rakyat


Sekretariat Mahasiswa Marhaen kecewa dengan reaksi kerajaan terhadap masalah kenaikan harga barang yang semakin melampau dan menekan kehidupan rakyat Malaysia.

Menerusi kenyataannya, kerajaan perlu lebih proaktif mengawal keadaan tersebut memandangkan kenaikan harga barangan keperluan harian sehingga 200 peratus menambahkan lagi beban rakyat sedia ada.

Sekretariat di bawah Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) itu turut mempersoal respon Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh sebelum ini bahawa kenaikan harga barang tidaklah seteruk negara lain dengan membandingkan Malaysia dan Mesir.

“Adakah pada pandangan Timbalan Menteri, dengan membandingkan masalah rakyat Malaysia dan Mesir, rakyat akan lebih bersyukur sekaligus tidak kisah jika terpaksa mengikat perut?” tempelaknya.

Kenyataan dangkal seperti itu, tegas Sekretariat Mahasiswa Marhaen, tidak hanya keluar dari mulut seorang ahli kerajaan.

“Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, yang bertanggungjawab untuk mengawal kenaikan harga yang melampau ini malah boleh mengatakan bahawa kenaikan harga barang masih lagi normal.

“Pihak Sekretariat Mahasiswa Marhaen melihat kenyataan tidak bertanggungjawab ini mengisyaratkan satu sikap kerajaan yang sambil lewa dalam menyelesaikan masalah rakyat.

“Satu-satunya tindakan yang dilihat oleh pihak Sekretariat sebegai proaktif hanyalah ketika melaporkan bahawa harga naik atas faktor tertentu.

“Kementerian yang paling bertanggungjawab ini tiada usaha pun untuk mengekang kenaikan harga barang yang terus menekan,” ujarnya.

Dalam masa sama, sekretariat tersebut menyifatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hanya mengulangi tentang faktor “orang tengah” dalam isu kenaikan harga barang.

“Sejak dari 2013, ketika beliau merupakan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, beliau sudahpun mengisytiharkan “jihad” memerangi orang tengah.

“Namun, sepanjang dari 2013 sehingga kejatuhan Barisan Nasional pada 2018, harga barang juga tetap naik.

“Adakah Perdana Menteri hari ini akan mengambil strategi sama dengan Menteri Pertanian ketika itu yang ternyata gagal dalam mengawal harga barang?

“Bukankah mengulangi hal yang gagal dengan harapan ia akan berjaya itu merupakan urusan yang gila?” bidasnya.

Sekretariat berkenaan juga berpendapat tiada jaminan daripada pihak kerajaan bahawa harga barangan akan turun memandangkan tiada langkah proaktif menuju ke arah tersebut meskipun Ismail Sabri membuat jangkaan bahawa harga barang akan mula stabil pada 2022.

“Hal yang sama juga dapat dilihat dalam idea bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang kini merupakan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara.

“Beliau mencadangkan supaya ditubuhkan satu Jawatankuasa Kabinet bagi menyelesaikan isu ini.

“Beliau sewaktu menjadi Perdana Menteri sememangnya gemar menubuhkan jawatankuasa yang akhirnya tidak memberikan hasil yang signifikan.

“Apalah gunanya ditubuhkan Jawatankuasa tersebut jikalau Menteri-Menteri itu tidak mampu untuk menguruskan kenaikan harga barang atas kapasiti penuh mereka sebagai Menteri?” tegas sekretariat itu lagi.

Sehubungan itu, Sekretariat Mahasiswa Marhaen mengingatkan bahawa kerajaan ialah wakil kepada rakyat, lalu bertanggungjawab penuh terhadap permasalahan rakyat.

“Pada mereka yang tidak pernah berlapar, sudah pastinya mereka tiada empati terhadap nasib marhaen yang makan minumnya sentiasa bergantung kepada harga barang.

“Sikap tidak proaktif dan sambil lewa ini merupakan sikap yang khianat terhadap amanah yang diberikan rakyat. You are the government, act as one,” tegas Sekretariat Mahasiswa Marhaen lagi.

 

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan