Kerajaan perlu kawal kenaikan harga barang
KOTA BHARU - Persatuan Pengguna Kelantan Darulnaim berharap kerajaan menyediakan perancangan khusus bagi mengawal kenaikan harga barang.
Timbalan Presidennya, Khazuni Datuk Othman berkata, pihaknya menerima banyak keluhan daripada masyarakat mengenai kenaikan harga barang terutama barangan basah.
"Sejak awal November lalu, memang ramai datang mengadu dengan kami. Harga ayam, telur, sayur naik lebih daripada biasa. Rata-rata tinjauan pihak kami mendapati memang benar ada kenaikan harga berlaku," katanya kepada Sinar Harian di sini.
Menurutnya, soal selidik melibatkan beberapa peniaga di sekitar kawasan Kota Bharu mendakwa, mereka terpaksa menaikkan harga barang susulan peningkatan harga yang dikenakan oleh pemborong.
Beliau berkata, oleh sebab itu kerajaan memerlukan garis panduan khusus bagi memastikan kenaikan harga barang dapat dikawal sebaik mungkin.
"Kita mempunyai banyak agensi yang boleh turun padang untuk lihat dan pantau perkara ini. Apa yang penting penguatkuasaan dijalankan sebaik mungkin.
"Khabar angin mengatakan kenaikan barang akan berlaku lagi selepas ini dan menakutkan mereka dari golongan B40 terutama yang terjejas akibat perintah kawalan pergerakan (PKP) sebelum ini," katanya.
0 comments:
Catat Ulasan