Berubah atau masa depan gelap

1. Pilihan raya negeri (PRN) Johor adalah manifestasi ketamakan kuasa Umno dan isyarat terbuka bahawa matlamatnya adalah menamatkan riwayat Bersatu secepat mungkin. Setelah menang besar dalam PRN Melaka 20 November lalu, Umno berasa cukup kuat untuk menawan semula Johor, negeri kelahirannya.

2. Dalam keadaan di mana Mahiaddin Md Yasin gagal memperkukuhkan Bersatu selepas memecat Dr Mahathir Mohamad dan Pakatan Harapan (PH) terumbang-ambing di bawah kepemimpinan Anwar Ibrahim yang semakin longlai, kemungkinan Umno kembali menjadi parti dominan dan hegemonik tidak dapat diketepikan lagi.

3. Sejak pilihan raya umum 2018, apabila Umno/BN dikalahkan, PH telah berpecah akibat pengkhianatan Mahiaddin dan Mohamed Azmin Ali dan seterusnya digulingkan dalam rampasan kuasa luar Parlimen oleh Perikatan Nasional (PN) yang menggabungkan Umno/BN, Bersatu, Pas, Gabungan Parti-parti Sarawak (GPS) dan beberapa buah parti kecil.

4. Daripada empat parti utama PN, Umno muncul sebagai parti dominan dan berjaya melakukan merampas kuasa dalaman bagi menjatuhkan Mahiaddin dan menaikkan Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri pada 20 Ogos 2021. Di segi kekuatan, Umno mempunyai 38 kerusi Dewan Rakyat diikuti Bersatu dengan 32, Pas dan GPS masing-masing 18. Nama kerajaan Perikatan Nasional telah diganti dengan “Keluarga Malaysia”.

5. Pas masih dalam pernikahan permudah cara (marriage of convenient) dengan Bersatu dalam PN walaupun pada masa yang sama cuba memadu semula cinta berahi dengan Umno melalui Muafakat Nasional (MN). Tujuan Pas adalah mempertahankan kerusi-kerusinya di Kelantan, Kedah dan Terengganu.

6. Sejak menjadi Perdana Menteri, Ismail Sabri cuba membina keabsahan jawatannya sambil mengukuhkan kedudukannya dalam Umno. Walaupun dia naik menjadi Perdana Menteri hasil tindakan kluster mahkamah Umno dan pengikut “Bossku” menarik balik sokongan terhadap Mahiaddin, Ismail Sabri cuba menjauhkan diri daripada kelompok tercemar ini. Tetapi kluster tercemar ini pun tidaklah percaya sangat kepada beliau.

7. Ismail Sabri tahu harapannya kekal sebagai Perdana Menteri selepas pilihan raya umum akan datang lebih cerah kalau dia dilihat bebas daripada telunjuk kluster mahkamah, khususnya Ahmad Zahid Hamidi dan Mohd Najib Abdul Razak. Kluster mahkamah pula tentulah mahu terus berkuasa kerana itu sajalah harapan mereka kekal dalam kepemimpinan parti dan sekali gus mencerahkan harapan mereka dalam kes-kes mahkamah yang sedang mereka hadapi.

8. Bagi Ismail, jika dia berjaya meyakinkan orang ramai tentang kebebasannya daripada kluster mahkamah dan mampu menunjukkan sedikit kejayaan dalam mentadbir negara, harapannya kekal sebagai Perdana Menteri dan dipilih menjadi “poster boy” Umno dalam PRU akan datang adalah cerah.

9. Cuma mampukah Ismail Sabri memperbaiki prestasi kerajaan, mengelak daripada diasak oleh panglima-panglima perang Umno dan memilih barisan calon yang diyakini oleh pengundi? Kalau muka-muka yang sama dicalonkan dan tidak nampak tanda-tanda pemudaan kepemimpinan serta pembersihan daripada gejala rasuah, Umno mungkin akan ditolak sekali lagi.

10. Pembangkang boleh bangkit semula dengan syarat mereka mengenepikan perbezaan, memberi isyarat yang jelas mengenai pewarisan dan pemudaan kepemimpinan. Berbanding parti-part kerajaan, kem pembangkang mempunyai ramai pemimpin muda yang berintegriti, tekun dan kreatif.

11. Kalau pemimpin-pemimpin veteran seperti Anwar, Lim Kit Siang, Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng sanggup memberi peluang yang lebih luas kepada pemimpin-pemimpin muda untuk mengambil alih, harapan pembangkang merampas semula kerajaan amat cerah.

12. Tetapi kalau protagonis-protagonis politik ini masih terus menguasai kepemimpinan, saya bimbang pembangkang akan hilang peluang keemasan untuk menyelamatkan Malaysia sekali lagi. Andainya mereka masih tidak dapat membaca isyarat daripada PRN Melaka dan Sarawak, mereka sama ada buta atau memang hendak bunuh diri.

13. Cukup-cukuplah mereka bermusuh dan mengutamakan cita-cita sendiri. Masa telah meninggalkan kita. Berilah peluang dan kepercayaan kepada adik-adik dan anak-anak kita. Ini bukan tahun 1982 atau 1998 lagi. Kita sudah meninggalkan zaman itu lama dulu. Undi 18 memberikan kita peluang untuk menyekat proses penuan negara kita dan mengembalikan kesegaran dalam kepemimpinan.

14. Ingatlah bahawa kepemimpinan negara kita pernah muda, dinamik dan berintegriti. Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra menjadi Perdana Menteri pada usia 54 tahun, Almarhum Abdul Razak Hussein 48 tahun (termuda), Almarhum Hussein Onn 54, Dr Mahathir Mohamad 56, Abdullah Ahmad Badawi 64 (tertua) dan Mohd Najib Abdul Razak 56.

15. Melalui rampasan kuasa, Mahiaddin menjadi Perdana Menteri pada usia 73 tahun dan Ismail Sabri 61 tahun. Anwar kini berusia 74 tahun dan Dr Mahathir 96 tahun. Saya yakin kita boleh melakukan perubahan dan menyemarakkan semula Malaysia jika pemimpin muda daripada semua parti diberi peluang mengisi kerusi Dewan Rakyat dan barisan Kabinet.

Wallahuaklam.Terima kasih.

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan