PM yang gagal lebih bahaya daripada PM ada skandal

Ada dua kategori pemimpin atau Perdana Menteri yang perlu, bahkan wajib untuk dijatuhkan. Kategori pertama, Perdana Menteri yang terkait dengan skandal dan kategori kedua, Perdana Menteri yang gagal.

Contoh Perdana Menteri yang gagal yang telah dijatuhkan daripada kekuasaannya ialah Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Mahiaddin Md Yassin. Perdana Menteri terkait skandal yang telah dijatuhkan pula ialah Najib Razak.

Dalam kedua-dua kategori itu, ramai yang melihat Perdana Menteri terkait skandal lebih wajar untuk dijatuhkan berbanding Perdana Menteri yang gagal.

Tambahan lagi, jika skandal yang dilakukan itu berskala besar seperti 1MDB yang terkait dengan Najib sehingga nama negara jadi “popular” di seluruh dunia.

Bagi Perdana Menteri yang gagal, walaupun pemahaman gagal itu sendiri agak abstrak dan rencam serta lain orang mungkin lain pemahamannya, mereka juga sebenarnya perlu dijatuhkan, malah dalam keadaan-keadaan tertentu, keperluan menjatuhkan itu menjadi lebih wajib lagi.

Dalam keadaan tertentu juga, Perdana Menteri yang gagal lebih bahaya dan jauh lebih tidak berguna kepada rakyat serta negara.

Bahkan, Perdana Menteri yang terkait skandal, tetapi mengurus negara dengan baik adalah lebih baik berbanding Perdana Menteri yang gagal, walau tidak dikaitkan dengan sebarang skandal.

Perdana Menteri yang gagal, selain difahami tidak membawa kemajuan kepada rakyat, walau tidak terkait dengan skandal, mereka lebih mungkin mencambahkan lebih banyak skandal di peringkat bawahannya seperti di kalangan menteri, kementerian dan jabatan yang mana mereka itu sentiasa menyokong dan membodek kegagalannya itu.

Oleh kerana kegagalannya terus dipertahankan dan disokong, Perdana Menteri berkenaan hanya mampu berdiam diri terhadap apa dan banyak mana sekali pun skandal yang berlaku di peringkat bawahannya.

Akhirnya, skandal kecil dan banyak itu akan menjadi lebih besar dan merosakkan negara, serta mungkin juga lebih besar daripada jika dia sendiri yang melakukan skandal tersebut.

Dalam hal ini, Perdana Menteri sekarang, Ismail Sabri Yaakob berada di kategori mana?

Sebagaimana kita semua tahu, sedar dan amat maklum bahawa sejak Ismail Sabri memegang jawatan Perdana Menteri, negara ini seolah-olah tidak ada Perdana Menteri, tanpa keraguan lagi beliau sebetulnya lebih gagal jika dibandingkan dengan Tun Abdullah atau Mahiaddin.

Selain lambat bertindak dan bersuara seperti dalam isu banjir dan pemilikan saham melibatkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki misalnya, Ismail Sabri juga tidak bersuara langsung dalam isu-isu lain seperti Kertas Pandora, perangai menteri-menterinya yang merimaskan rakyat dan sebagainya.

Kepimpinan beliau dalam membawa negara ke arah hala tuju yang betul dalam pelbagai aspek juga sama sekali tidak kelihatan.

Lantaran gagal bersuara dan menunjukkan kepimpinan yang meyakinkan itu, Ismail Sabri bukan saja gagal, malah boleh dikategorikan sebagai gagal teruk.

Memang Ismail Sabri belum ada apa-apa skandal, tetapi kegagalannya teruknya sebagai Perdana Menteri bukanlah rahsia lagi di mana semua orang sudah bercakap mengenainya, termasuk budak-budak sekolah juga.

Sebelum negara jadi lebih rosak dan mungkin diikuti lebih banyak skandal bercambah di peringkat bawahannya yang diakibatkan kepimpinannya yang gagal itu, menjatuh, menumbang atau menukar beliau adalah pilihan yang tidak harus dikompromi, sementara menjatuhkan Perdana Menteri terkait skandal kekal merupakan kewajipan yang tak berubah, jika rakyat Malaysia mahu kehidupan masa depan yang lebih baik lagi.

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan