Umno dan Pas, putus sudah kasih sayang


Oleh Mohd Sayuti Omar

Biro politik Umno Kelantan telah bermuzakarah dengan pimpinan tertinggi Pas Kelantan yang berlangsung di kediaman MB Kelantan di JKR 10, Kota Bharu. Pertemuan itu menjadi perhatian akan natijah yang dihasilkan daripadanya. Pihak Umno diwakili oleh Pengerusinya Ahmad Jazlan Yaakub, timbalannya Fatmi Che Salleh dan lain-lain. 

Sementara Pas pula diwakili oleh Pesuruhjaya Ahmad Yaakob yang juga MB Kelantan, timbalan Pesuruhjaya Mohd Amar Nik Abdullah dan lain-lain. 

Hasil pertemuan dan perbincangan, diputuskan Umno telah menamatkan kerjasama politik dengan Pas. Keputusan itu difahami dibuat dan ditentukan oleh Umno. Satu kenyataan dikeluarkan oleh pihak Umno berhubung keputusan itu. Sebenarnya keputusan itu tidak mengejutkan kerana ia sudah dibayang dan diduga awal-awal tidak mungkin akan berlaku kacukan antara kucing Israel dengan kucing Arab.  

Pun begitu pun kedua-dua pihak sepakat untuk terus bekerjasama sehingga ke pilihan raya akan datang. Dalam kata lain masih ada hubungan "semantik" antara kedua-dua parti itu untuk kepentingan bersama. Cuma setakat ini mereka memperakui tidak ada kerjasama dalam pilihan raya nanti. 

Pas dalam satu kenyataan media dikeluarkan oleh Ahmad Yaakob berkata, parti agama itu menghormati keputusan Umno sambil menegaskan kerjasama dengan Umno diteruskan sehingga sampai ke pilihan raya ke-15. Kalau tidak kata demikian apa lagi bahasa terbaik bagi menggambarkan kekecewanya. 

Tentu bagi Pas bukan perkara baik kalau ia mengambil keputusan memutus "blepah" (putus terus) hubungan dengan Umno kerana kerajaan Kelantan dibawah pimpinan Pas memerlukan sokongan kerajaan pusat yang PMnya adalah daripada Umno. Lagipun diperingkat kerajaan parti itu masih menjadi sesuku daripadanya. Keputusan dibuat itu dilihat ia bersifat peribadi Pas Kelantan.

Umno memberi alasan untuk memutuskan kerjasama itu apabila Pas mahu bermuafakat dengan Bersatu menerusi PN. Sikap dan pendirian Pas itu tidak dapat diterima oleh Umno yang mana mereka melihat Bersatu adalah musuhnya. Bagi Umno Bersatu mengancam nyawanya.  

Alasan Umno lagi, ketetapan untuk tidak bekerjasama dengan Pas yang bekerjasama dengan Bersatu itu diambil dalam mesyuarat MKT Umno yang menolak kerjasama dengan Pas sekiranya parti itu menjalani kerjasama dengan Bersatu. Di sini Umno semacam memaksa Pas menerimanya sahaja tidak parti lain khususnya Bersatu. 

Seperti dinyatakan tadi bagi Umno ia tidak dapat bekerjasama dengan Bersatu kerana penubuhannya bermotif untuk memancungnya. Apa dilakukan oleh pemimpin Bersatu yang asalnya daripada Umno sungguh menyakitkan hatinya. Tindakan Umno itu tepat dan betul tidak perlu sekongkol dengan penjahat.  

Di Kelantan sendiri dua orang MP Umno, Mustapa Mohamed dan Ikmal Hisham Abd Aziz, meninggalkan Umno untuk bersama Bersatu. Tindakan ahli Parlimen Jeli dan Tanah Merah itu bagi Umno satu pengkhianatan dan sikap tidak bermoral. Dalam keadaan itu tidak mungkin untuk Umno dapat melihat muka Mustapa dan Ikmal Hisham yang berlaku curang dengan Umno. Baginya tidak patut kalau Pas memberi layanan kepada kedua individu itu.

Adalah logik bagi Umno Kelantan untuk tidak menerima kerjasama dengan Pas yang didalamnya ada orang yang khinat dan tidak bermoral yang lebih mementingkan perut sendiri daripada perjuangan. Umno sebagai parti mempunyai idealisme, tentuk benci kepada sikap manusia seperti Mustapa dan Ikmal Hisham.  

Perkembangan itu bagaimana pun ia tidak memberi kebaikan kedua-dua pihak, Umno dan Pas. Sebelum ini pemerhati melihat, tidak akan ada mana-mana parti atau gabungan ketiga lain akan dapat menghadapi kerjasama Pas dengan Umno di Kelantan. Sekiranya kerjasama itu berlangsung seperti dirancang, sudah parti Kelantan akan jadi milik bersama antara Pas dan Umno.

PH yang terdiri daripada PKR dan satu lagi parti kuping Pas, yang dipimpin oleh pemimpin becak, tidak mungkin dapat mencabar Umno dan Pas hingga sampai kucing tumbuh tanduk. PH Kelantan tidak ada wibawa langsung manakala pengaruh dan sokongannya makin mengecut, seperti pokok pisang diselar api. Salah satu komponen PH sudah jadi seperti pokok nyiur dipanah petir, daunnya layu, batangnya mereput.  

Bagaimana pun apabila kerjasama Pas - Umno tidak jadi kenyataan, ia akan membuka peluang baharu dalam kancah politik Kelantan, khasnya kepada Umno. Dalam situasi kini ia memberi kelebihan kepada Umno apabila Pas kini dalam keadaan tidak sekondusif dahulu. Ini jelas apabila nada lunak dalam mengulas keputusan itu dengan menegaskan yang parti itu akan terus bekerjasama dengan Umno sehingga tamat parlimen penggal ke-14. Kenyataan itu memberi gambaran Pas masih menaruh harapan kepada Umno. Kenapa?

Kalau Pas berasa selesa dan kekuatannya tidak tergugat untuk apa rasa bimbang tanpa kerjasama dengan Umno. Kata orang jika perahu sudah sopek maka usahkan kepada gelombang kalau ada ombak kecil pun ditakuti. 

Maksudnya Pas sudah dapat merasakan dan terpamer ketakutan dan kebimbangannya untuk menghadapi pilihan raya akan datang. Kenapa, kerana setelah 31 tahun memerintah Kelantan banyak masalah yang timbul dan masalah rakyat gagal diselesaikan. Perlahan-lahan rakyat sudah mengetahui retorik yang dijaja Pas selama ini tidak membawa mereka ke mana pun. 

Setelah menguasai Kelantan menjadi kerajaan selama enam penggal parti itu gagal membawa Kelantan seperti mana diharap. Kegagalan dan kelemahan Pas selaku kerajaan sedang disemak dan diteliti oleh rakyat Kelantan. Sudah ada kesedaran dari kalangan rakyat Kelantan untuk bertindak ke atas Pas. Sebagai buktinya terdapat sekurang-kurang lima Ngo yang mula menggerakkan bagi mengubah kerajaan Kelantan. Jumlah itu tidak termasuk kumpulan gurup WhatsApp yang menjalankan kempen menolak Pas secara senyap. 

Kepincangan dan keluyuhan Pas ini semakin dirasai apabila setelah ketiadaan Tokguru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan terkeluarnya Husam Musa, menjadikan Pas seperti di zaman sebelum ini, non idea. Keadaan itu ditambah pula dengan perkembangan terbaru bila mana meletus pergolakan dalaman Pas Kelantan. Kekalahan Nik Muhammad Abduh Nik Aziz dalam perebutan jawatankuasa tertinggi Pas dilihat sebahagian daripada kekecauan politik Pas Kelantan. Sehingga kini gelora dalaman Pas itu masih belum tersembur keluar dan menunggu masa sahaja untuk meletup. 

Kerana menyedari itulah maka Pas masih lagi berharap kepada Umno. Parti itu mungkin sudah menyedari yang pengaruh dan sokongan rakyat kepadanya sudah mula terhurai. Justeru parti arwah chek itu memerlukan sokongan dan paduan parti lain. 

Walaupun ia ada Bersatu, tetapi kekuatan yang ada kepada parti itu tidak sama dengan kekuatan dimiliki oleh Umno. Pengaruh dan keupayaan Bersatu di Kelantan sama dengan Keadilan dan parti serpihan Pas itu. Dalam pilihan raya lalu, hampir kesemua kerusi dipertandingkan kalah dan calon hilang deposit. 

Dengan menyedari latar belakang dan kekuatan itu, meskipun dalam bersatu ada dua orang ahli parlimen Mustapa dan Ikmal Hisham ia tidak dapat menyuntik kekuatan kepada Bersatu seterusnya diharap untuk menebalkan sokongan kepada Pas. Mungkin Mustapa dan Ikmal sendiri masih tertanya-tanya macam manakah nasib mereka dalam pilihan raya akan datang. Mungkin mereka tidak bertanding kerana takutkan kalah?  

Tidak mustahil dengan kebencaian dan sakit hati ahli dan penyokong Umno kepada kedua ahli parlimen tidak berprinsip itu, mereka akan tewas dalam pilihan raya akan datang. Silap-silap kebusukan yang mereka bawa akan tersimbah ke dalam Pas. Mungkin Mustapa dan Ikmal mengharapkan sokongan daripada Pas, tetapi ia tidak semudah itu. Berdekad ahli dan penyokong Pas marah dan sakit hati dengan mereka khususnya Mustapa, tidak mungkin mereka akan lupa begitu sahaja, dan senang-senang untuk memangkah Mustapa dan Ikmal. 

Kesimpulan awal dapat disimpulkan di sini dengan keberanian Umno memutuskan hubungan dengan Pas itu memulihkan semula perasaan orang ramai khasnya yang mirip kepada Umno dan tidak senang dengan huluran tangan Umno kepada Pas sebelum ini. Semasa Umno beriya untuk bersama Pas, ramai ahli dan penyokongnya peringkat bawahan mempertikaikan akan kesetiaan Pas dalam bersahabat lantaran itu mereka tidak merestuinya. 

Biarpun disamak degan air mustamal diambil daripada tujuh telaga, namun rasa terkilan dan marah ahli dan penyokong Umno bawahan dengan takfirin Pas masih membara.  

Perumpamaan yang diberikan oleh Tengku Razaleigh Hamzah Pas laksana pelacur telah menjadi ahli dan penyokong Umno beringat dan berwaspada dengan Pas. Jadi apabila Umno mengambil keputusan memutuskan hubungan dengan Pas, mereka berasakan Umno berbuat tindakan yang betul dan akan memulihkan keyakinan mereka kepda Umno semula. 

Sebelum ini hanya seorang ketua Umno bahagian sahaja yang beriya-iya untuk bersama Pas dan menjalankan kempen, tetapi ternyata ia tidak mendapat sambutan melainkan oleh ahli Umno dibahagiannya sahaja.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan