Oleh Mohsin Abdullah
“Mampus, melambunglah harga minyak masak,” kata seorang rakan melepaskan rungutan dan kebimbangan menerusi Facebook, sebaik sahaja mendapat tahu pengumuman kerajaan akan mansuhkan subsidi minyak masak tulen botol 2kg hingga 5kg bermula 1 Julai ini.
Pengumuman itu dibuat Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Alexander Nanta Linggi, tiga hari lalu yakni 21 Jun.
Sebenarnya, bukan subsidi minyak masak sahaja yang diumum beliau. Kita tahu pak menteri turut berkata kawalan harga siling ayam dan telur ayam juga tidak akan diteruskan mulai 1 Julai ini.-Ads by
Lalu beliau memberitahu apa yang kita semua sudah tahu bahawa harga barangan itu “dijangka meningkat dan ditentukan oleh pasaran”. Bagi saya, daripada beliau menggunakan perkataan atau istilah “dijangka”, eloklah digunakan “pasti” kerana kenaikan harga satu kepastian, bukan jangkaan.
Kata Nanta lagi, tindakan kerajaan itu bagi memastikan bekalan bahan makanan dan harga dalam pasaran “akan stabil dalam jangka panjang”. Bagi jangka pendek bagaimana? Tempoh terdekat pula? Adakah kita (baca: rakyat marhaen) mesti beli dengan harga tinggi sambil tersenyum?
Ingin juga saya tahu adakah selama ini bekalan bahan makanan dan harga dalam pasaran tidak stabil sehingga memerlukan kerajaan bertindak memansuhkan subsidi dan menarik balik kawalan harga untuk “menstabilkan” keadaan? Adakah “ketidakstabilan” itu angkara kerajaan sendiri? Secara sedar atau tidak?
Pun begitu, kata pak menteri, beliau dimaklumkan pihak industri bahawa harga siling ayam 1kg akan berlegar sekitar RM10, tetapi “saya tidak berani sahkan berapa harganya nanti kerana apabila harga kawalan ditarik, harga akan diapungkan ikut pasaran”.
Bagaimanapun, menurut beliau, “kami bagi jaminan kenaikan harga ayam tidak akan naik mendadak, tapi jika ia berlaku, kami akan pantau dan gunakan peraturan sedia ada”. Ini untuk harga ayam. Bagaimana pula harga barangan lain?
Apapun, kata-kata itu membuat saya tersenyum pahit kerana “beri jaminan”, “pantau” dan “guna peraturan sedia ada” sudah kerap dilafazkan ramai menteri sebelum ini.
Secara keseluruhannya, menurut Nanta, kerajaan merasakan tiba masa subsidi dimansuhkan supaya “boleh memberi fokus bagaimana untuk membantu golongan yang memerlukan”.
Kata beliau, “kerajaan boleh memberi bantuan lebih bersasar. Bagaimanapun, segala bentuk bantuan akan diperincikan oleh Kementerian Kewangan”.
Bagi saya “bantuan lebih bersasar” merujuk bantuan kepada golongan B40. Ini langkah bagus dan dialu-alukan. Namun nak tanya bagaimana pula golongan pertengahan dan “working class”?
Mereka yang makan gaji dan membayar cukai, yang tidak boleh dikelaskan sebagai “orang miskin” (oleh itu automatik tidak layak menerima bantuan), tetapi tidak juga boleh digolongkan sebagai “orang kaya”. Ringkasnya, miskin tidak kaya pun tidak, tetapi tetap terkesan dengan kenaikan harga barang dan sebagainya. Apakah yang mereka boleh harapkan?
Kita selalu dengar hujah bahawa subsidi lambat-laun mesti dihapuskan kerana kerajaan sudah tidak mampu menampungnya. Maka bertanya rakyat mengapa tidak mampu? Apa jadi? Bukankah kerajaan kata semua OK belaka?
Kementerian yang dikemudi Nanta baru-baru ini menganjurkan sesi dialog bagi memberi penerangan kepada pemain industri dan persatuan pengguna mengenai situasi inflasi yang dihadapi.
Antara pandangan serta cadangan yang diberikan ialah “memperkasa kesedaran pengguna dan mengubah cara hidup dalam menghadapi kenaikan harga”. Sekali lagi rakyat yang perlu “adjust” dalam menghadapi masalah yang bukan rakyat cetuskan.
Menteri Pertahanan, Hishammuddin Hussein, pula mengumumkan kementeriannya menyasarkan untuk mewujudkan kebun sayur di setiap kem tentera bagi memastikan bekalan makanan terjamin, terutama bagi keperluan anggota.
Meskipun berkebun dan berladang sesuatu yang mulia, cadangan Hishammuddin bagi saya melucukan, umpama kesatria jadi “Hang Kebun” (meminjam istilah komedi P Ramlee). Bahkan cadangan itu dipersoal Persatuan Patriot Kebangsaan.
Hakikatnya, yang perlu ialah pelan menyeluruh yang lengkap, bukan pelan jangka pendek, apatah lagi pelan tangkap muat.
Saya setuju (walaupun akan dituduh pro-pembangkang) akan gesaan Majlis Presiden Pakatan Harapan agar kerajaan mengumumkan pelan untuk isu subsidi dan kos sara hidup.
Tetapi, PH mahu pelan itu diumum dalam masa 24 jam bermula 22 Jun. Bermakna, ketika anda membaca artikel ini, mungkin pelan yang dimaksudkan sudah ditatapi umum. Atau sebaliknya.
Kata PH, jika kerajaan gagal mengemukakan pelan itu dalam tempoh yang mereka tetapkan, PH menuntut menteri bertanggungjawab meletak jawatan. Kita tahu ini tidak akan terjadi. Tidak ada siapa yang akan letak jawatan secara sukarela.
Namun, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob tampil pada sidang media khas yang diadakan pada petang 22 Jun untuk memaklumkan subsidi minyak masak peket 1kg tidak dimansuhkan.
“Kerajaan masih kekalkan subsidi minyak masak dengan jumlah RM44 bilion pada 2022. Jadi minyak masak peket masih kekal RM2.50 sekilogram,” kata Ismail dipetik media.
Akan tetapi, perkara yang sama sudah diumumkan Nanta ketika beliau beritahu mengenai pemansuhan subsidi minyak masak tulen botol pada 21 Jun. Apa perlunya perdana menteri mengulangi apa yang sudah diumumkan menteri?
Namun, diakui apa yang diumumkan itu satu berita “gembira”. Cuma kali ini, saya tidak mampu ukir senyuman, sama ada senyuman pahit mahupun meleret. Bukan kerana tidak bersyukur.
0 comments:
Catat Ulasan