Selepas Zuraida, Azmin menyusul?


Oleh Mohsin Abdullah 

Zuraida Kamaruddin keluar Bersatu masuk PBM atau Parti Bangsa Malaysia bukanlah sesuatu yang memeranjatkan, malah sudah dijangka. Ketika esei ini ditulis, Presiden PBM, Larry Sng, menerusi kenyataan memberitahu “keputusan rasmi permohonan Zuraida untuk menyertai” partinya akan beliau umum sekembalinya dari luar negara. Sng akan pulang 7 Jun – ertinya bolehlah dikatakan keputusan akan diumum sehari dua selepas itu.

Tidaklah kita perlu jadi pakar politik untuk tahu apa keputusan beliau. Setelah Zuraida umum secara rasmi keluar Bersatu dan ‘hasrat’ sertai PBM serta letak jawatan menteri, adakah mungkin ‘permohonannya’ ditolak?

PBM dahulunya Parti Pekerja Sarawak yang dijenama semula pada 2021. Ia dianggotai ahli NGO yang dikaitkan dengan Zuraida, malah pengerusi NGO berkenaan pernah jadi setiausaha politik Zuraida. Pucuk pimpinan PBM pula majoritinya terdiri daripada bekas pemimpin PKR yang dikaitkan dengan Azmin Ali semasa beliau menjadi timbalan presiden PKR. Kita tahu Zuraida bukan sahaja berada dalam tim Azmin, beliau orang kanannya.

Ketika penubuhan PBM diumumkan, sudah ada ura-ura Zuraidah akan menjadi presidennya. Pada 4 Feb 2022, media memetik beliau berkata akan kekal dalam Bersatu – “business as usual” walaupun “macam-macam khabar angin mengenai kedudukan saya dalam Bersatu”. Itu Februari, sekarang Mei. Dahulu lain, sekarang lain.

Cerita parti baharu untuk Zuraida sudah lama kedengaran. Sebenarnya yang didengari parti untuk Azmin. Oleh kerana mereka satu pasukan, maka disebut parti untuk Zuraida juga.

Tim Azmin dalam PKR memainkan peranan besar dalam rampasan kuasa Langkah Sheraton 2020 yang menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan. Azmin, Zuraida, dan beberapa kawan sepasukan dilantik menteri dan sebagainya oleh Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, yang ketika itu perdana menteri.

Waktu itu, Azmin dan gengnya dirujuk sebagai “bekas” atau “serpihan” PKR. Mereka tidak punya parti selepas keluar (atau dikeluarkan mengikut pandangan rasmi PKR). Mereka “tidak boleh” atau “tidak mahu” menyertai PAS yang duduk dalam Perikatan Nasional, yang wujud hasil Langkah Sheraton. Ada pemimpin Umno dalam Kabinet Muhyiddin, tetapi parti itu tidak menyertai PN secara rasmi. Apa pun, Umno dikatakan tidak mahu menerima Azmin dan timnya. Lama-kelamaan, mereka diterima masuk Bersatu. Maka Azmin, Zuraida, dan serpihan PKR selesa duduk dalam kerajaan PN bersama Bersatu.

Namun, dakwaan timbul bahawa Azmin telah mengabaikan penyokong yang masih berada dalam PKR, terutama ahli bukan Melayu. Sumber rapat tim Azmin pernah memberitahu saya bahawa mereka waktu itu sedang berusaha menubuhkan sebuah parti baharu yang keahliannya berbilang bangsa untuk menampung “kawan-kawan yang terkandas” dalam PKR.

Tetapi, tidak ada apa yang berlaku. Tidak nampak batang hidung parti yang dikatakan akan muncul.

Perlu diingat, sebelum itu semasa tim Azmin sedang berperang dengan tim Anwar Ibrahim dalam PKR, ada spekulasi Azmin bersama pasukannya akan keluar PKR “en bloc” dan menyertai Gerakan, parti berbilang kaum dengan majoriti orang Cina yang sudah pun keluar BN ketika itu.

Presiden Gerakan, Dominic Lau, memberitahu saya, Azmin dan rakan-rakan dialu-alukan masuk Gerakan tetapi “menurut perlembagaan Gerakan, presiden dipilih ahli parti”. Jelas memberi isyarat beliau tidak akan berundur dan Azmin tidak boleh terus jadi presiden.

Penyokong Azmin pula berpendapat “nama besar” seperti Azmin tidak harus masuk mana-mana parti sebagai ahli biasa sahaja. Bagi mereka, Azmin perlu jadi pemimpin nombor satu mana-mana parti yang beliau sertai.

Sekarang, ada PBM yang dikemudi kawan-kawan lama dari PKR. Zuraida hampir pasti menyertai. Adakah Azmin akan menyusul? Direstui Muhyiddin?

PBM sayap Pulau Pinang sudah pun menegaskan Azmin dialu-alukan “tetapi mesti ikut prosedur biasa”, yakni perlu isu borang permohonan jadi ahli dan sebagainya. Kalau dalam filem komedi P Ramlee, kata-kata seperti itu diibaratkan “cakap lawa”.

Apa pun persoalannya ialah, jika Azmin menyertai PBM adakah beliau selaku nama besar akan jadi ahli biasa sahaja? Mungkinkah Sng akan berjiwa besar mengosongkan kerusi presiden untuk diserahkan kepada Azmin, kawan lamanya? Mungkinkah Zuraida akan menjadi timbalan presiden – mewujudkan gandingan seperti semasa mereka dalam PKR dahulu?

PBM sudah awal-awal umum ia sokong PN. Adakah Azmin akan membawa PBM secara rasmi menjadi komponen PN?

Sekarang komponen PN ada lima – Bersatu, PAS, Gerakan, SAPP, dan STAR. BN ada empat – Umno, MCA, MIC, dan PBRS; manakala komponen PH ialah PKR, DAP, Amanah, dan UPKO. Wah…PN menang nampaknya. Menang bilangan komponen.

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan