‘Kalau mahu dihormati, Umno kena dapatkan mandat baru’


Oleh NS RAMLI

Desakan supaya pilihan raya umum ke-15 (PRU15) segera diadakan terus mendapat sokongan akar umbi Umno.

Kali ini, Ketua Umno Bahagian Paya Besar, Ahmad Tajuddin Sulaiman, tampil berkata, parti Melayu itu memerlukan mandat baru yang lebih stabil jika ingin terus dihormati.

Katanya, walaupun wakil Umno memegang jawatan perdana menteri, namun kerajaan yang ada hari ini adalah kerajaan 'diwarisi' daripada gabungan Perikatan Nasional (PN) selepas Langkah Sheraton pada Februari 2020.

"Kita jadi kerajaan bukan melalui mandat rakyat, jadi kalau kita mahu dihormati, kena dapatkan mandat baru.

"Bagaimana nak dapat mandat baru? mestilah melalui pilihan raya dan kalau itulah caranya, Umno tidak ada pilihan, selain kita berdepan dengan pembangkang atau sesiapa sahaja dalam pilihan raya umum," katanya ketika ditemui Malaysiakini di pejabatnya di Kuantan, Pahang.

Ahmad Tajuddin Sulaiman, Ketua Umno Bahagian Paya Besar

Ketika ditanya sama ada Umno sudah bersedia jika pilihan raya umum ke-15 (PRU15) diadakan dalam masa terdekat, Ahmad Tajuddin memaklumkan, bersedia atau tidak itu bukan soal paling penting.

"Di peringkat akar umbi memang sudah lama (bersedia) bekerja, sekarang ini kita cuma nak tengok sejauh mana 'rentak' pembangkang.

"Jika dulu mereka (pembangkang) selalu meminta supaya kembalikan mandat kepada rakyat, tapi sejak akhir-akhir ini, pembangkang 'pusing cerita' kononnya kita (Umno) yang bersungguh-sungguh mahukan PRU15.

"Pandangan sayalah, mana ada parti yang mahu menangguhkan (PRU15) jika mereka yakin boleh menang, jadi saya fikir mereka (pembangkang) juga tidak yakin boleh menang," katanya.

Ditanya mengenai isu dihadapi pimpinan tertinggi Umno ketika ini, dia menjelaskan suara akar umbi lebih berkuasa berbanding seorang dua pimpinan.

Gambar Fail

Katanya, kes mahkamah dihadapi Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri, Najib Razak adalah masalah peribadi dan tidak membabitkan akar umbi secara langsung.

"Itu masalah (peribadi) mereka, kekuatan Umno selama ini disebabkan sokongan ahli akar umbi, ahli peringkat cawangan, jentera jalinan rakyat (JR) Wanita Umno, Puteri dan semua penyokong.

"Mereka (akar umbi) ini berjuang mempertahankan Umno bukan disebabkan nak jadi menteri, timbalan menteri atau duta, tapi sebab sayangkan parti.

"Kita sudah ada pengalaman 22 bulan bersama (diperintah) Pakatan Harapan (PH), ahli akar umbi kita dah lalui kesukaran itu, mereka masih setia bersama Umno, masih mempertahankan parti dan tidak lari (melompat) ke mana-mana," katanya.

Ketika ini, Ahmad Zahid berdepan 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana berjuta-juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Gambar Fail - Ahmad Zahid Hamidi, Presiden Umno

Manakala pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati Najib bersalah terhadap tujuh tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram penyelewengan dana SRC berjumlah RM42 juta dan memerintahkan bekas Perdana Menteri itu dipenjara 12 tahun dan didenda sebanyak RM210 juta.

Proses rayuan akhir Najib untuk mengetepikan sabitan dan hukuman dalam kes penyelewengan itu akan didengar Mahkamah Persekutuan selama 10 hari bermula 15 hingga 26 Ogos ini.

Ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail pada 21 Jun lalu berhubung pemilihan calon 'muka baru' untuk PRU15, Ahmad Tajuddin berkata, ia masih lagi belum muktamad.

"Kalau ahli dewan undangan negeri (Adun) sudah lebih empat penggal menang tapi dia masih boleh berkhidmat, boleh memastikan kemenangan Umno, tidak ada isu berbangkit, bolehlah dia teruskan (bertanding).

Ahmad Tajuddin Sulaiman, Ketua Umno Bahagian Paya Besar

"Tapi kalau ada masalah, tidak diterima baik oleh ahli peringkat akar umbi dan ada masalah lain (seperti kesihatan), elok bagi laluan kepada orang lain.

"Tidak semestinya kalau dia pegang jawatan di peringkat Bahagian, maka dia jadi calon, itu atas kebijaksanaan pimpinan Umno Pahang tentukan siapa yang layak bertanding," katanya lagi.

Wan Rosdy yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang dalam sidang media di Kuantan pada 21 Jun lalu memberi gambaran Adun yang sudah berkhidmat empat penggal atau lebih, akan digantikan dengan calon baru.

Dia dilaporkan berkata, walaupun keputusan itu belum dimuktamadkan, tapi ia adalah antara cadangan awal dan akan diputuskan sebaik saja Parlimen dibubarkan.

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan