Kedudukan Ismail Sabri dalam bahaya?


Oleh Mohd Sayuti Omar

SETIAUSAHA Agung Umno Ahmad Maslan berkata sekiranya RoS tidak meluluskan pindaan perlembagaan Umno yang dipindaan baru-baru ini, parti itu tidak ada pilihan melainkan kena mengadakan pemilihan parti seperti ditetapkan. 

Bagaimana pun kalau ketetapan itu enggan dipatuhi parti itu ada pelan lain.  

Umno menunggu sehingga 16 Julai ini sebagai tarikh akhir untuk mendapat kelulusan pindaan perlembagaan yang dibuat dalam PAU sebulan lalu. Pindaan itu berhubung ketetapan untuk parti itu mengadakan PAU selepas enam bulan pilihan raya umum diadakan. 

Apakah pelan B itu? Ahli Parlimen Pontian itu tidak menjelas lanjut dan membayangkan ia masih berada dalam perhitungan parti itu. Pelan B itu akan dilaksanakan sekiranya parti enggan mengadakan pemilihan. Mungkin juga pelan itu hanya dalam bayangan beliau semata-mata.

Beliau seakan mahu berteka teki dalam soal ini dan pelan B itu seperti pelan "kontingensi" khas untuk menyelamatkan parti itu dan beberapa orang pemimpinnya. 

Sesetengah pemimpin Umno kini khasnya yang dinamakan kluster mahkamah terjempit dan terdesak. Bagi parti itu kegagalan mendapat kelulusan RoS nanti menyebabkan ia tidak ada pilihan lain melainkan terpaksa mengadakan perhimpunan agung (PAU) memilih pemimpin sebelum 29 Disember ini. 

Umno terpaksa mengadakan PAU sebelum tempoh itu kerana jika tidak ia dianggap sebagai gagal memenuhi peraturan membolehkan ia diharamkan? Sementara golongan kluster mahkamah pula sangat khwatir untuk berhadapan dengan pemilihan, maka mereka semahu-mahunya mengelak pemilihan itu sehingga selesai pilihan raya umum.

Apa yang menghantui Umno kini ialah tindakan mahkamah. Peristiwa tahun 1987 dimana Umno pernah diistyharkan sebagai pertubuhan haram sangat menakut Umno dan menjadi trauma. Apa lagi sebelum ini ada ura-ura untuk memangsakan Umno dengan kuasa mahkamah itu. Cadangan agar Umno (Baru) diharamkan pernah timbul semasa Dr Mahathir Mohamad jadi PM kali kedua. 

Yang menjadi persoalan kini apakah pelan B yang disebut oleh Ahmad Maslan itu? Ini menarik untuk dianalisa dan membuat jangkaan. Apakah pelan itu akan menyentuh kedudukan Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri? Apakah pelan itu terpaksa dilakukan apabila Ismail Sabri seperti gagal bertindak menyelamatkan parti dan pemimpin kluster mahkamah dengan kedudukannya sebagai PM itu?

Ada suara dalam Umno yang bernada kecewa terhadap Ismail Sabri, kerana selaku perdana menteri Ismail Sabri seakan tidak berbuat apa-apa terhadap pindaan perlembagaan itu. Mereka berpendapat selaku PM Ismail Sabri ada kuasa untuk mengarah atau beri isyarat agar RoS berbuat sesuatu menguntungkan Umno.

Lantaran demikian sikap Ismail Sabri, apa yang dapat diselami tindakan atau pelan B Umno seperti disebut Ahmad Maslan itu kemungkinan besar Umno yang dikuasai presiden parti itu akan mendesak Ismail Sabri agar berundur sebagai balasan atas keengganan atau kelemahannya berbuat sesuatu membantu Umno. 

Yang menarik dan suspen di sini sekiranya Umno menarik sokongan terhadap Ismail Sabri sudah pasti perdana menteri ke - 9 itu akan hilang kedudukan dalam parlimen. Kedudukan Ismail Sabri benar-benar tercabar dan goyang. 

Bagaimana pun sebelum agenda ini dilaksanakan tentu ia diteliti sebaik mungkin oleh pihak Umno khasnya presiden, kerana bukan semua ahli parlimen Umno berpihak kepadanya. Mereka yang diberi atau mempunyai jawatan (atau disebut kluster Putrajaya) jelas menyatakan sokongan kepada Ismail Sabri, antaranya Annuar Musa, Shahidan Kassim, Noraini Ahmad, Tajuddin Abdul Rahman, Nazri Aziz dan beberapa yang lain.

Justeru kalau pun Umno mengisytiharkan menarik sokongan kepadanya, Ismail Sabri masih boleh kekal dengan kedudukannya sebagai perdana menteri apa lagi kalau PH pula tiba-tiba menyambung MoU kedua dengan kerajaan Ismail Sabri. 

Inilah yang menyebabkan Ahmad Maslan tidak memberi bayangan jelas apakah pelan B yang akan diambil oleh Umno itu. Atau pun kenyataan Ahmad Maslan itu juga bersifat ugutan kepada Ismail Sabri agar turut membantu mengarahkan RoS meluluskan pindaan perlembagaan Umno. 

Kesimpulannya apa yang berlaku dalam Umno kini ia menyerlahkan situasi parti itu masih belum stabil dan sepadu dari segi idea dan juga tindakan yang akan diambil pada saat menjelang pilihan raya umum ke-15. Keadaan ini tidak memberi suasana yang baik dan jaminan yang Umno dapat menghadapi Piraum ke-15 nanti.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan