Oleh Mahdzir Ibrahim
Kumpulan yang bersimpati dengan Najib Tun Razak sedang berkempen untuk memohon pengampunan diraja bagi pihak Najib. Kempen ini pastinya mengambil contoh yang berlaku ke atas Sdr Anwar Ibrahim pada 2018.
Maka, tidak hairan mengapa kempen ini dimulakan dengan begitu pantas (tidak sampai seminggu Najib dipenjarakan) kerana sudah ada ‘precedent’ atau ‘duluan’ kes.
Untuk menjual naratif ini, kumpulan Najib juga mengarang ‘ayat’ dan ‘surah’ yang muluk mengenai jasa Najib kepada negara seperti kejayaan projek ECRL, LRT, TRX termasuk BRIM dan Klinik 1 Malaysia. Tujuan utama semua surah ini ditulis adalah untuk menambah sokongan dan simpati rakyat ke atas Najib, Bapa Pencuri 1 Malaysia.
Bagi rakan-rakan politik Najib, mereka berkumpul beramai-ramai di dewan untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa semua ahli-ahli Umno masih menyokong dan setia di belakang Najib. Kisah-kisah sayu menjadi latar kempen membela si penyangak ini.
Di satu kumpulan yang lain, para simpatisan Najib menyerang Tun M kerana masih meratib tentang Najib sebagai punca masalah negara. Penganalisis politik dan juga golongan agamawan yang pura-pura bersikap neutral turut digunakan untuk ‘memurnikan' Najib.
Malah media-media sosial juga menjadi alat untuk menghentam Tun M dan Gerakan Tanah Air (GTA) sebagai tidak lagi relevan.
Begitulah kempen Najib ini dicorakkan.
Sebelum mengulas tentang ‘jasa’ Najib yang sedang dijual ini, elok kita surut ke belakang (flashback) untuk memahami masalah dan kesan yang dibawa oleh skandal 1MDB ini.
Kesan 1MDB kepada rakyat
1MDB ini ibarat sebuah gempa bumi. Kesan magnitud gegaran 1MDB ini dirasai di dunia moden. ‘Money Trail’ atau jejak wang 1MDB ini sampai ke Amerika Syarikat, masuk ke negara Eropah serta beberapa negara di Asia Barat malah di Asia Tenggara sendiri seperti Singapura dan Thailand juga dikesan.
Mungkin, jika dinisbahkan gegaran gempa 1MDB dengan gegaran gempa bumi semulajadi, ia melebihi 7 skala richter yang kesannya boleh menjadi Tsunami yang besar.
Gambaran gempa 1MDB ini cukup untuk menunjukkan betapa teruk dan buruknya skandal ini, tidak setara dengan ‘jasa’ Najib yang sedang dijaja ini.
Projek mega sakau
Projek mega Najib seperti ECRL sebagai contoh, bukanlah suatu perkara yang begitu hebat sebaliknya ia suatu projek ‘sakau’ yang bertopengkan pembangunan untuk rakyat. Ini terbukti apabila Najib mengumumkan projek mega ini pada kos RM 65.5 billion yang sebenarnya boleh dijimatkan kepada rm 44 billion.
Dan ia terbukti ketika Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri, beliau mengarahkan Tun Daim untuk berunding semula dan berhasil.
Tetapi, setelah PN/BN merampas kerajaan, kos itu naik semula kepada RM50 billion. Dan mereka berhujah, kos RM50 billion ini lebih murah daripada kos asal iaitu RM65.5 billion. Ini lucu kerana mereka membandingkan dengan kos Najib, bukan kos terakhir iaitu RM40 billion.
Begitu juga dengan projek ‘sakau’ Najib seperti TRX yang menjadi masalah kepada Tabung Haji, agensi yang mengurus kebajikan umat Islam yang ingin ke Mekah, telah digunakan untuk membeli salah satu bidang tanah projek TRX ini.
Projek-projek sakau ini menjadi masalah kerana secara tidak langsung ia terkait dengan kesan gegaran gempa 1MDB. Kesannya sama ada untuk mendanai kelangsungan projek itu atau digunakan untuk membayar hutang-hutang 1MDB yang dilaporkan oleh Kementerian Kewangan sebanyak RM38.8 billion hingga tahun 2039.
Demikianlah besarnya gegaran gempa 1MDB ini. Dengan hutang-hutang 1MDB ini sahaja, ia telah melenyapkan semua peruntukan kewangan untuk semua projek-projek Najib itu. Jadi dimana jasa Najib itu?
BR1M suatu jasa atau malapetaka?
Sebelum kita bercakap tentang berapa banyak rakyat dapat daripada BR1M, sebaik kita memahami terlebih dahulu bagaimana idea memberi wang kepada rakyat ini boleh muncul kerana ia belum pernah menjadi amalan dan dasar kerajaan sebelum era Najib.
Program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) mula dirangka oleh beliau pada 2012 sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk meringankan beban golongan berpendapatan rendah di Malaysia.
Program ini dirangka untuk membantu golongan berpendapatan rendah mengurangkan beban kos sara hidup yang tinggi di Malaysia. BR1M juga merupakan sebahagian daripada Program Transformasi Ekonomi (ETP) Kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi.
Dasar ini pada permukaannya nampak murni dan baik, tetapi cuba kita gali dan bertanya – adakah dengan memberi wang tunai secara percuma adalah jalan terbaik menyelesaikan masalah kemiskinan?
Silap mata Najib
Di sinilah silap mata Najib Tun Razak. Dari segi ekosistem BR1M ini, ia tidak mapan atau sustainable kerana apabila sebuah kerajaan mengamalkan dasar memberi wang tunai secara percuma, setiap tahun kos ini akan meningkat sedangkan masalah utama rakyat bukan wang tunai tetapi isu yang lebih mendasar iaitu kemiskinan.
Masalah kemiskinan ialah persoalan mengenai akses kepada peluang pekerjaan, kadar upah dan aktiviti perniagaan. Hal-hal inilah yang akan membantu orang miskin untuk keluar dari jerat kemiskinan.
Selain daripada itu, apabila kita kaji masalah kemiskinan, ia juga berkait rapat dengan masalah sikap manusia, teknologi dan taraf pendidikan rakyat.
Jika orang yang malas berusaha diberikan wang secara percuma setiap masa, adakah itu akan menyebabkan mereka menjadi rajin berusaha hingga dapat menyelesaikan masalah hidup mereka dalam tempoh jangka masa panjang? Tidak.
Di sinilah kesilapan Najib apabila memilih jalan pintas untuk mengelak daripada menyelesaikan masalah kemiskinan, masalah sikap dan pendidikan rakyat dengan cara memberi wang tunai secara percuma.
Ini jugalah yang membezakan usaha Najib dengan azam Tun M yang mahu rakyat rajin berusaha, mengambil peluang yang disediakan kerajaan, bersaing dengan berani dengan pelbagai bangsa, bukan menadah tangan mengharap wang diberi dari kerajaan tanpa apa-apa usaha.
Jika kita semak, sehingga hari ini, adakah jumlah penerima BR1M semakin berkurangan? Tidak.
Adakah jumlah peruntukan wang BR1M semakin berkurangan secara beransur-ansur? Juga tidak.
Justeru, persoalannya, berapa lama lagi kerajaan mampu menanggung kos menerusi dasar memberi wang tunai secara percuma ini?
Semua persoalan ini akan dapat menjelaskan adakah benar Najib ini banyak jasanya kepada kita.
Jangan kita lupa, di sinilah bermulanya idea ‘Cash is King’. Untuk terus memberi wang kepada rakyat agar sokongan politik berkekalan, 1MDB muncul sebagai entiti bagi
Najib mengumpul wang. Inilah dasar yang hari ini menjahanamkan negara.
Justeru, gembar-gembur ‘jasa’ Najib ini sebenarnya adalah malapetaka besar buat negara. Cukup-cukuplah menipu rakyat. Mari kita merdekakan rakyat dari pemimpin yang jahat.
Selamat Hari Merdeka ke-65.
MAHDZIR IBRAHIM adalah ahli Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).
0 comments:
Catat Ulasan