Percaturan Politik Ds Zahid Separuh Gagal Sebelum Pru15


Oleh HAYAR HASSAN

Sekarang sudah sah bahawa Parlimen Malaysia telah dibubarkan. YDPA telah memperkenankan pembubarannya tanggal 10 Oktober 2022 yang lalu. Semua teka-teki berkaitan tarikh pembubaran Parlimen Malaysia telah tamat.

SPR perlu mengadakan PRU 15 dalam masa 60 hari daripada 10 Oktober 2022, walau pun kita mungkin akan mengalami banjir musim tengkujoh, seperti yang lazimnya berlaku. Ramai pengulas politik tanah air berpendapat ini adalah perancangan pemimpin-pemimpin utama UMNO. PRU 15 dalam musim banjir tengkujoh mungkin boleh memenangkan UMNO-BN, seandainya peratus keluar mengundi sekitar 50 % sahaja, seperti PRN-PRN Johor dan Melaka.

Lazimnya PRU akan merangkumi pemilihan Ahli-Ahli Parlimen Malaysia dan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Malaysia dibuat secara serentak.

Seperti yang kita maklumi DUN-DUN Sarawak, Sabah, Johor dan Melaka tidak perlu ikut serta dalam PRU 15 ini kerana mereka telah mengadakan PRN-PRN sebelum ini.

DUN-DUN di bawah PH seperti Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang telah sepakat untuk tidak bubar. Alasan yang diberikan ialah, mereka hendak memberikan tumpuan kepada persedian menghadapi banjir. Kesejahteraan rakyat lebih diutamakan. Kesiapsiagaan Menangani Banjir menjadi fokus utama negeri-negeri di bawah PH.

Umum berpendapat ini adalah keputusan terbaik oleh Majlis Presiden PH. Jelas terserlah bahawa PH tetap kompak dalam membuat keputusan secara konsensus. Perbezaan pendapat masih diraikan melalui mesyuarat dan rundingan. Apabila suatu keputusan telah dibuat, semua akan akur. Itulah kekuatan PH, kebersamaan dalam setiap isu dan masaalah.

Begitu juga DUN-DUN di bawah PAS, mereka juga tidak membubarkan DUN-DUN mereka . Nampaknya perancangan asal pimpinan UMNO-BN itu tidak dipersetujui sepenuhnya. Hanya DUN-DUN Perlis, Perak dan Pahang telah ikut bubar.

Senario sebegini, seolah-olah menggambarkan bahawa strategi dan perancangan asal pimpinan UMNO-BN untuk menghadapi PRU 15 sudah menghadapi masalah besar. Kalau boleh diibaratkan, seperti dalam perlawanan akhir bolasepak, pasukan UMNO-BN masuk padang tanpa penyerang dan pertahanan utama. Ramai daripada pemain-pemain utama tercedera dan tidak boleh diturunkan. Majoriti pemain mereka adalah pemain-pemain simpanan sahaja. Dari segi adat, sukar untuk pasukan mereka memenangi perlawanan akhir ini. Semoga ianya benar-benar menjadi suatu realiti, iaitu UMNO-BN kalah dalam PRU 15.

Dari sudut amalan pentadbiran awam pula, apabila sebuah DUN tidak dibubarkan, ini bermaksud Kerajaan Negeri tetap ada, berfungsi seperti biasa. Tidak timbul istilah Kerajaan Caretaker.

Dibimbangi, seandainya DUN-DUN Kerajaan PH ikut serta bubar, Kerajaan UMNO-BN yang menguasai Putrajaya akan mengambil peluang menguasai serta memonopoli lojistik dan penjawat awam sewaktu PRU 15 sedang dijalankan. Tegasnya masih wujud elemen semak dan imbang dalam urusan pentadbiran harian kerajaan.

Apabila terdapat 10 DUN dalam Malaysia tidak dibubarkan, benar-benarlah berlaku PRU 15 adalah untuk membetulkan kesilapan dan pengkhianatan yang telah terjadi ekoran daripada Langkah Sheraton.

Semua pengundi diminta memilih untuk mewujudkan sebuah Kerajaan di Putrajaya yang stabil dan kuat. Di mana sebelum ini telah terjadi kekalutan besar yang telah menimpa ekonomi, politik dan kesejahteraan rakyat apabila tumbangnya kerajaan yang telah dipilih oleh rakyat selepas 22 bulan PH memerintah. Pengkhianatan oleh politikus-politikus yang lebih mementingkan perut dan keluarga mereka tidak boleh diterima sama sekali. Pembetulan semula perlu dibuat melalui PRU 15.

Seluruh dunia telah mentertawakan Malaysia kerana kita telah mempunyai 3 orang Perdana Menteri dalam tempoh sekitar 4 tahun sahaja. Suatu rekod dunia .

Dari sudut strategi pilihanraya pula, PH lebih mudah untuk memberikan fokus terhadap pemilihan calon-calon parlimen sahaja tanpa memikirkan soal calon-calon ADUN. Supaya, setelah memenangi semula Putrajaya melalui mandat baru nanti akan memudahkan PH memasuki PRN-PRN pula. Ini adalah strategi terbaik.

Kesimpulannya, cukup jelas bahawa strategi dan perancangan DS Zahid Hamidi berkaitan PRU 15 ini sudah mengalami masaalah besar. Seandainya banjir besar benar-benar akan berlaku pada hari mengundi, rakyat akan terus marah dan menolak BN. Ramai berpendapat bahawa mengadakan PRU 15 waktu musim tengkujoh dan banjir adalah semata-mata untuk menyelamatkan kluster mahkamah yang sedang menghadapi tuduhan jenayah. Ucapan Presiden UMNO di majlis MIC baru-baru ini seolah-olah mengesahkan tujuan sebenar pembubaran Parlimen itu.

Perancangan yang nakal ini akan menjadi suatu kegagalan total kepada perancang nya. Kemungkinan besar DS Zahid Hamidi sendiri akan diminta untuk tidak bertanding sebelum hari Penamaan Calon. DS Zahid Hamidi sendiri menyatakan bahawa DS Ismail Sabri Yaakob adalah calon PM.

Pasca PRU 14, Tun Dr Mahathir telah menjadi Perdana Menteri selama 22 bulan. Seterusnya diikuti oleh 2 orang Perdana Menteri, TS Mahyuddin Yassin dan DS Ismail Sabri Yaakob. Ternyata kedua-dua mereka telah gagal dalam membangkitkan semula ekonomi dan kestabilan politik Malaysia.

Sewajarnya DS Anwar Ibrahim daripada PH diberikan peluang untuk menjadi Perdana Menteri seterusnya. DS Anwar tentulah mempunyai banyak idea, lebih bersemangat serta telah dikenali oleh dunia luar untuk membawa Malaysia ke era yang lebih baik. Pengalaman DSAI sebagai mantan Timbalan Perdana Menteri, ahli kabinet dan hubungan luarnya dengan ramai tokoh-tokoh dunia adalah kriteria yang cukup penting serta sukar dinafikan.

Sama-samalah kita berharap agar semuanya akan berakhir dengan kebaikan kepada rakyat Malaysia. Semoga Malaysia akan terus maju dan makmor di bawah suatu Kerajaan yang lebih baik, berintergriti, cekap, telus, amanah dan dihormati oleh dunia. Semua rakyat sudah lelah serta mual melihat permainan politik pengkhianatan sejak akhir-akhir ini.

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan