Presiden Pas, Datuk Seri Abdu Hadi Awang dinasihatkan untuk lebih mengetengahkan masalah inflasi dan kos sara hidup rakyat dalam kempen mereka, berbanding terus menerus menggunakan naratif kebencian dan perkauman untuk menyerang parti lain.
Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Lim Lip Eng berkata, DAP sedia menerima kritikan membina dan berdebat dengan mana-mana pihak tentang apa jua isu dilempar terhadap parti itu, namun serangan yang disasarkan Pas terhadap mereka jarang sekali mempunyai kritikan membina.
Sebaliknya beliau berkata, Pas sebagai parti yang sudah dua tahun berada di dalam kerajaan, banyak membazirkan masa untuk membangkitkan isu kaum dan agama tetapi tidak melakukan penambahbaikan di negeri yang diterajui mereka.
“Adalah lebih baik untuk Abdul Hadi Awang lebih cakna akan masalah-masalah rakyat seperti masalah inflasi, kos sara hidup yang meninggi dan macam-macam lagi.
“Buat ketika ini, Presiden Pas dilihat tidak cekap menjalankan tugas kerana sering dilihat ponteng sidang Parlimen dan hanya mengerahkan masa dan tenaga untuk isu-isu berkaitan kaum dan agama,” katanya dalam kenyataan kepada Malaysia Dateline.
Lim berkata, sejak pembubaran Parlimen, sudah tiga kali Hadi Awang menabur fitnah mengatakan DAP sebuah parti yang berkait rapat dengan parti komunis dan sebuah parti yang menolak insitusi raja berpelembagaan di Malaysia.
Namun apabila beliau dicabar untuk melakukan laporan polis berkenaan kenyataan yang dikeluarkan, sehingga hari ini beliau diam membisu, kata Lim.
Lim juga mengingatkan Hadi, memandangkan Pas sudah menjadi kerajaan persekutuan dua tahun yang lepas, rakyat sepatutnya dapat melihat perkembangan dan kemajuan terutamanya di negeri Kelantan dan Terengganu.
Adalah lebih baik jika segala usaha dan tenaga digembleng bagi membaiki kepincangan kepimpinan dan pentadbiran Pas, dan bukan disalurkan tenaga dan usaha tersebut dengan melemparkan kata-kata benci kepada pihak lawan, katanya.
“Parti DAP sangat mengalu-alukan kritikan yang membina, dan sedia berdiskusi malahan berdebat dengan mana-mana pihak yang berminat untuk mengetahui visi dan misi parti ini secara mendalam.
“Namun jikalau dilihat kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh Pas, sering kali naratif sama digunakan, dan jarang sekali kritikan membina diberikan.
“Pas sebagai sebuah parti politik yang sudah lama penubuhannya, adakah ini rancangan jangka panjang untuk memenangi hati rakyat? Adakah kebencian dan dusta terhadap parti DAP manifesto utama Pas?,” soal Lim.
0 comments:
Catat Ulasan