Yang dipilih, tidak dipilih, dan digugurkan


Oleh Mohsin Abdullah 

Bagi yang digugurkan atau tidak dipilih, barisan calon PRU15 pilihan pucuk pimpinan parti ialah orang yang sehaluan atau ‘sebulu’ dengan presiden khususnya. “All the president’s men,” dakwa mereka. Secara sinis, kata mereka, “boys and girls of the president”.

Tersingkirnya mereka kononnya kerana dikaitkan dengan seteru presiden, atau ada hubungan rapat dengan kumpulan dalaman yang anti-presiden serta anti-pucuk pimpinan.

Bagi kumpulan yang terpilih sebagai calon, langkah parti menyingkir orang lama ialah bagi menyuntik ‘nafas segar’ kepada parti dan mengemukakan muka baharu bagi memikat hati pengundi, yang kali ini akan terdiri ramai orang muda.

Rata-rata begitulah senarionya membabitkan hampir semua parti politik apabila barisan calon PRU15 masing-masing diumumkan. Sama ada BN, PH, PN, GPS dan banyak lagi.

Mungkin ada benarnya pendapat kedua-dua kumpulan. Lihat senario pertama – secara sengaja, dirancang atau kebetulan, ada individu yang tidak dipilih oleh presiden dan rakan-rakan terdiri daripada golongan yang tidak ‘sebulu’ dengan presiden, pernah menyerang presiden secara terbuka, tidak sehaluan dengan langkah yang diumumkan pucuk pimpinan, dan juga pernah berbaik atau menganggotai kumpulan dalam parti yang menentang presiden and kumpulannya.

Jika penyingkiran mereka sememangya dirancang tidaklah memeranjatkan. Sesiapa pun yang mengetuai parti memerlukan orang yang sehaluan atau “sekepala” dengannya dalam parti, di samping mahu dikelilingi orang yang setia.

Ini kata mereka demi perpaduan, keutuhan, dan kekuatan parti. Sesebuah parti tidak boleh ada kumpulan penentang dalam kalangan mereka yang akan menjejaskan kekuatan parti. Setuju atau tidak terpulang tetapi ada betul apa yang dikatakan kerana perpaduan elemen penting untuk parti. Tak kira lah parti apa pun.

Lihat pula senario kedua – muka baharu boleh menyuntik semangat baharu serta beri nafas baharu kepada parti. Sesebuah parti mesti terus melalui penjenamaan semula dan bergerak maju. Tidak boleh statik dan kaku. Oleh itu pemilihan calon baharu dilihat wajar. Yang lama diganti dengan oleh yang baharu.

Namun berdasarkan senarai calon yang diumumkan pucuk pimpinan parti masing-masing, calon baharu bukan bererti calon muda. Ada yang agak berusia tetapi dipilih untuk bertanding buat kali pertama – lantas ‘calon baharu’.

Tentu pemilihan mereka berdasarkan kriteria tertentu yang saya sebagai orang luar parti tidak perlu pertikaikan. Tetapi diakui ada calon berusia muda yang dipilih. Namun ada juga calon veteran yang masih mendapat kepercayaan untuk bertanding sekali gus memikul cabaran meraih kemenangan.

Hakikatnya, pada hemat saya, parti mahu mengemukakan barisan seimbang. Ada orang lama dan ada orang baharu untuk memastikan kesinambungan dan memberi nafas baharu sekali gus. Formula yang mereka yakin boleh mengukir kejayaan.

Apa pun, kita saksikan sekarang ada keretakan dan persengketaan berlaku dalam parti akibat beberapa orang lama tidak terpilih. Dalam erti kata lain, disingkirkan.

Bak kata wartawan veteran A Kadir Jasin: “Ada yang kecewa kerana tidak dicalonkan. Lagi teruklah jika digugurkan. Lagi-lagi kalau yang kena gugur itu menteri dan timbalan menteri dan baru saja bagi kontrak berbilion-bilion ringgit.”

Mereka dilihat oleh penyokong sebagai calon yang masih boleh menang walaupun sudah melalui banyak pilihan raya umum. Mereka sendiri yakin mereka “winnable candidate”.

Lantas berlaku protes dan sebagainya. Keadaan begitu ketara dalam kalangan ahli Umno berbanding parti lain. Contohnya, ada pemimpin Umno yang gugur mengumumkan akan bertanding juga di kawasan lama mewakili parti lain menentang BN. Tidak perlu sebut nama kerana ramai tahu siapa.

Pasti ada lagi pemimpin yang tidak dipilih akan mengambil langkah sama. Perhatikan sahaja apa akan terjadi esok apabila penamaan calon PRU15 berlangsung.

Setakat ini ada penyokong pemimpin Umno yang tidak dipilih bertindak menutup pos dan bilik gerakan, turunkan bendera, dan membidas presiden melalui video dan sebagainya untuk dimuatkan di pelbagai platform media sosial.

Seperti dikatakan tadi tidak puas hati bukan sahaja dirasai dalam kalangan Umno. Ia ada juga dalam parti lain tetapi tidak disuarakan secara lantang dan tidak ada ‘pemberontakan’ terbuka seperti yang dilakukan orang Umno yang marah dan kecewa.

Namun langkah yang diambil pucuk pimpinan parti politik tentunya dibuat setelah mengambil kira semua kemungkinan. Saya percaya pimpinan tahu atau sudah menjangka tindak balas golongan yang tidak dipilih serta penyokong masing-masing.

Tetapi mereka lakukan juga. Mungkin mereka tahu protes dan sebagainya tidak akan menjejas prestasi calon baharu pilihan mereka. Apatah lagi parti keseluruhannya.

Pasti langkah yang diambil berdasarkan maklum balas yang diperolehi daripada akar umbi, penduduk setempat, dan berpandu hasil kaji selidik serta data yang dikaup pakar dan penyelidik berpengalaman.

Apa pun, tidak ada formula 100% “foolproof”. Mungkin apa yang dirancang berjaya. Mungkin juga langkah pucuk pimpinan terutama presiden parti akan membawa kegagalan. Memang ada risiko dan itulah yang orang politik berani hadapi.

Cuma risiko mestilah yang sudah terhitung. Membabi buta ibarat membunuh diri.

 

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan