Anwar berlepas ke Turkiye beri sokongan moral kepada presiden

 


SEPANG - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berlepas ke Turkiye malam ini bagi menyatakan sokongan moral kepada Presiden, Reccep Tayyip Erdogan dan rakyat negara itu yang dilanda gempa bumi awal minggu lepas sehingga mengorbankan puluhan ribu nyawa.

Pesawat khas yang membawa Anwar berlepas kira-kira jam 11.15 malam dari Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.

Sebelum berlepas, Penasihat Agama kepada Perdana Menteri Zamri Zainal Abidin membacakan doa bagi memohon keselamatan delegasi Anwar ke Turkiye.

Lawatan sehari Anwar itu turut disertai Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Amrizan Mohd Ali.

Anwar membuat keputusan untuk mengadakan lawatan mengejut itu atas dasar persahabatan dan permintaan Erdogan yang telah dua kali menghubunginya meminta beliau ke Turkiye.

Perdana Menteri dijangka tiba di Gaziantep pada 7.30 pagi esok (waktu tempatan) untuk meninjau lokasi bencana dan bertemu Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) sebelum berlepas ke Ankara bagi mengadakan pertemuan dengan Erdogan.Beliau dijangka berlepas pulang ke tanah air pada jam 2 petang (waktu tempatan) dan tiba pada 7 pagi Khamis (waktu Malaysia) sebelum menghadiri sidang Dewan Rakyat di Parlimen dan menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mesyuarat pra-Kabinet.

Pada 11 Februari lepas, Anwar telah berhubung dengan Erdogan sejurus tiba daripada lawatan rasmi di Bangkok, Thailand bagi menyampaikan ucapan takziah serta doa atas kejadian bencana itu.

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan