KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cadangan membolehkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membuat pinjaman menggunakan wang caruman sebagai cagaran kepada bank sudah dirujuk kepada Peguam Negara.
Perdana Menteri menjelaskan, hasil rujukan itu mendapati tiada percanggahan membabitkan Seksyen 51 Akta KWSP 1991.
Katanya, pemberian dividen terhadap peminjam kaedah itu akan diteruskan, sekali gus risiko dalam aspek terbabit sangat minimum.
"Dari sudut jaminan kepentingan peminjam, dividen akan diteruskan walaupun beri cagaran contohnya RM50,000 sebagai pinjaman.
"Dividen diberi sepenuhnya mengikut kumpulan asal dan tidak dipotong, maka KWSP berasakan dalam beberapa tahun pulangan dapat diperoleh.
"Kalau sejumlah kecil yang gagal membayar tidak memberi kesan parah kerana jumlah induk dan dividen sudah ditambah, jadi kalau berlaku potongan mungkin dari sudut dividen.
"Risiko itu sangat minimum," katanya pada Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Muslimin Yahaya (PN-Sungai Besar) berhubung pandangan pinjaman bercagar KWSP melanggar Seksyen 51 Akta KWSP.
Pada 11 Mac lalu, Anwar berkata, langkah membenarkan ahli KWSP menggunakan caruman mereka sebagai cagaran pinjaman peribadi tidak bercanggah dengan Akta KWSP 1991.
Perkara itu juga sudah dibincang dan diperhalusi bersama pihak KWSP sebelum kaedah itu diumumkan di Dewan Rakyat pada 24 Februari.
Jelasnya, kebenaran kepada pencarum menggunakan wang simpanan KWSP sebagai cagaran bank adalah bagi mereka yang mempunyai wang caruman yang besar, namun berhadapan kesulitan.
"Kita tidak benarkan orang ramai keluarkan caruman KWSP lagi kerana ini bukan waktu COVID-19 lagi, mereka boleh kerja, tetapi ada beberapa kes mendesak dimaklumkan kepada kita.
"Umpamanya dia ada wang, tetapi tak dapat bayar yuran pendidikan anak di luar negara dan kita tak benar keluarkan KWSP, jadi boleh guna kaedah itu tetapi dengan syarat yang ketat," katanya.
0 comments:
Catat Ulasan