Sumber SPRM: Cukup bukti untuk dakwa kes beri wang kepada pengundi Marang


SPRM mempunyai bukti yang mencukupi untuk membawa pertuduhan terhadap seorang ahli PAS seperti yang dipaparkan dalam rakaman video ketika menyerahkan wang tunai kepada pengundi di Marang semasa pilihan raya umum lalu.

Menurut sumber yang rapat dengan kes itu, penyiasat telah membuat temu bual dengan saksi kejadian dan akan mencadangkan tuduhan rasuah kepada pendakwa raya tidak lama lagi.

Mereka sedang menyiapkan satu bahagian terakhir sebelum melengkapkan siasatan, kata seorang pegawai kanan SPRM, yang membabitkan permintaan formaliti untuk mendapatkan beberapa dokumen rasmi daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“SPRM perlu mendapatkan dokumen pendaftaran pemilih daripada SPR, yang perlu kita mohon melalui mahkamah.

“Apabila kita mendapat dokumen dan merekodkan beberapa lagi kenyataan, maka kertas siasatan akan dihantar semula kepada Jabatan Peguam Negara untuk keputusan mereka.

"SPRM akan mencadangkan kepada AGC untuk mengenakan tuduhan rasuah terhadap individu yang memberikan wang tunai itu (kepada pengundi)," kata sumber berkenaan yang bercakap kepada Malaysiakini dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan.

Menurut sumber SPRM itu, penyiasat telah menyoal beberapa saksi, termasuk kira-kira 90 pengundi yang didakwa telah menerima bayaran daripada PAS untuk mengundi calon parti tersebut.

Daripada siasatan SPRM, pegawai penyiasat dikatakan menemui unsur rasuah yang jelas dalam kejadian itu.

"Terdapat unsur-unsur rasuah, seperti yang dapat dilihat dengan jelas daripada video yang tular," kata sumber lagi.

Di sebalik dakwaan pembabitan parti dan kawasan pilihan raya itu, Malaysiakini difahamkan bahawa pertuduhan dan siasatan tertumpu semata-mata kepada mereka yang memberi rasuah, dan bukannya ahli Parlimen Marang Abdul Hadi Awang.

Selepas berakhirnya PRU15 pada November lalu, timbul dakwaan di media sosial bahawa PAS telah menyogok pengundi.

Dalam salah satu video tular, beberapa individu kedengaran bersumpah di hadapan seorang yang didakwa ahli PAS, mengatakan bahawa mereka telah mengundi parti itu, sebelum bayaran wang tunai dibuat.

Satu lagi video tular menunjukkan orang ramai menunggu di hadapan sebuah bangunan untuk mengambil bayaran daripada PAS selepas selesai  mengundi.

Bagaimanapun, Pengarah pilihan raya PAS Muhammad Sanusi Md Nor segera menafikan perkara itu dengan mendakwa ia hanya helah parti pesaing untuk memburuk-burukkan PAS dan parti Islam itu tidak mempunyai dana untuk membayar pengundi.

Bulan lalu, Malaysiakini melaporkan bahawa siasatan SPRM telah mengenal pasti sehingga 90 individu yang didakwa menerima wang tunai di Terengganu untuk mengundi sebuah parti.

Suruhanjaya itu dilaporkan berjaya mengenal pasti penerima wang tunai daripada dokumen yang mereka rampas semasa siasatan.

Ia termasuk dokumen yang perlu ditandatangani oleh penerima apabila mereka menerima bayaran, selain perlu mengangkat sumpah.

Dakwaan pembelian undi itu menjadi subjek petisyen pilihan raya untuk membatalkan keputusan pengundian di Marang.

Mahkamah Pilihan Raya Terengganu telah menolak bantahan awal Hadi bagi menolak petisyen pilihan raya difailkan calon Barisan Nasional (BN) Jasmira Othman untuk membatalkan kemenangannya.

 

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan