Reformasi SPR harus bermula dengan peletakan jawatan Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah

Oleh SHAZNI MUNIR MOHD ITHNIN

Saya dibebaskan sekitar jam 3.45 petang tadi. 4 hari dalam tahanan lokap, termasuk hari tangkapan, serasanya saya telah berikan kerjasama yang terbaik kepada seluruh anggota polis yang terlibat. Terima kasih kepada peguam, keluarga serta rakan-rakan yang bersolidariti. Tidak lupa juga buat anggota polis yang mengejutkan saya sahur dan memaklumkan masuknya waktu solat, moga kalian diberikan ganjaran pahala sebesar-besarnya.

2. Saya ditahan berkenaan protes di depan Suruhanjaya Pilihanraya tempoh hari. Pada hemat saya, ketika pengadil satu-satu perlawanan telah gagal memberikan keadilan kepada pasukan-pasukan yang bertanding, maka protes adalah jalannya - selepas ruang diplomasi menemui jalan buntu. Rantai pagar itu muncul setelah 3 kali pertemuan sebelum itu gagal menatijahkan hasil yang baik, bahkan Pengerusi SPR tidak muncul pun!

3. Jika SPR berkeadaan begini, saya merasakan bahawa SPR akan jadi benteng terakhir untuk Najib Razak terus berkuasa. Pengerusi SPR yang sedari awal merupakan orang politik, sewajarnya tidak layak memegang jawatan tersebut. Reformasi SPR telah menjadi satu kewajipan pada ketika ini. Reformasi ini harus bermula dengan peletakan jawatan Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah dan melantik seorang pengerusi yang bebas daripada kecenderungan politik pemerintah.

4. Saya juga menyeru untuk seluruh rakyat meneliti setiap keputusan dan tindak-tanduk SPR dari semasa ke semasa. Peranan ini perlu dimainkan semua warganegara, tidak hanya parti-parti politik Pakatan Harapan. Penting kerana ia melibatkan hak paling berharga yang kita ada - undi. Hanya dengan undi dan sistem pilihanraya yang adil sahaja, kerajaan kleptokrasi boleh ditumbangkan.

5. Saya mungkin akan lalui proses mahkamah yang panjang selepas ini. Saya pun tidak pasti adakah saya akan kuat seperti hari ini, atau letih dan tidak bermaya. Dengan penuh takzim, saya memohon doa semua untuk dikuatkan iltizam saya dan seluruh anak muda Malaysia yang cintakan perubahan. Biar berputih tulang gerakkan perubahan, asalkan tidak berputih mata menyaksikan negara lebur di tangan pemimpin khianat.

SHAZNI MUNIR MOHD ITHNIN
Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan