Oleh
KENAPA Putrajaya masih membiarkan pendakwah Zamihan Mat Zin yang
diharamkan memberi kuliah di Selangor dan Johor mengendalikan program
pemulihan tahanan militan IS, soal Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR
Latheefa Koya.
Latheefa yang juga seorang peguam berkata pandangan ekstremis Zamihan
sudah diketahui umum, daripada isu dobi untuk Muslim saja sehingga
mengkritik surau di Pulau Pinang kerana membenarkan mangsa banjir bukan
Islam berlindung.
“Bagaimana seorang pendakwah yang diharamkan bercakap di Selangor dan
Johor dan menimbulkan begitu banyak kontroversi dengan melaga-lagakan
orang Islam dan bukan Islam masih diberikan akses kepada tahanan IS?
“Saya menggesa Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi untuk menilai
semula peranan Zamihan di penjara serta merta, terutamanya dengan
tahanan berkaitan IS,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Latheefa berkata memeranjatkan apabila Putrajaya masih membiarkan
Zamihan mendapat akses kepada golongan “paling ekstrem” iaitu militan IS
atau yang bersimpati kepada perjuangan kumpulan itu, selepas pelbagai
kontroversi ditimbulkan pendakwah berkenaan.
Dua hari lalu, menulis di akaun Facebook rasminya, Zamihan menceritakan pengalamannya selepas mengendalikan program bersama tahanan militan IS di Tapah, Perak.
“Alhamdulillah. Baru selesai sesi deradikalisasi bersama mereka yang
terlibat dengan kumpulan militan Daesh di Tapah. Sesi pencerahan
berfokus kepada: Jihad bahasa dan Istilah, ayat dan hadis jihad,
kronologi pensyariatan jihad, hukum jihad: fardu kifayah dan fardu ain,
syarat jihad menerusi kitab al-Iqna' dan isu al-Salab, al-Faei,
al-Ghanimah, peranan pemerintah, askar dan polis dlm negara Islam dan
lain-lain.
“Sesi berjalan dengan ceria dan rancak tanpa henti selama empat jam
lebih sambil melayan semua soalan yang dibangkitkan. Semoga Allah
memberi taufik dan hidayahnya kepada kita semua atas perkara yang
disukai lagi diredainya. Saksikanlah Ya Allah, aku telah membimbing
mereka,” tulis Zamihan.
Sebelum ini, Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
Maszlee Malik berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) wajar membentangkan
laporan yang telus mengenai program pemulihan itu kerana pemikiran
Zamihan dilihat berisiko menjejaskan keharmonian dan perpaduan kaum di
Malaysia.
Katanya, masyarakat wajar berasa bimbang dan mendesak laporan itu
kerana Zamihan menunjukkan aliran pemikiran yang menyebar rasa kebencian
dalam kalangan orang Islam terhadap orang bukan Melayu dan Islam.
Beliau berkata program pemulihan yang baik yang dibuat oleh kerajaan itu jangan nanti jadi seperti "terlepas dari mulut buaya, masuk pula ke mulut harimau”.
Zamihan sebelum ini ditahan reman dua hari bagi membantu siasatan
mengikut Akta Hasutan 1948 kerana kenyataannya yang didakwa mengkritik
Sultan Johor berhubung titah mengenai kedai dobi layan diri untuk Muslim
saja.
Dalam kuliahnya di Masjid Tengku Ampuan Jemaah di Shah Alam bulan
lalu, Zamihan turut membuat kenyataan yang dianggap menghina kaum Cina.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Nur Jazlan Mohamed pada 13 Oktober lalu
memberitahu , KDN akan mengkaji kedudukan Zamihan
dalam program pemulihan itu-/TMI
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan