Oleh
UMNO tidak akan menjatuhkan presidennya Najib Razak, yang berdepan
pelbagai dakwaan berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB),
sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) walaupun populariti beliau
rendah dalam kalangan rakyat, kata penganalisis.
Namun jika Barisan Nasional (BN) menang tipis pada PRU nanti, yang
perlu diadakan sebelum Ogos tahun depan, ahli Umno akan memberikan
tekanan kepada Najib untuk letak jawatan sebagai perdana menteri dan
menolaknya pada pemilihan parti itu yang dijadualkan selepas PRU14.
"Hanya dalam dua keadaan saja Najib boleh jatuh .
Apabila BN menang tipis, lebih kecil daripada kemenangan yang dicapai
Pak Lah (Abdullah Badawi) sebelum ini (2008) atau BN kalah dan hilang
Putrajaya," kata Hisomuddin Bakar, pengkaji politik dari Ilham Centre.
Katanya, mengharapkan Umno menukar Najib sebelum PRU14 untuk
membolehkan mereka mengekalkan Putrajaya tidak akan berlaku dalam sistem
parti itu.
Kajian akhbar Oriental Daily News baru-baru ini mendapati sokongan
masyarakat Cina terhadap Najib kini amat rendah iaitu 3.8% saja manakala
timbalannya, Ahmad Zahid Hamidi hanya dapat 0.74% sokongan.
Pengundi Cina lebih berminat dengan Hishammuddin Hussein (19.69%) dan
Khairy Jamaluddin (12.15%) manakala 63.61% menolak semua keempat-empat
nama ini.
"Mereka tidak akan tiba-tiba pilih Hishammuddin kerana sokongan
kepadanya lebih tinggi. Najib pula akan pastikan beliau kekal berkuasa
kerana kehilangan kuasa satu malapetaka kepadanya,” kata Hisomuddin.
Umno menangguhkan pemilihan parti yang sepatutnya diadakan sebelum
Oktober tahun ini kepada 18 bulan sehingga April tahun depan.
Berdasarkan senario semasa, Umno dijangkakan akan mengumumkan
penangguhan sekali lagi sehingga selepas PRU14, yang mesti diadakan
sebelum Ogos 2017.
Pandangan Hisomuddin disokong oleh pensyarah kanan kajian dasar
Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Mazlan Ali, yang berkata Umno
tidak sedia mengambil risiko perebutan kuasa dalaman sekiranya Najib
disingkirkan sebelum PRU.
"Ahli Umno yang tidak setuju dengan Najib akan tinggalkan parti itu,
bukannya jatuhkan Najib menerusi sistem atau tatacara dalam Umno.
"Ia boleh dilihat dengan kewujudan Bersatu sekarang ini. Mereka sedar
mereka tidak boleh lawan Najib dalam Umno, mereka keluar dan tubuh
parti baharu," kata Mazlan kepada The Malaysian Insight.
Beliau berkata kewujudan Bersatu adalah manifestasi tidak puas hati
ahli Umno kepada Najib, bukan kerana perebutan kuasa sebagaimana ketika
penubuhan PKR yang diketuai oleh Anwar Ibrahim pada 1999.
Tiga penjuru
Hisomuddin berkata Umno sekarang yakin akan menang besar pada PRU14
dan mendapat kembali kuasa dua pertiga di Parlimen jika berlakunya
pertandingan tiga penjuru.
"Bagi saya, dengan sikap PAS sekarang (yang kekal bersendirian) sudah
hampir pasti pertandingan tiga penjuru akan berlaku. Dan inilah
sebenarnya strategi Umno sebelum ini, memastikan PAS masuk pilihan raya
dengan tiga penjuru kerana dengan cara inilah Umno akan kekal berkuasa,"
katanya.
PAS kini muncul sebagai blok politik ketiga apabila membentuk
kerjasama dengan parti-parti kecil dan pertubuhan masyarakat berasaskan
Islam, atas nama Gagasan Sejahtera.
Hisomuddin berkata jika pengkaji membuat kajian lapangan sekarang ini
pun mereka akan dapati pengundi yakin jika pertandingan tiga penjuru,
BN akan menang kembali dua pertiga di Parlimen.
"Itu jawapan yang kita boleh jangka kerana media sudah memainkan
berita ini, jika tiga penjuru BN menang. Responden hanya akan
mengukuhkan persepsi yang sudah ditanam ini walaupun tanggapan itu tidak
semestinya betul," katanya.
Berdasarkan kajian lapangan yang dijalankannya di kawasan Parlimen
Kuala Selangor, akar umbi Umno memang sedar Najib menjadi beban kepada
Umno sekarang, tetapi mereka tidak ada pilihan lain.
"Tidak ada ahli Umno yang boleh mempertahankan skandal 1MDB kecuali
dua tiga kerat pemimpin di atas. Tidak ada ahli Umno yang boleh
mempertahankan Najib apabila dihadapkan isu ini kepada mereka bahawa
Najib bersalah.
"Apa yang mereka buat sekarang adalah 'bertahan'," kata Hisomuddin yang membuat kajian lapangan di Kuala Selangor bulan lalu.
Dalam tinjauan Oriental Daily News, 84.15% responden berkata, mereka mahu melihat pertukaran kerajaan berlaku pada PRU14 nanti.
Hanya 6.4% saja mahu kekalkan status quo (kekalkan kerajaan BN) dan 4.09% mahukan BN menang dua pertiga majoriti.
Hisomuddin berkata dapatan kajian itu mengukuhkan kempen DAP bahawa
tsunami Melayu akan berlaku pada PRU nanti selepas Dr Mahathir Mohamad
menyertai pakatan pembangkang.
Katanya, tsunami Cina menolak BN berlaku dalam dua PRU lalu namun undi Melayu kekal berbelah bagi.
"Apabila Cina merasa tsunami Melayu akan berlaku, maka mereka akan
bersemangat kembali untuk menyokong perubahan di negara ini," katanya.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan