Oleh Nasir Mustafa
Keputusan 4-0
untuk dua pilihanraya umum berturut-turut (PRU 12 dan 13) membuktikan
bahawa Kuala Kedah bukanlah tanah yang subur bagi Umno/BN.
Zaman
RTM dan TV3 mendominasi dunia maklumat sudah berlalu. Sekarang zaman ICT
di mana kebanyakan pengundi di Kuala Kedah boleh mengakses maklumat di
hujung jari.
Rakyat tahu isu kleptokrasi Najib, skandal 1MDB, RM2.6 billion, penjajahlaburan China dan sebagainya.
Rakyat merasai detik kepayahan berada di zaman Najib; kenaikan harga
barangan dan perkhidmatan, kenaikan input pertanian, beban GST,
kemelesetan ekonomi, penutupan kilang, kehilangan pekerjaan, kejatuhan
nilai Ringgit serta 1001 duka nestapa ekonomi dan politik di zaman
Najib.
Sukarnya Najib kerana mentadbir kerajaan di zaman rakyat
semakin cerdik. Secara purata, hampir setiap rumah di Kuala Kedah
mempunyai seorang lulusan institusi pengajian tinggi. Apabila rakyat
"tahu dan merasai" ia menjadi satu malapetaka buat Najib, Umno dan BN.
Situasi lebih diburukkan apabila tokoh yang dianggap menjuarai
penentangan terhadap Najib dan Umno/BN ialah Tun Dr Mahathir yang
dahulunya begitu disanjung oleh rakyat Kedah.
Ramai orang Umno
yang mengikut jejak Tun Mahathir. Ada seorang AJK Umno Bahagian Kuala
Kedah memberitahu saya bahawa lebih separuh AJK Umno Bahagian yang tidak
akan mengundi BN pada PRU14. Saya tidaklah mudah untuk mempercayai
kata-kata pesaing politik. Mungkin muslihat supaya pembangkang 'syok
sendiri' lalu jadi leka dan lalai. Cuma ingin juga saya beritahu bahawa
secara kebetulan (mungkin) apa yang diberitahu oleh orang Umno tertentu
kepada saya pada PRU 12 dan 13; itulah yang diterjemahkan pada peti
undi. Seringkali rakan-rakan Umno'jujur' dalam mendedahkan kelemahan
sendiri.
BR1M dan warna-warni Bajet 2018 untuk membeli hati
rakyat tampaknya tidak sangat berkesan. Rakyat menerimanya dalam keadaan
sedar bahawa itu semua dedak dan umpan!
Seperti beberapa PRU
yang lalu, BN cuba memanipulasi persempadan semula pilihanraya untuk
mencari jalan mudah menambah undi pukal. BN buntu juga kerana undi Cina
masih belum lari dari pembangkang. Mana mungkin melonggokkan Cina hanya
dalam satu kawasan mengundi sedangkan mereka bertebaran di seluruh
negeri.
Hanya satu peluang terbaik bagi BN untuk menawan empat
kerusi Kuala Kedah, merampas kembali lain-lain kerusi di Negeri Kedah
seterusnya kembali berkuasa; iaitulah memecahbelahkan perpaduan
pembangkang. Ya, itulah satu-satunya cara dan cara yang satu itulah yang
giat diusahakan oleh Umno/BN dengan penuh istiqomah.
Akibat
pergeseran dalaman pembangkang timbullah pemimpin masyarakat yang
berjuang untuk kepentingan diri cuba menangguk di air yang keruh.
Jawatan menjadi platform menjana kewangan.
Umno/BN menghidu
semua kelemahan lawan mereka. Bermula dengan perbezaan pendapat, usaha
dibuat untuk meretak dan memecahbelah pembangkang sehingga akhirnya
masing-masing menjadi seteru tegar antara satu sama lain; melampaui
perseteruan terhadap musuh tradisi pengamal kleptokrasi itu sendiri,
iaitu Umno/BN.
Tidak sukar untuk meneliti senario politik Kuala
Kedah atau di mana-mana jua pun. Demokrasi ialah seni perhitungan angka.
Lebih satu undi pun, dia adalah pemenang. Dalam situasi Pakatan Rakyat
berhadapan satu lawan satu dengan BN pun, sangat getir cabarannya.
Menang 4-0 di Kuala Kedah tetapi tersungkur di Kedah. Inikan pula jika
pembangkang berpecah kepada dua gagasan untuk berhadapan dengan BN.
Di saat Umno sedang bergelut dalam nafas nazak, mahukah pembangkang
terus menjuah ego masing-masing hingga menghampakan harapan majoriti
rakyat yang mahu menamatkan riwayat Umno/BN?
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan