Laskar siber politik sedang bertempur

Oleh Zin Mahmud

Minggu lalu, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak menyatakan perang siber antara pihaknya dan pembangkang telah lama bermula untuk pilihan raya umum (PRU) ke-14.
Tidak lama dahulu, dilaporkan laskar siber (cybertroopers) Umno diseru melancarkan serangan ke atas Pakatan Harapan (PH). Mereka diseru supaya “attack, attack, attack” (serang, serang, serang).

Acara himpunan aktivis media sosial pro-BN ini adalah untuk mengingatkan dan menaikkan semangat laskar siber supaya meningkatkan lagi usaha menyerang pihak lawannya. Di samping itu, ia menjadi cara untuk menggerunkan pihak pembangkang mengenai kekuatan angkatan siber BN yang memperoleh dana besar untuk tugasan mereka.

Juga tidak lama dulu, ada laporan menyatakan bahawa Pemangku Timbalan Presiden Umno ,Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyeru laskar siber yang berjuang bagi partinya supaya tidak berbalah sesama sendiri, tetapi sebaliknya memberi fokus kepada sasaran mereka.

Perang siber di Malaysia sudah menjadi komponen penting dalam politik negara ini. Ia merupakan fenomena yang luas dan kompleks serta memerlukan penyelidikan akademik untuk memahaminya.

Namun bagi pemerhati awam, ia mungkin dapat ditinjau dari satu sisi yang dialaminya sendiri.
Perbandingan juga boleh dibuat dengan apa yang berlaku di luar negara, umpamanya perang siber dalam politik Amerika Syarikat dengan Presiden Donald Trump menggunakan akaun Twitter dan konsep berita palsu (fake news) yang dilemparkan pada seterunya.

Tetapi dalam pemerhatian penulis yang terhad, iaitu tumpuan hanya pada apa yang dilihat pada Facebook, perang siber sedang berlaku dengan rancak, ia bukan saja lama bermula tetapi berlangsung sejak selepas PRU ke-13 pada 2013 lagi. Malah jika dilihat dari satu sudut, ia sentiasa berlangsung. Malah boleh dikatakan bahawa perang siber sebaik saja muncul ruang siber.

Ruang siber wujud sejak adanya Internet di Malaysia, iaitu dihitung bermula pada 1995 ketika era Tun Dr Mahathir Mohamad dan timbalannya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada masa itu, Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dan Gagasan Rakyat pimpinan Tengku Razaleigh Hazah masih ada. PRU tahun 1995 bagaimanapun belum menyaksikan adanya penggunaan Internet untuk tujuan politik. Dalam pilihan raya itu, APU menang semula di Kelantan, tetapi dengan kelebihan tipis. Gagasan juga tidak dapat bertapak. Parti Bersatu Sabah (PBS) telah meninggalkan Gagasan. DAP hanya mepertahankan kedudukannya, dan gagal memenangi Pulau Pinang walaupun kempennya bertemakan “Robocop” adalah agresif. Tengku Razaleigh berundur daripada jawatan ketua pembangkang, dan diserahkan semula kepada Setiausaha Agung DAP, Lim Kit Siang.

Dengan kemenangan cemerlang, Dr Mahathir memperkenalkan Wawasan 2020. Tetapi lebih penting lagi ialah kepercayaan beliau pada peranan Internet pada masa depan. Beliau menubuhkan Koridor Raya Multimedia dan juga bandar Cyberjaya di samping projek seperti Sekolah Bestari, Kad Pintar, Teleperubatan dan Kerajaan Elektronik.

Ketua pembangkang juga menyedari mengenai peranan besar masa depan Internet. Di samping turut bercakap mengenai Internet di Dewan Rakyat, Kit Siang turut menerbitkan buku mengenai fenomena baru itu. Sebagai parti memandang kepada kemajuan dengan lambang roketnya, DAP juga sedar mengenai potensi medan siber bagi pihak pembangkang.

Tak terdesak sertai perang siber

Setelah bertahun-tahun mengalami kesukaran untuk menyampaikan maklumat pada rakyat kerana media massa dikuasai BN baik melalui jentera kerajaan mahupun pemilikan parti, maka medan siber mula dikenal pasti sebagai ruang luas bagi sesiapa untuk menebarkan pengaruhnya.

Perlu diingat, kemenangan Umno, Perikatan dan BN dalam pilihan raya negara ini amat bergantung pada dominasi mereka terhadap penyaluran maklumat yang dilakukan melalui akhbar, majalah, radio dan televisyen. Tidak ada padang rata untuk pembangkang dalam medan media.

Akta Penerbitan dan Percetakan mengehadkan parti-parti pembangkang untuk menyalurkan hujah mereka kepada akhbar lidah rasmi yang hanya boleh dijual pada ahli.

Maka tidak hairanlah pihak pembangkanglah yang memulakan dulu penggunaan siber sebagai medan untuk melancarkan serangan maklumatnya. Ini kerana dengan menguasai media arus perdana, daripada akhbar, majalah hinggalah kepada radio dan televisyen, kerajaan serta Umno dan BN tidak berasa terdesak untuk memasuki medan siber. Lagipun pengguna Internet masih amat sedikit.

Namun krisis politik 1998 mendorong kepada bermulanya perang siber. Ia adalah berat sebelah. Pembangkang yang ketika itu dipenuhi dengan penyokong Anwar dan Reformasi mula menggunakan laman web untuk menyiarkan maklumat. Soal benar atau palsu bukan keutamaan.

Tetapi ia adalah serangan terhadap Dr Mahathir. Bagi mereka yang melalui zaman itu tentunya masih ingat mengenai laman web Mahazalim. Sementara portal berita politik pertama negara, Malaysiakini ditubuhkan pada 1999. Pihak BN ketinggalan dalam medan siber ini.

Tetapi pengguna Internet masih kecil dan tertumpu di Lembah Klang sementara media cetak dan elektronik yang dikuasai BN secara langsung atau tidak langsung masih menguasai minda rakyat.

 Pendokong Barisan Alternatif terpaksa mencetak kandungan laman web mereka untuk diedarkan pada orang ramai.

BN pimpinan Dr Mahathir dapat mengalahkan gelombang Reformasi pada 1999. Beliau meletak jawatan pada 2003 dan BN pimpinan Tun Dr Abdullah Ahmad Badawi menang besar. Medan siber masih belum memberi kesan pada politik.

Tetapi menjelang PRU 2008, blog mula memainkan peranan dalam medan politik. Blog pertama mula dicipta pada 1997 tetapi ia bertapak di Malaysia pada tahun 2003. Namun dalam medan politik, kesannya dapat dirasakan menjelang pilihan raya 2008.

Tentera siber, tuan berbeza

Pengguna Internet semakin ramai dengan perkhidmatan bertambah baik. Ternyata dalam PRU 2008, buat pertama kali BN kehilangan majoriti dua pertiga. Semua pihak mula sedar kepentingan medan siber dalam persaingan politik.

Kementerian Penerangan di bawah Datuk Shabery Cheek mengorak langkah dengan menghimpunkan bloger pro-kerajaan untuk berperanan di medan siber. Tetapi medan siber menjadi luas dengan mendadak apabila telefon pintar mula diperkenalkan di Malaysia sekitar 2009.

Penciptaan media sosial bermula dengan akaun Twitter memberi dimensi baru dalam politik siber. Himpunan Bersih banyak menggunakan Twitter tetapi Facebook mula memainkan peranan besar dalam politik medan siber. Ruangan komen dan kongsi turut memberi sumbangan. Kewartawanan warganegara mencabar media arus perdana. YouTube mengukuhkan lagi bahawa siber akan mengalahkan media tradisi.

Pakatan Rakyat yang menguasai Selangor dan Pulau Pinang mepunyai dana untuk menggunakan media siber. Komen dalam Internet boleh mencorakkan perdebatan politik.

Di pihak pembangkang, muncullah apa yang disebut sebagai Red Bean Army. Army itu tentera. Ini sememangnya suatu peperangan. Muncullah istilah keyboard warrior atau pejuang papan kekunci dan juga istilah cybertrooper yang menunjukkan pemain politik maklumat siber adalah seperti tentera.

Pada 2009, Abdullah meletak jawatan dan diganti Najib. Ternyata BN khususnya Umno mahu memenangi perang siber. Sasarannya adalah PRU ke-13. Beberapa portal berita dan kumpulan bloger pro-Umno ditubuhkan. Antaranya terdiri daripada bekas wartawan media arus perdana.

Melihat gaya hidup mereka, adalah dipercayai mereka memperolehi dana besar. Secara relatif, jauh lebih besar daripada apa yang diterima oleh wartawan akhbar. Dengan pihak BN bangkit di medan siber untuk menentang Pakatan Rakyat di medan siber, bukan saja perang siber bermula tetapi ia bertambah sengit.

Seperti dalam peperangan sebenar, tenteranya juga ada yang pelbagai jenis. Ada antaranya digerakkan di atas kepercayaan fahaman politik. Ada pula yang didorong atas minat dan kemahirannya. Antaranya pula ada yang bergaji seperti tentera biasa. Atau mendapat upahan mengikut kerja. Ada pula yang jenis sukarelawan. Tidak menerima sebarang bayaran.

Tidak kurang pula yang berbentuk tentera upahan. Mereka hanya bergerak menurut siapa yang membayar lebih. Bila mendapat bayaran yang tinggi daripada biasa, maka upah itu dipanggil dedak. Dan golongan ini diberi nama dedakians.

Tetapi laskar siber ini tidaklah bersatu, monolitik atau terkordinasi. Ada antara mereka mempunyai tuan berbeza walaupun dari parti yang sama. Maka tidak hairanlah mereka bergaduh sesama sendiri.

Saya ada menerima satu carta rangkaian mereka untuk dianalisis, tetapi tidak berninat untuk menyelidiknya. Namun saya percaya ia suatu fenomena menarik yang wajar dikaji oleh mereka yang berada dalam bidang sains sosial berkaitan.

* Zin Mahmud ialah bekas pengarang kanan Utusan Malaysia.
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan