Najib mahu Kedah kekal bawah BN

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mahu pimpinan Umno dan Barisan Nasional (BN) Kedah mengekalkan kemenangan di 10 parlimen sedia ada ketika ini dan merampas beberapa lagi kerusi parlimen lain dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Anggota Parlimen Jerlun yang juga timbalan menteri kewangan Datuk Othman Aziz berkata perkara itu dinyatakan presiden Umno tersebut dalam pertemuan tertutup bersama pimpinan parti negeri yang berlangsung selama sejam di sebuah hotel terkemuka di Alor Setar malam tadi.

Beliau berkata ia berikutan Kedah dilihat berpotensi untuk menambah mungkin dua atau tiga kerusi parlimen, selain peluang cerah untuk menang beberapa lagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Najib mahu Kedah menang sekurang-kurangnya dua pertiga kerusi pada PRU14,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pertemuan tersebut.

Sehubungan itu perdana menteri katanya dalam pertemuan tersebut meminta agar pimpinan Umno dan BN agar tidak berpecah dan sentiasa meletakkan parti di hadapan sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Othman berkata perdana menteri juga mahu jentera parti agar meningkatkan tahap perpaduan, kesiapsiagaan, kebersamaan dan semangat kerja berpasukan untuk melakar strategi yang betul.

“Beliau (Najib) mengharapkan semua pihak dari peringkat perhubungan bahagian dan sayap untuk menggerakkan jentera parti secara tersusun dan bekerja di luar kotak," katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno negeri, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata perdana menteri turut meminta anggota dan kepimpinan parti bersatu padu dan tidak melakukan kesilapan pada masa yang genting menjelang PRU ini.

"Kami yakin Kedah mampu menang, tetapi ada prasyarat yang semua ahli BN dan parti komponen lain perlu bersatu hati dan mengelak daripada berlakunya sebarang konflik dalaman," katanya.

Beliau berkata Najib juga memberitahu calon yang dimahukan untuk bertanding mestilah popular kalangan rakyat bagi membolehkan kepercayaan diperoleh.

"Calon-calon yang dimahukan mestilah popular dalam kalangan rakyat. Kalau popular di peringkat persekutuan tetapi tidak dengan rakyat negeri pun tidak boleh," katanya.
- Bernama

Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan