Pakatan Johor perlu lebih hati-hati

Oleh Mahdzir Ibrahim 

 PAKATAN Harapan (PH) Johor diharapkan agar tidak terlalu ghairah dalam berdepan dengan Barisan Nasional (BN) di Johor menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tidak berapa lama lagi.
Pendekatan “Gung Ho” dengan kempen popular boleh memberi kesan sebaliknya kerana sikap masyarakat Johor yang cukup berhati-hati dalam membuat pilihan.

Dalam beberapa kes yang melibatkan ketirisan, kecuaian dan kelemahan kerajaan negeri, rakyat dilihat masih tenang dan tidak gusar dengan prestasi lemah kerajaan BN pimpinan Khaled Nordin.

Isu seperti kos sara hidup daripada impak GST, masalah bekalan air bersih serta peluang pekerjaan, masih terus membelenggu hidup rakyat di Johor, namun rakyat masih belum menunjukkan tanda mahu melakukan perubahan radikal untuk menukar kerajaan negeri buat kali pertama dalam sejarah politik moden Johor.

Kes rasuah berprofil tinggi yang belum pernah berlaku di negeri Johor, yang turut melibatkan bekas kakitangan kerajaan negeri juga belum menunjukkan tanda rakyat bersedia untuk mendesak kerajaan melakukan reformasi yang lebih menyeluruh.

Sikap dan persepsi rakyat sebegini harus dipandang secara serius dan berhati-hati oleh pimpinan PH Johor agar dapat merumus pendekatan kempen yang lebih bijak dan berkesan.

Pada masa yang sama, BN Johor dilihat menumpukan kempen mereka kepada populariti menteri besar Johor walaupun rakyat tahu masalah kepimpinan di Johor begitu meruncing.

Penggantungan populariti Khaled oleh BN Johor mungkin memberi kelebihan kepada mereka, tetapi ia juga boleh menjadi sebaliknya jika PH bijak menukar kelebihan BN itu kepada peluang besar untuk PH Johor menukar kerajaan.

PH Johor harus lebih sensitif dalam memahami pemikiran politik rakyat dan kakitangan kerajaan negeri Johor. Saya percaya, rakyat dan kakitangan awam di negeri Johor adalah matang.
Dalam merangka tawaran manifesto dan perubahan dasar yang baru, sikap rakyat harus diambil kira. Kita tidak boleh menganggap, pemikiran kita lebih penting. PH Johor harus mengelakkan politik dalaman, menghindar konflik kepentingan peribadi atau kepartian.

Menerusi pendekatan politik yang lembut dan halus, ia boleh mencairkan persepsi negatif dan menukarnya menjadi satu keyakinan baru. Perubahan hanya akan berlaku apabila masanya telah tiba.
Sikap politik rakyat khususnya kaum Melayu adalah “ibarat api dalam sekam”, “diam-diam ubi berisi”.

Maka PH Johor harus bertindak “bagai menghela rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berserak”

* Mahdzir Ibrahim ialah pengarah pendidikan politik DAP Johor.
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan