Bahagian 1 : Mencari - Cari Faktor Utama Kekalahan PH Dalam Pru14 di Kelantan Dan Terengganu


Oleh HAYAR HASSAN

Hampir tiga minggu seusai berlalunya PRU 14, semua orang sudah tahu akan keputusannya. Seperti yang didambakan oleh majoriti rakyat Malaysia, pengundi-pengundi berdaftar seluruh Negara tercinta ini, memberikan mandat baru kepada Pakatan Harapan(PH) menerajui pentadbiran Putrajaya.
UMNO/BN hanya mampu bertahan di Perlis dan Pahang. Tanpa diduga PAS membuat kejutan kerana berjaya memenangi Dewan Undangan Negeri(DUN) Kelantan dan Terengganu. Pas juga mempunyai suara pembangkang yang kuat di DUN Kedah.'

Walau bagaimana pun, kejayaan PH mengambil alih tampok pemerintahan di Putrajya adalah sesuatu yang indah, terlalu berharga dan cukup signifikan. Sejarah telah dilakar bahawa selepas 61 tahun Negara ini merdeka, UMNO/BN yang begitu lama menerajui pemerintahan Negara telah dapat dikalahkan.

Rakyat menolak UMNO/BN adalah disebabkan kebobrokkan UMNO/BN menguruskan pentadbiran dan ekonomi Malaysia.

Tulisan ringkas saya kali ini adalah sekadar mencuba mencari-cari faktor-faktor kekalahan PH di Kelantan dan Terengganu. Dalam suasana kegembiraan kita merayakan kemenangan di Putrajaya, marilah kita sama-sama mencari jawapan akan persolaan kekalahan PH di Kelantan dan Terengganu supaya kita dapat membuat persediaan awal menjelang PRU 15.

Secara ringkasnya, saya berpendapat, faktor utama kekalahan PH di Kelantan dan Terengganu adalah berpunca kerana PH TIDAK DIKEPALAI OLEH TOKOH AGAMAWAN.

Memang sukar untuk dinafikan bahawa sentimen beragama di kalangan orang Melayu Islam di Kelantan dan Terengganu amat kuat. Budaya dan cara hidup seharian mereka adalah berakar umbi kepada amalan ritual beragama. Sebagai contoh, pada waktu ini, wanita-wanita Melayu Islam yang tidak bertudung adalah sukar ditemui di sana.

Wanita Melayu Islam yang tidak menutup aurat adalah suatu taboo ! Lelaki yang sudah berumur pula paling kurang akan memakai kopiah dan banyak yang lulusan pondok akan sering mengenakan serban. Penampilan luaran yang Islamik cukup sinonim dengan masyarakat Melayu Islam di Kelantan, Terengganu dan Kedah. Dikatakan juga negeri-negeri ini masih mempunyai banyak pondok tradisional dan Mahhad Tahfiz.

Pendek kata penampilan luaran yang Islamik cukup mewarnai kehidupan seharian orang Melayu Islam di tiga negeri ini. Oleh yang demikian golongan Ustaz dan lebai pondok yang sering kali memberikan kuliah, berkhutbah solat Jumaat, menjadi imam solat waktu, bilal, mengepalai tahlil, talkin, berzanji dan bacaan yasin menjadi golongan yang dihormati di kampong-kampong. Secara kebetulan pula mereka ini pimpinan PAS setempat atau pun cenderong menyokong PAS.

Tetapi kita menyedari juga bahawa bukan semua wanita yang bertudung dan menutup aurat itu tetap melakukan solat lima waktu secara konsisten. Jangan terperanjat kalau kita dapat berada dalam majlis khenduri kendara di kampong-kampong, kita akan dapati banyak daripada mereka gagal menjaga solat lima waktu.

Lelaki berkopiah dan berserban itu pula bukan semuanya menyertai solat berjamaah secara konsisten di masjid dan surau. Banyak daripada mereka kadang kala solat di akhir waktu. Ustaz-ustaz yang berkuliah pula bukanlah begitu tinggi ilmunya. Isi kuliah mereka yang kebanyakanya tidak berlandaskan dalil-dalil yang sohih dan bukan semua amalan mereka berdasarkan kepada Rasulullah SAW.

Namun demikian, realitinya pada waktu ini PAS di Kelantan dan Terengganu dikepalai oleh tokoh agamawan. Pesuruhjaya Pas Kelantan yang juga berjawatan Menteri Besar Kelantan adalah seorang agamawan. Begitu juga Pesuruhjaya Pas Terengganu adalah Presiden Pas.

Sebagai bandingan, Pengerusi PH Kelantan adalah Saudara Husam , lulusan ekonomi Universiti Malaya. Pengerusi PH Terengganu pula adalah Dato’ Raja Kamarul Bahrin, seorang arkitek bertauliah dan juga kerabat DiRaja Terengganu. Namun demikian kedua-duanya kalah dalam PRU 14 lalu.

Kemunculan Ustaz Nik Omar Nik Aziz(NONA), anakanda Almarhum Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat sebagai calon PH(Amanah) sehari sebelum hari penamaan calon PRU 14 adalah dikira terlalu lambat dan tidak dapat memberikan lonjakan kepada sokongan kepada PH.

Namun ianya bukan lah suatu yang sia-sia. Gandingan Saudara Husam dan NONA pastinya akan mampu melakar perubahan kepada keupayaan PH bertapak di Kelantan dalam beberapa tahun akan datang.

Majlis Presiden PH seharusnya memberikan tempat yang sewajarnya kepada beliau(NONA) mulai daripada sekarang seandainya PH mahu membuat penerobosan ke Kelantan menjelang PRU 15.

''Begitu juga dengan Terengganu, PH perlu memunculkan seorang tokoh agamawan yang setanding dengan Presiden PAS menerajui PH negeri Terengganu.

Tidak ketinggalan juga untuk PH dan Amanah Kedah. Mulai daripada sekarang, perlu lah dicari tokoh-tokoh agamawan yang boleh berganding dengan golongan professional untuk terus mengepalai pimpinan PH.

Semoga secebis penelitian ringkas ini dapat memberikan sedikit input terhadap PH, khususnya pimpinan Amanah dalam strategi menghadapi realiti kehendak pengundi-pengundi Melayu Islam,sesuai dengan slogan AMANAH itu membawa obor RAHMATAN LIL ALAMIN.














Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan