Ramai berang PH Perak terima bekas Adun Behrang

Oleh Arif Atan

Rata-rata penyokong Pakatan Harapan (PH) Perak berang apabila Bersatu negeri itu menerima penyertaan seorang bekas Adun yang mencetuskan krisis perlembagaan berkaitan Menteri Besar Perak pada 2009.

Kemasukan bekas Adun Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi dilihat sebagai membelakangi suara rakyat Perak bahkan dibimbangi menjejaskan kestabilan PH untuk penggal pentadbiran kali ini.

Sehubungan itu, banyak pihak di peringkat akar umbi menggesa pimpinan tertinggi PH nasional dan negeri menolak kemasukan Jamaluddin ke dalam gabungan parti tersebut.

Semalam, Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu menerima lebih 200 ahli Umno dari pelbagai Bahagian diketuai Adun Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin untuk menyertai Bersatu.

Sehubungan itu, Ketua Pemuda DAP, Wong Kah Woh secara terbuka menyuarakan rasa kecewa kerana Bersatu Perak menerima kemasukan Jamaluddin.

“Kita perlu mengingatkan diri kita PH bukan tong sampah untuk menerima dan menjaga mereka yang terbukti tanpa prinsip, maruah dan telah menjual kepercayaan rakyat untuk keuntungan peribadi,” dipetik daripada kenyataan beliau.

Sementara itu, bekas Ketua Pemuda AMANAH Perak, Mohd Fitri Asmuni berpendapat, individu tersebut tidak layak berada dalam PH.

Menurutnya, rakyat di Perak masih mengenali siapa Jamaluddin dan tidak sanggup lagi dikhianati buat kali kedua.

“Jangan sia-siakan pengorbanan rakyat Perak yang telah mengambil masa hampir 10 tahun untuk menumbangkan BN selepas kejatuhan kerajaan Pakatan Rakyat Perak pada tahun 2009 dulu,” dipetik daripada kenyataannya di Facebook beliau hari ini.

Pada PRU 2008, Perak antara negeri yang terlepas daripada BN selain Kedah, Pulau Pinang, Kelantan dan Selangor.

Walau bagaimanapun, BN merampas semula Perak pada Februari 2009 apabila Jamaluddin yang ketika itu Adun Behrang meninggalkan PKR selain bekas Adun Changkat Jering, Mohd Osman Jailu.

Turut menjadi Adun Bebas yang menyokong BN ketika itu ialah bekas Adun Jelapang, Hee Yit Foong dari DAP.

Kerajaan PH Perak pada masa ini dibentuk selepas dua wakil rakyat BN iaitu Zainol dan Adun Tualang Sekah, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi mengisytiharkan sokongan kepada Faizal, 12 Mei lalu.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan