Anwar akan bertanding di Parlimen Port Dickson

Akhirnya Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memilih untuk bertanding di kerusi Parlimen Port Dickson.

Dalam satu sidang media di ibupejabat PKR di Petaling Jaaya hari ini penyandang kerusi tersebut Datuk Danyal Balagopal Abdullah membuat pengumuman mengenai kekosongan kerusi tersebut untuk diberikan laluan kepada Anwar.

“Saya sedia mengosongkan kerusi Parlimen Port Dickson bagi membolehkan Anwar bertanding dalam pilihan raya kecil di kawasan itu.

“Anwar bersetuju menerima tawaran saya dan bersedia bertanding di Parlimen Port Dickson. Saya yakin Anwar akan menang dan menjadi Ahli Parlimen dan akan menjadi Perdana Menteri kelapan,” ujarnya.

Beliau juga memaklumkan sudah menyerahkan surat perletakan jawatan sebagai Ahli Parlimen Port Dickson berkuatkuasa serta merta kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Turut hadir, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail; Naib Presiden, Dr A Xavier Jayakumar.

Sementara itu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan meletakkan Anwar di Port Dickson tiada kaitan dengan keputusan 3 pilihan raya kecil di Selangor, baru-baru ini.

Katanya, keputusan Anwar bertanding di Port Dickson sudah dimaklumkan kepada pemimpin tertinggi parti komponen Pakatan Harapan.

“Mereka memberi jaminan akan memberi kerjasama penuh untuk memastikan kemenangan anwar.

“Kami percaya kemenangan Anwar akan menambah nilai kepada PH. Sebagai ahli Parlimen, Anwar yang juga sebahagian daripada Majlis Presiden PH akan memainkan peranan lebih berkesan dalam membantu kerajaan.”

Kali terakhir Anwar, 71, bertanding ialah pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) di kerusi Parlimen Permatang Pauh yang menyaksikan beliau menewaskan Mazlan Ismail (BN) dan Abdullah Zawawi Samsudin (Bebas) dengan majoriti 11,721 undi.

Kelayakan Anwar sebagai Ahli Parlimen Pematang Pauh terlucut selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara lima tahun selepas menolak rayuannya daripada hukuman penjara bagi kesalahan meliwat pada Februari 2015.

Bagaimanapun, beliau diberikan pembebasan serta-merta selepas mendapat perkenan pengampunan penuh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V pada 16 Mei lalu, tujuh hari selepas PH menjadi kerajaan.

Pada PRU14 lalu, Danyal Balagopal memenangi kerusi Parlimen Port Dickson degan majoriti besar 17,710 mengalahkan calon BN V Mogan (18,515) dan calon Pas Mahfuz Roslan (6,594).
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan