Pemilihan AMANAH seluruh negara berjalan lancar tanpa provokasi

Tahun ini buat pertama kali sejak ditubuhkan pada 16 September 2016, Parti Amanah Negara (AMANAH) berdepan sesi pemilihan di setiap peringkat dari cawangan, kawasan, negeri hingga ke peringkat nasional.

Setiausaha Agung AMANAH, Mohd Anuar Mohd Tahir berkata, secara umumnya proses pemilihan kepimpinan parti yang berlaku di seluruh negara berjalan dengan lancar, tenang dan tanpa sebarang provokasi.

Katanya, dalam sesi pemilihan yang berlaku, banyak perkembangan yang telah menarik perhatian pelbagai pihak terutamanya keputusan yang mengejutkan dari beberapa kawasan apabila menyaksikan calon yang bergelar wakil rakyat turut tewas.

“Sudah tentu perkembangan ini mengejutkan kerana Adun atau ahli Parlimen pada kebiasannya merupakan calon yang boleh menang mudah tetapi itu tidak berlaku dalam
pemilihan AMANAH.

“Senario ini telah meletakkan semua calon dalam padang yang sama rata. Tiada pihak mempunyai kelebihan. Semuanya perlu bekerja keras dan lebih agresif di pelbagai peringkat bagi melayakkan mereka dipilih menganggotai jawatankuasa kepimpinan.

“Situasi ini perlu dilihat secara positif bahawa AMANAH semakin agresif dan progresif melakukan perubahan secara demokratik dari dalam parti. Ahli-ahli AMANAH sekarang begitu teliti mengawasi gerak kerja calon sebelum membuat keputusan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kata Anuar lagi, beberapa aduan dan bantahan turut diterima sepanjang musim pemilihan ini dan semua laporan tersebut disiasat dan diambil tindakan yang sewajarnya.

Menurutnya, terdapat kawasan digantung, dibatalkan dan diarahkan mengadakan pemilihan semula.
Malah, kepatuhan kepada keputusan Jawatankuasa Nasional menunjukkan parti ini mempunyai ahli-ahli yang berdisiplin, terbuka kepada teguran dan bersedia melakukan perubahan.

“Sehingga 26 Ogos, Wisma Amanah Negara iaitu ibu pejabat AMANAH menerima laporan bahawa sebanyak empat buah negeri telah selesai pemilihan di peringkat kawasan manakala negeri-negeri lain dijangka selesai pemilihan pada awal September.

“Menariknya, AMANAH Kawasan Subang kali ini yang memilih seorang wanita sebagai ketua merupakan satu pengiktirafan kepada golongan wanita yang bersama-sama berganding bahu membina parti yang beridentitikan Islam dengan agenda ‘Rahmatan Lil Alamin’.

“AMANAH bersyukur dengan perkembangan ini kerana dengan jelas menunjukkan demokrasi dalam parti semakin subur. Ahli-ahli berani membuat keputusan secara rasional demi masa depan parti Islam ini,” ujarnya.

Beliau memaklumkan, Konvensyen AMANAH peringkat negeri-negeri dijadualkan berlangsung pada Oktober 2019.

Beliau turut berharap situasi pemilihan yang berlaku dalam keadaan harmoni dapat dikekalkan sehingga ke Konvensyen Nasional Parti Amanah Negara 2019 pada Disember nanti.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan