SEPERTI yang saya katakan minggu lalu, MCA kena cermin diri dahulu sebelum nak bertanding di Tanjung Piai. MCA pasti mahukan kerusi bapak dia, kerusi tradisi kononnya. Muka tak malu, cakap besar, kekuatan tiada.
Jika UMNO-PAS masih mencalonkan MCA, pastikan kalah dengan izin Allah. Realiti politik dan momentum politik mesti difahami.v
Jika MCA berkeras, sila bertanding bersendirian di Tanjung Piai, saya nak tengok berapa undi kamu boleh dapat. Tidak mustahil MCA hilang wang deposit.
Berbanding jika UMNO PAS meletakkan calon Islam yang berwibawa, harapan untuk menang adalah tinggi.
Saya hanya ketawa apabila ketua MCA bahagian Kapar berkata, beliau akan keluar parti jika UMNO bertanding di Tanjung Piai. Pergi beritahu bahagian yang lain untuk keluar sama BN. Lagi banyak keluar, lagi bagus.
Sila keluar sekarang, tidak perlu tunggu hari penamaan calon. Sila masuk bertanding, tidak perlu tunggu keputusan BN.
MCA ada seperti tiada. Tiada lagi baik. Parti ini menjadi duri dalam daging sejak dahulu. UMNO kehilangan banyak kerusi yang sepatutnya menang, tetapi kerana diberikan kepada MCA, semua kerusi MCA di kawasan majoriti Melayu, MCA kalah, kecuali kerusi Parlimen Ayer Hitam.
Itu pun mujur Melayu terlebih simpati kepada MCA, menang tipis. Jika tidak, semua bungkus. Tidak ada seorang pun wakil Parlimen. Itu pun masih bongkak lagi.
Waktu BN susah, hilang kuasa, MCA mengambil keputusan bertindak keluar. Bila rasa, tidak boleh pergi jauh tanpa undi Melayu, selepas PRK Cameron Highlands, dasar muka tidak malu, mahu bersama balik.
Saya mohon UMNO PAS mengkaji tindak tanduk MCA ini terutama selepas BN kalah. Parti tidak berguna ini selalu sangka dirinya kuat. Walhal kekuatan boleh dikatakan langsung tiada.
Ahli MCA sendiri mengundi DAP. Percayalah. Jika MCA menang sekalipun di Tanjung Piai, sama sahaja seperti menangnya DAP. Tidak langsung menguntung Islam dan Melayu.
MCA tetap menolak jawi, menolak RUU berkaitan Islam, mempertahankan SJKC dan UEC secara totok seperti DAP, menjadi lebih Cina daripada Cina di China dan berbagai lagi. Mahu simpan apa lagi orang seperti ini. Membina negara dalam negara.
UMNO PAS perlu tegas. Mesti ada formula dalam memilih calon pilihan raya. Bukan ikut kerusi tradisi. Jika terus dengan kerusi tradisi, jadi pembangkanglah BN (UMNO PAS) selama-lamanya.
Memang MCA banyak kerusi tradisi, di mana? Kawasan bandar, kawasan majoriti Cina. Di kawasan ini MCA kalah teruk dengan DAP.
Boleh dikatakan langsung tiada kekuatan. Kalau ada undi pun untuk MCA, undi tersebut adalah majoriti undi ihsan Melayu. Masih tidak sedar diri?
Hairan saya, bagaimana parti MCA boleh tebal muka, tak tahu malu.
Saya ingin ingatkan UMNO PAS, jika mahukan kemenangan, bertegas, kawasan majoriti Islam melebihi 55 peratus mesti ditandingi oleh orang Islam.
Bagaimana sekiranya MCA dan MIC kalah semua kawasan ditandingi kawasan majoriti bukan Melayu? Senang sahaja, lantik senator untuk mendapat kuota, menjadi wakil menteri kaum tersebut. Jangan kacau kerusi majoriti Melayu.
Persoalannya, semua perkara ini mereka tahu, kenapa mahu juga merebut kerusi DUN dan Parlimen kawasan majoriti Melayu?
Jawapan sangat mudah, Menteri tanpa jawatan sebagai Ahli Parlimen atau DUN, kuasa kurang sedikit. Mereka tidak dapat mengambil kesempatan ke atas kawasan Parlimen dan DUN.
Sebab itu kita lihat, mati-mati mereka mahukan kerusi DUN dan Parlimen. Dengan kerusi DUN dan Parlimen inilah juga, mereka boleh melompat sana sini, ikut arah angin mana kencang bertiup.
Bolehkah percaya orang sebegini?
MCA bila-bila masa boleh ‘lompat’ kepada DAP secara terang atau pun senyap. Kalau tidak percaya, usik sahaja Sekolah Cina (SJKC) dan UEC. Ultra kiasu ini pasti bersatu sama ada secara terang atau senyap. Ingat kerusi orang Melayu Islam semakin mengecil disebabkan kemenangan ultra kiasu.
Dengan memberikan kerusi kepada MCA, jika menang, bertambah lagi kerusi mereka. Persoalannya, adakah MCA ini rakan yang setia dan boleh dipercayai? Belajar daripada sejarah. Saya, dahulunya pun ahli MCA seumur hidup.
Cuma, kita sebagai umat Islam, sentiasa berada di tempat yang rugi.
Kita merasakan ultra kiasu ini undi kita, walhal tidak, mereka hanya bermain sandiwara.
Pendek kata, politik Melayu (Islam) tidak banyak menguntung Melayu dan Islam, merugikan ada.
Justeru, saya mohon agar PRK dan PRU akan datang menentukan formula perpaduan ummah (UMNO PAS) bagi kerusi kawasan majoriti Islam.
Pertama, kerusi majoriti Islam lebih 55 peratus mesti ditandingi Melayu atau orang Islam.
Kedua, kurang daripada 55 peratus, boleh pertimbangkan calon bukan Melayu seperti MCA dan MIC.
Ketiga, pastikan parti-parti komponen ini tidak celupar. Mereka perlu sedar diri bahawa apa yang dimenanginya itu adalah undi ehsan daripada orang Melayu.
Keempat, dengan ihsan inilah mereka mesti menghormati perkara-perkara besar termaktub dalam Perlembagaan, seperti kedudukan Islam, Bahasa Melayu, raja-raja Melayu, hak istimewa Melayu dan Bumiputera, dan perkara berkaitan dengannya.
Kelima, jika mereka bangkitkan lagi soal-soal sensitif ini, mereka tidak layak menjadi rakan kongsi, sila keluarkan mereka untuk mencari rakan yang lain. Sebenarnya, hak kepada minoriti kita sudah melebihi hak. Kita sudah terlebih beri, tetapi masih tidak disyukuri.
Jika berasaskan formula mengikut populasi, kita sebagai umat Islam tidak pernah menang. Ekonomi siapa yang kuasai? Rumah ibadat siapa yang lebih banyak? Media cetak dan elektronik, siapa yang mendominasi? Dan banyak lagi.
Justeru, jika formula berasaskan populasi sudah tidak terpakai dalam bidang lain, sekurang-kurangnya ia terpakai dalam politik, terutama dalam menentukan calon di kawasan majoriti Islam yang sepatutnya ditandingi oleh orang Islam. Jika diberikan juga kepada bukan Islam, apa lagi yang tinggal dengan orang Islam? Terdaulatkah lagi Islam dan Melayu?
Suka atau tidak, dalam sebuah negara berasaskan sejarah sistem kenegaraan Melayu, ketuanan Islam mesti mengakar dan berdaulat, seperti mana ketuanan Buddha dan Hindu terangkat di China dan di India. Begitu juga ketuanan Kristian di negara barat.
Akhirnya, marilah kita bersama lakukan muhasabah. Jangan sampai nasi menjadi bubur walaupun telah menjadi bubur. Bertegaslah sebelum ia lenyap buat selamanya.
Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah
Pusat Pengajian Teras
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan