BN rampas kembali Tanjung Piai

PONTIAN: Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng muncul pemenang kerusi Parlimen Tanjung Piai dengan majoriti lebih besar iaitu 15,086 undi.


Jeck Seng memperoleh 25,466 undi daripada 128 peti undi mengatasi lima pencabarnya.
Pesaing terdekatnya iaitu calon Pakatan Harapan (PH), Karmaine Sardini mendapat 10,380 undi, manakala calon GERAKAN, Wendy Subramaniam dengan 1,707 undi.

Tiga lagi calon iaitu Presiden BERJASA, Dr Badhrulhisham Abdul Aziz memperoleh 850 dan dua calon bebas, Dr Ang Chuan Lock (380 undi) serta Faridah Aryani Abdul Ghaffar (32 undi).

Jumlah undi diperoleh itu bermakna calon GERAKAN, BERJASA dan dua calon Bebas hilang wang deposit.

Peraturan menetapkan calon kehilangan wang deposit jika gagal memperoleh satu perlapan atau 12.5 peratus undi daripada keseluruhan undi dikira.

Keputusan rasmi diumumkan Pegawai Pengurus PRK Parlimen Tanjung Piai, Zulkifly Mohd Tahir di pusat penjumlahan rasmi undi di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini pada jam 9.16 malam tadi.

Dewan itu dipenuhi penyokong BN dan barisan pimpinan termasuk Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin; Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong; Pesuruhjaya PAS Johor, Abdullah Husin dan Ketua Perhubungan UMNO Johor, Datuk Hasni Mohamad.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Datuk Seri Najib Razak.

Ribuan penyokong BN turut membanjiri perkarangan luar pusat penjumlahan undi bagi meraikan kemenangan parti itu pada PRK berkenaan.

Suasana gamat bermula sejak jam 8 malam dengan penyokong mengibar bendera parti sambil bersorak.

Jeck Seng yang juga bekas Timbalan Menteri Beliau dan Sukan adalah Ahli Parlimen Tanjung Piai selama dua penggal bermula pada 2008 sebelum tewas kepada penyandang, Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik, pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) tahun lalu.

Kemenangan Parlimen Tanjung Piai menjadikan penguasaan keempat bagi BN selepas PRK Parlimen Cameron Highlands pada 26 Januari lalu, DUN Semenyih (2 Mac) dan DUN Rantau (13 April).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan 74.5 peratus pengundi keluar menunaikan tanggungjawab mereka pada PRK Parlimen Tanjung Piai.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Md Farid akibat komplikasi jantung 21 September lalu.

Pada PRU-14 Mei tahun lalu, Allahyarham Md Farid memenangi kerusi itu dengan majoriti 524 undi dalam pertandingan tiga penjuru.

PRK Parlimen Tanjung Piai adalah PRK kesembilan diadakan sejak PH memenangi PRU14, Mei tahun lalu.

Lapan PRK sebelum ini adalah di DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos 2018, DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 September 2018), Parlimen Port Dickson (13 Oktober 2018), Parlimen Cameron Highlands (26 Januari 2019), DUN Semenyih (2 Mac 2019), DUN Rantau (13 April 2019) dan Parlimen Sandakan (11 Mei 2019).

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan