Kedudukan Muhyiddin , Bila -Bila Masa Saja Boleh Jatuh

Oleh Shahbudin Hussin

Kedudukan PN sebagai kerajaan yang meletakkan Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri, dari sehari ke sehari, jelas menunjukkan ia semakin kucar-kacir dan tidak menentu.

Berbeza dengan mana-mana kerajaan sebelum ini yang biasanya diasak oleh pihak pembangkang untuk menjatuhkannya, sebaliknya PN tidak henti-henti digugat oleh UMNO yang merupakan blok terbesar dalam gabungan itu sendiri.

Tidakkah ini sebenarnya amat menghairankan, UMNO yang merupakan sebahagian daripada kerajaan, tetapi kerjanya lebih banyak mahu mengkucar-kacirkan kerajaan daripada mengukuhkannya?

Bermula dengan meluahkan perasaan tidak puas hati terhadap sususan kabinet, menuntut lebih kedudukan dalam GLC, menyerang secara terbuka menteri yang banyak dimanjakan Muhyiddin iaitu Azmin Ali dan seterusnya memaklumkan parti itu hanya akan bekerjsama dengan Pas dalam MN dalam PRU15 akan datang, tetapi tidak dengan Bersatu, parti yang Presidennya adalah Perdana Menteri.

Adakah pemakluman itu bertujuan mahu memberitahu bahawa hayat PN, paling panjang pun hanya sehingga PRU15 saja?

Tidak cukup dengan itu, ada pula Ahli Parlimen UMNO yang baru dilantik sebagai Pengerusi GLC dengan tidak malu-malu menyatakan lantikannya itu tidak bermakna akan mengikatnya dalam pendirian politik untuk sentiasa menyokong Perdana Menteri.

Apakah Ahli Parlimen berkenaan tidak sedar lantikannya itu sebenarnya adalah bertujuan untuk Muhyiddin mengikat beliau dan agar sentiasa memberi sokongan kepada kedudukan Perdana Menteri?

Kalau bukan untuk mengikat dan tiada maksud politik, tentulah lebih baik Muhyiddin membuat lantikan daripada kalangan profesional yang tentunya lebih memungkinkan dapat memajukan lagi GLC berkenaan.

Terbaru, dalam mesyuarat MT UMNO Isnin lalu, parti itu juga telah membuat keputusan menolak secara rasmi untuk menyertai PN.

Walaupun PN belum didaftarkan secara rasmi, penolakan awal ini dengan sendirinya menghalang usaha Muhyiddin untuk mendaftarkan gabungan tersebut sebagai sebuah entiti yang sah seperti BN dan PH.

Keadaan ini bermakna, UMNO hanya ingin berada dalam kerajaan PN secara tidak rasmi dan enggan bekerjasama secara sah dengan Muhyiddin melalui PN.

Dalam hal ini, ada kemungkinan Pas juga akan bersama dengan UMNO tidak mahu menyertai PN secara rasmi.

Jika PN tidak didaftarkan sampai bila-bila, apakah status kerajaan ini?

Sampai bilakah ia mampu bertahan dengan hanya status “bersekedudukan tanpa ikatan yang sah” saja?
Yang nyata, perkembangan terbaru ini memperlihatkan UMNO semakin memperhebatkan tekanannya terhadap Muhyiddin untuk menuntut lebih banyak kedudulan dan keistimewaan buat mereka dalam kerajaan bagi memudahkan lagi laluan memenangi PRU15 nanti.

Tidak mustahil tekanan ini juga berkaitan dengan kes-kes mahkamah yang sedang dihadapi oleh beberapa pemimpin UMNO ketika ini.

Kiranya Muhyiddin terus tidak memberi perhatian terhadap semua tekanan ini, langkah terakhir UMNO ialah mungkin menarik sokongan terhadap Muhyiddin atau menawarkan sokongan kepada pihak yang ingin menumbangkan kerajaan melalui usul undi tidak percaya di Parlimen.

Melalui sokongan itu, UMNO akhirnya berharap sama ada kes-kes mahkamah melibatkan beberapa pemimpinnya dapat dilambat-lambatkan atau dengan tujuan agar Muhyiddin akan membubarkan Parlimen bagi membolehkan PRU15 diadakan lebih awal.

Bagi UMNO, jika pilihanraya diadakan sekarang atau pada tahun 2023 sekalipun, melalui kerjasama dengan Pas, mereka berkeyakinan penuh dapat membentuk kerajaan baru yang sekaligus menjadikan mereka benar-benar ketua dalam kerajaan tersebut.

Berbanding sekarang, meskipun memiliki jumlah kerusi terbanyak dalam PN, kedudukan UMNO dari segi keutamaan dalam kerajaan adalah di nombor tiga di belakang Bersatu yang pro Muhyiddin dan kumpulan Azmin.

Inilah yang membuatkan UMNO tidak senang duduk dan meroyan setiap hari dalam kerajaan.

Yang jelas, UMNO mahu kuasa mutlak dalam kerajaan dikembalikan kepada mereka sebagaimana selama 61 tahun era BN berkuasa sebelum ini.

Berapa lamakah Muhyiddin mampu bertahan dengan tekanan berterusan dan makin menggila daripada UMNO ini?
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan